Jurutera Jual Minyak Ganja Terlepas Hukuman Gantung

Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan mengetepikan sabitan pertuduhan mengedar dadah dan digantikan dengan pertuduhan memiliki dadah.
Noah Lee & Hadi Azmi
2021.02.17
Kuala Lumpur
Jurutera Jual Minyak Ganja Terlepas Hukuman Gantung Adik beradik warga Mexico tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar rayuan hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah di Mahkamah Rayuan, di Putrajaya, 23 April 2015.
[Reuters]

KEMASKINI pada 7.45 petang waktu tempatan ETS - 2021-02-17

Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Rabu membuat keputusan yang membolehkan seorang lelaki terlepas daripada hukuman mati dalam kes dadah yang membangkitkan kemarahan ramai tiga tahun lalu, dan membuka laluan kepada pembatalan hukuman mati mandatori bagi 11 jenayah.

Mahkamah itu telah memutuskan untuk mengetepikan sabitan mengedar dadah terhadap Muhammad Lukman Mohamad yang dikenakan hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2018, dengan menyatakan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa pengedaran minyak ganja bagi tujuan perubatan kepada pesakit barah adalah sama dengan penjualan dadah haram.

Pada sidang panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh dan Harmindar Singh pada Rabu yang mendengar rayuan lelaki tersebut berhubung sabitan dan hukuman mati terhadap beliau, bersetuju menggantikan pertuduhan mengedar kepada memiliki dadah di bawah Seksyen 9 Akta Dadah Berbahaya atas alasan pihak pendakwaan gagal membuktikan berat dadah dalam kes berkenaan.

"Pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan berat dadah dan sabitan tersebut tidak dapat dikekalkan," kata Tengku Maimun semasa menyampaikan keputusan panel hakim seperti dilaporkan oleh portal berita tempatan, Free Malaysia Today (FMT).

Disebabkan oleh larangan-larangan berkait dengan pandemik COVID-19, hanya beberapa media sahaja termasuk FMT yang dibenarkan berada di mahkamah untuk perbicaraan berkenaan.

Kes jurutera berusia 31 tahun itu, turut menarik perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri pada masa itu, Mahathir Mohamad, yang berpandangan keputusan hukuman tersebut perlu disemak semula beberapa minggu selepas hukuman itu dijatuhkan pada September 2018.

Dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada tahun lepas, hakim mahkamah berkenaan turut mengekalkan hukuman mati terhadap dua pertuduhaan mengedar dadah tetapi mengurangkan pertuduhan ketiga kepada pemilikan dadah.

Pengantian dua pertuduhan daripada pengedaran kepada pemilikan dadah oleh Mahkamah Persekutuan terhadap Muhammad Lukman menyaksikan lelaki itu telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun, bersama 10 sebatan rotan bagi setiap pertuduhan, dengan panel tiga hakim turut bersetuju bahawa hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dijalankan serentak bermula dari tarikh beliau ditangkap pada 7 Disember 2015.

Peguam Muhammad Lukman, Hisyam Teh Poh Teik yang menjelaskan mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes itu memberitahu BeritaBenar bahawa kedua-dua pertuduhan mengedar dadah tidak dapat dibuktikan kerana tidak ada analisis kuantitatif yang dilakukan terhadap bahan tersebut, dan juga kesilapan dalam menyerahkan bahan bukti kepada mahkamah.

"Kedua-dua tuduhan pengedaran dadah tidak dapat dibuktikan kerana ahli kimia tidak melakukan analisis kuantitatif untuk menentukan jumlah ubat-ubatan. Penyerahan bukit juga salah, dimana ia dilakukan ketika mahkamah (bawah) berhenti rehat.

"Tindakan tertuduh menjual minyak ganja kepada pesakit yang memerlukannya tidak sama dengan kejahatan berkait dengan pengedaran dadah," kata Hisyam menjelaskan keputusan mahkamah itu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2018 mendapati Muhammad Lukman bersalah atas tiga pertuduhan mengedar 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja, dan 1.4 kilogram bahan yang mengandungi tetrahydrocannabinol (THC) dan menjatuhi hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar, dan/atau 10 tahun penjara kerana memiliki dadah.

Kes Muhammad Lukman juga mendapat perhatian Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang dilaporkan berkata beliau akan membuat rayuan kepada Peguam Negara Tommy Thomas ketika itu untuk membatalkan kes terhadap Muhammad Lukman yang hanya membantu pesakit dengan penyakit kronik.

Petisyen untuk membebaskannya juga mendapat sokongan luas, dengan sekurang-kurangnya 45,000 tandatangan telah dikumpulkan pada September 2018.

Bulan berikutnya, Oktober 2018 menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah ketika itu membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori terhadap 17 kesalahan jenayah, termasuk kesalahan dadah, dengan membenarkan hakim menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Malaysia adalah sebuah negara yang masih menjatuhkan hukuman mati bagi jenayah bersabit dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952, di mana individu yang ditangkap bersama dengan kanabis melebihi 200gram akan didakwa di bawah penyeludupan dadah yang membawa kepada hukuman mati.

Kerajaan Barisan Nasional pada 2017 mengumumkan pindaan hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya dengan keputusan mahkamah masih tertakluk kepada hakim.

Peguam Hisyam berkata anak guamnya akan dibebaskan daripada penjara selepas hukuman sebatan selesai.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.