Dua Meninggal Dunia Selepas Kapal Langgar Pelantar Minyak di Sarawak

Hadi Azmi
2020.10.27
Kuala Lumpur, Malaysia
201027-MY-OilPlatform900.jpg Anak Kapal MV Dayang Topaz terapung di laut setelah berlakunya perlanggaran dengan pelantar minyak di luar pantai Miri, Sarawak, di perairan Laut China Selatan, 27 Oktober 2020. [Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]
[Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Dua anak kapal dari sebuah kapal Malaysia meninggal dunia pada Selasa setelah mereka melompat ke laut dari kapal platform MV Dayang Topaz yang tidak dapat dikawal apabila sauhnya putus akibat cuaca buruk dan melanggar pelantar minyak di perairan Sarawak berhampiran Kuala Baram, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pula mengesahkan yang MV Dayang Topaz telah disewa oleh Petronas Carigali, daripada DESB Marine Services Sdn Bhd untuk menjalankan kerja operasi di platform Baram, kira-kira 14 batu nautikal dari bandar Miri.

“Seramai 62 anak kapal masih berada di atas kapal, manakala 125 lagi telah terjun ke laut.  Kejadian dipercayai berpunca daripada salah satu kabel sauh kapal Dayang Topaz terputus ekoran daripada cuaca buruk dan kapal tidak dapat dikawal lantas hanyut melanggar platform pelantar Minyak Baram B,” Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Mohd Zubil Mat Som dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana APMM Suzanna Razali Chan mengesahkan kematian dua anak kapal dalam kejadian di Laut China Selatan itu.

“Dua anak kapal meninggal dunia, manakala 173 daripada 185 lagi selamat, dan telah dibawa ke  jeti Pelabuhan Miri, manakala 12 anak kapal Dayang Topaz kekal berada di atas kapal tersebut bagi memastikan keselamatan kapal,” kata beliau dalam satu kenyataan media pada lewat Selasa.

Petronas turut mengesahkan mengenai dua kematian itu tetapi tidak mengulas lanjut sama ada kedua-duanya adalah petugas syarikat minyak dan gas berkenaan ataupun petugas syarikat pengendali kapal yang disewanya.

“Pelanggaran itu berlaku pada kira-kira 6.23 pagi semasa cuaca buruk, dan semasa kejadian seramai 187 berada di dalam kapal itu,” kata Petronas dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur sambil menyatakan kekesalan berhubung kejadian itu dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.

Menurut APMM kesemua mangsa yang terlibat berumur antara 21 dan 63 tahun itu adalah rakyat tempatan kecuali kapten dan ‘chief officer’ kapal yang merupakan warga Indonesia.

Jabatan Meteorogi Malaysia turut mengeluarkan notis Nasihat Taufan dengan berkata cuaca buruk dengan laut bergelora sedang berlaku di Laut China Selatan kerana disebabkan oleh Taufan Molave yang dikesan bergerak ke arah barat dengan kelajuan maksimum 157 km sejam dan boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di perairan berkenaan.

Taufan Molave sedang bergerak ke arah barat dengan kelajuan 25 kilometer sejam dan boleh mencapai kelajuan maksimum 157 kilometer sejam dengan jarak taufan dari bandar terdekat adalah kira-kira 787 kilometer ke barat laut Kudat, di Sabah, kata jabatan itu melalui notisnya itu.

Suzanna turut memberitahu yang Operasi Carilamat di laut itu membabitkan seramai 300 petugas  melibatkan beberapa buah bot, kapal dan pesawat udara milik APMM, Petronas, Shell, Tentera Udara DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta bantuan daripada Brunei Shell Petroleum.

201027-MY-Oil-Inside.jpg

Anak Kapal MV Dayang Topaz yang berjaya diselamatkan selepas berlakunya perlanggaran kapal itu dengan pelantar minyak akibat cuaca buruk dan laut bergelora di luar pantai Miri, Sarawak, di perairan Laut China Selatan, 27 Oktober 2020. [Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Pengalaman mangsa

Sementara itu, seorang anak kapal yang terselamat memberitahu sebahagian besar anak kapal meninggalkan kapal sebaik sahaja berlaku pelanggaran dengan melompat ke dalam Laut China Selatan, setelah kapten membunyikan penggera untuk meninggalkan kapal semasa kapal itu mula condong.

"Saya bekerja shift malam jadi saya masih tidur ketika kejadian berlaku dan terkejut jaga disebabkan bunyi yang sangat kuat," kata seorang mangsa yang terselamat yang bersetuju untuk bercakap dengan BeritaBenar, jika namanya tidak disiarkan.

Beliau adalah antara 62 anak kapal yang berada di atas kapal dan mengambil keputusan tidak terjun ke dalam laut setelah melihat berlakunya kebocoran minyak di dalam air yang datang daripada pelantar minyak Baram B kerana takut kebakaran atau letupan.

"Kapten membunyikan penggera kapal dan membuat panggilan kecemasan, tetapi kami melihat minyak di dalam air dan memutuskan untuk tetap berada di atas kapal. Saya secara peribadi yakin bahawa kapal itu akan bertahan jadi saya tidak terjun ke dalam laut," tambah beliau lagi.

Sumber itu menambah bahawa sebahagian besar daripada mereka yang tidak meninggalkan kapal adalah petugas kapal itu sendiri manakala yang terjun di dalam laut adalah kontraktor Petronas.

Sementara itu seorang lagi sumber daripada sebuah kapal lain yang turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat memberitahu BeritaBenar bahawa anak kapal daripada kapal  lain yang berada di sekitar kawasan minyak Baram telah berjaya menyelamatkan sebahagian besar mangsa pada kira-kira 8.30 pagi, sebeluam ketibaan kapal APMM sejam kemudian.

"Kami menaiki kapal kerja yang besar dan terlalu lambat untuk menyelamatkan, tetapi kami mempunyai bot pantas yang berada di bawah pengawasan operasi kami dan kami dapat menyelamatkan 16 nyawa dan pada pada ketika pasukan penguatkuasa tiba iaitu sekitar 9.30 pagi, semua yang terjun di dalam air telah berjaya diselamatkan," kata sumber yang juga setuju untuk bercakap kepada BeritaBenar dengan namanya disiarkan.

Beliau menambah bahawa sebahagian besar kapal di perairan itu telah disewa oleh Petronas dan merupakan sebahagian daripada eksplorasi minyak dan gas syarikat itu di perairan yang kaya dengan petroleum di luar pantai Sarawak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.