Tumpahan minyak di Singapura merebak ke Malaysia, ancam mata pencarian 200 nelayan
2024.06.21
Kuala Lumpur
Tumpahan minyak di selatan Singapura telah merebak ke Malaysia hingga mengancam mata pencarian kira-kira 200 nelayan yang tinggal di sepanjang pantai negeri Johor.
Pencemaran itu berlaku selepas kapal korek dari Belanda dilaporkan melanggar kapal tangki minyak Singapura yang berlabuh di Terminal Pasir Panjang, Singapura pada 14 Jun lalu hingga menyebabkan 400 tan minyak bocor ke sekitar pantai republik itu sebelum merebak ke perairan Malaysia hingga ke Teluk Ramunia.
Nelayan di bandar Pengerang di Malaysia berkata mereka terpaksa menghentikan semua aktiviti sehingga proses pembersihan selesai bagi mengelak peralatan menangkap ikan mereka rosak.
“Sudah lima hari kami tidak dapat turun ke laut. Sekarang kami terpaksa menunggu sehingga kesan tumpahan minyak di kawasan pesisir pantai di Sungai Rengit pulih terlebih dahulu,” kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nelayan Sungai Rengit Rosli Mohd Ali, 56, kepada BenarNews.
Katanya, seramai 183 nelayan di Jeti Sungai Rengit tidak boleh ke laut untuk mencari rezeki ekoran kejadian tumpahan minyak yang cuma disedari pada Ahad di perairan Sungai Rengit apabila ternampak tompokan hitam terapung di permukaan laut.
“…terus kami tarik jaring dan pulang ke jeti. Sampai saja di jeti, baru kami nampak kesan banyak tompokan minyak di tepi pantai. Keesokannya nelayan tidak dapat turun ke laut, kesan minyak ini jika terkena pada peralatan nelayan seperti jaring, pelampung dan tali memang tiada maaf kerana simpulan pada mata jaring jika terkena minyak memang tidak dapat hilang kesannya,” kata Rosli.
“Apabila kita pakai juga jaring yang tercemar dan rosak, maka kami tidak akan dapat hasil sebab berbau,” jelasnya.
Beliau berkata nelayan laut dalam memerlukan sebanyak 60 pukat dengan setiap satunya berharga sekitar RM360 [AS$76].
"Kami tahu jika laporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa, mereka akan menggantikan peralatan tetapi ia mengambil masa hampir sebulan untuk menyediakan pukat ganti. Kami perlu menunggu lebih lama lagi," katanya sambil menambah adalah lebih baik menunggu pihak berkuasa membersihkan pantai dan laut secara menyeluruh daripada menghadapi risiko kerugian.
Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam satu kenyataan minggu lalu berkata, sebahagian minyak dari kapal tangki minyak yang rosak itu telah tumpah susulan kejadian pelanggaran itu dan tiada kecederaan dilaporkan.
Agensi itu berkata kapal tangki minyak yang terjejas itu telah diasingkan dan tumpahan telah dapat dikawal.
“Operasi pembersihan tumpahan minyak kini sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pesisir pantai tercemar
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata ombak bergelora membawa tumpahan ke perairan Malaysia dan tompok minyak ditemui di pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia, Pengerang hingga mencemarkan kira-kira satu kilometer pesisir pantai.
Firma insurans yang bertanggungjawab ke atas firma perkapalan yang terlibat dalam perlanggaran itu telah mengupah kontraktor untuk mengendalikan kerja-kerja pembersihan dengan semua kos ditanggung oleh syarikat itu, kata Tian Soon dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata usaha pembersihan secara rasmi bermula Jumaat berikutan penyelarasan dan pemantauan melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar Johor, Pejabat Daerah Kota Tinggi dan Jabatan Laut.
"Kami harap dapat membersihkan [lautan] dalam tempoh dua hari jika ombak tidak membawa lebih banyak limpahan," katanya kepada BenarNews.
Tian Soon berkata pihak berkuasa juga sentiasa mengawasi permukaan laut dan bersiap sedia bagi sebarang perkembangan, dengan kedua-dua jabatan alam sekitar Johor dan Singapura bekerjasama serta berkongsi maklumat bagi mengurus dan menyelesaikan insiden tumpahan minyak itu dengan berkesan.
Jabatan Alam Sekitar Johor berkata nelayan yang terjejas boleh mengemukakan tuntutan mereka kepada Persatuan Nelayan Pengerang dan Jabatan Perikanan.
"Tuntutan itu akan diselaraskan oleh Persatuan Nelayan Pengerang dan disahkan oleh Jabatan Perikanan. Syarikat insurans akan berurusan dengan Persatuan Nelayan Pengerang dan Jabatan Perikanan," kata jabatan itu kepada BenarNews.
Kerja pembersihan perlahan
Insiden itu juga menimbulkan kebimbangan mengenai kesan ke atas hidupan marin tempatan terutamanya kawasan itu terkenal dengan penyu dan kuda laut pantai, kata Presiden Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia Andrew Sebastian.
“Walaupun pembersihan telah bermula, tindakan itu sepatutnya dilakukan dengan lebih pantas.
“Pemulihan dalam tempoh satu minggu adalah terlalu lama kerana kita tidak mengetahui kerosakan di bawah air kepada hidupan marin,” katanya kepada BenarNews.
Pengerang juga merupakan pusat terminal industri petrokimia dan beliau menggesa pihak berkuasa negeri supaya tindakan tegas dan pantas diambil sekiranya berlaku tumpahan pada masa hadapan.
“Kita perlu melindungi hidupan marin dan pantai kita. Sebarang tumpahan minyak membawa bahaya dan kita mesti bergerak lebih pantas untuk meminimumkan kesannya,” tambah beliau.
Andrew berkata kerajaan negeri mesti mengupah pakar marin untuk memahami tahap kerosakan di dasar laut sepenuhnya.
"Membersihkan pantai adalah satu perkara tetapi kerosakan di bawah permukaan laut adalah kritikal kerana nelayan bergantung kepada aktiviti penangkapan ikan sebagai sumber mata pencarian mereka,” katanya.