Khalid Bidas Misuari Tuduh Malaysia Dalang Penculikan Sipadan

Hata Wahari
2016.11.04
Kuala Lumpur
161104-my-nurmisuari-620.jpg Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari, ketika berucap selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden baru Filipina Rodrigo Duterte di Istana Malacanang, Manila, 3 Nov 2016.
AFP

Malaysia menyangkal tuduhan pemimpin kumpulan militan Islam Filipina yang negara itu adalah dalang dalam beberapa siri jenayah penculikan yang berlaku di Sabah, termasuk kes yang melibatkan kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Sipadan, 16 tahun lepas.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar menegaskan pada Jumaat, apa yang dinyatakan oleh Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari, bahawa rakyat Malaysia merupakan dalang kepada penculikan itu adalah jelas untuk mengalihkan perhatian keatas jenayah yang dilakukan oleh anggota kumpulan militan berkenaan.

"Itu dakwaan dia [Nur Misuari], yang menjadi masalah kepada kita adalah orang dia...orang dia yang penjenayah menculik rakyat kita, sepatutnya jaga orang dia. Kenapa kita pula yang dipersalahkan? Kita sebenarnya mangsa," Khalid berkata.

Nur Misuari semasa berucap pada lewat malam Khamis, pada pertemuan dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte di Istana Malacanang mendakwa,  rakyat Malaysia adalah dalang yang terlibat dalam penculikan yang membabitkan 21 orang pelancong dan pekerja resort di Pulau Sipadan, Sabah pada tahun 2000.

Ada bukti

"(Warga) Malaysia adalah dalang yang terlibat dalam penculikan demi habuan kewangan di perairan pantai timur Sabah. Satu hari nanti saya akan mengheret pemimpin mereka ke mahkamah antarabangsa,

"Saya ada semua bukti ditangan, saya dan orang saya ada di mana-mana. Malah, dalang disebalik penculikan ini sebenarnya mengupah orang-orang saya sendiri bagi melakukan penculikan itu," kata Nur Misuari yang pernah rapat dengan pemimpin Malaysia pada persidangan media selepas pertemuan dengan Duterte.

Pertemuan Nur Misuari dengan Presiden baru Filipina itu adalah antara usaha terkini Duterte untuk menamatkan pemberontakan masyarakat Islam di selatan negara berkenaan yang berlarutan lebih sedekad lamanya.

Laporan pada masa itu berkata penculikan itu dilakukan militan Abu Sayyaf.

“Di Sipadan juga, pegawai saya diambil bekerja kerana mereka memilih untuk mendapat wang berjuta,” katanya pada sidang media itu.

Menurut laporan itu Nur Misuari mendakwa pegawai Malaysia turut menghantar perisik untuk mengadakan pertemuan dengannya di Arab Saudi dan Indonesia menerusi seorang anak saudaranya.

“Saya kata, hentikan, saya tidak tergamak hendak berjumpa orang itu selepas mereka buat konspirasi untuk musnahkan maruah dan integriti orang saya,” kata Nur Misuari.

Beliau  membuat dakwaan itu di hadapan Presiden Duterte, yang dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 9 November, bagi membincangkan pelbagai masalah dua hala termasuk isu selatan Filipina, lanun, serta rondaan bersama di perairan Laut Sulu.


Beliau datang ke Manila dari kubunya di selatan pulau Jolo selepas mahkamah tempatan menggantung waran tangkap terhadapnya berhubung kes pengepungan berdarah di Zamboanga City pada 2013.

Dalam pertemuan tersebut, Nur Misuari juga menyatakan rasa kesalnya dengan kepimpinan bekas Presiden Filipina, Benigno Aquino, yang tidak mahu bekerjasama dengan masyarakat Islam Filipina bagi mencapai perdamaian.

Pada 2014, kerajaan Malaysia pernah menuduh Misuari sebagai dalang kes penculikan di Sabah bagi mengumpul dana untuk membentuk semula tentera upahannya.

Malaysia adalah mangsa

Dalam pada itu, Rohan Gunaratna, yang mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura mempunyai pandangan yang sama dengan Khalid.

Gunaratna menegaskan bahawa dakwaan Nur Misuari bahawa rakyat Malaysia atau pihak berkuasa Malaysia terlibat dalam tindakan penculikan itu adalah tidak benar sama sekali.

“Dakwaan Nur  Misuari bahawa rakyat Malaysia atau pihak berkuasa Malaysia berkerjasama dengan MNLF adalah tidak  tepat. Malaysia adalah mangsa, apa yang dikatakan oleh Ketua Polis Negara (Khalid) adalah benar,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Misuari yang mengasaskan MNLF pada tahun 1969, telah bersembunyi sejak tenteranya didakwa melancarkan serangan ke atas orang awam di bandar Selatan Zamboanga pada tahun 2013.

Misuari dijangka menyertai proses damai dengan kumpulan saingan MNLF – Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Pada Ogos lepas, kerajaan Filipina dan wakil MILF telah bersetuju dengan rancangan untuk melaksanakan perjanjian damai yang tertangguh susulan mesyuarat dua hari di Malaysia – mesyuarat pertama seumpamanya sejak Presiden Duterte mengambil alih jawatan pada Jun.

Malaysia adalah fasilitator dalam perjanjian damai Bangsamoro yang bertujuan mencari penyelesaian secara aman kepada konflik panjang di Mindanao.

Sipadan penculikan pertama ASG

Kejadian penculikan pada 23 April, 2000 itu merupakan penculikan pertama yang dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf ke atas sembilan rakyat Malaysia dan 12 warga negara asing di Sabah.

Tebusan pertama yang dibebaskan ialah Zulkarnain Hashim yang  dibebaskan selepas 61 hari kerana Abu Sayyaf menyifatkannya sebagai seorang yang rajin beribadah.

Setelah beberapa siri rundingan yang diketuai oleh bekas penasihat kepada bekas Presiden Estrada, Roberto Aventajado maka seorang demi seorang tebusan dibebaskan sehinggalah pembebasan tiga tebusan terakhir iaitu Ken Fong Yin Ken, Lee Hock Leong dan Vincent Kwong.

Abu Sayyaf meneruskan kegiatan jenayahnya dengan melakukan penculikan kedua di Pulau Pandanan, di Sabah, pada 10 September, 2000.

Kejadian penculikan kedua itu menyebabkan Tentera Filipina melancarkan serangan bertalu-talu sehingga menyebabkan pemimpin tertinggi mereka, Komander Radullan Sahiron terkorban.

Akibat serangan itu, kumpulan penculik tersebut terpaksa membebaskan ketiga-tiga tebusan mereka di suatu kawasan di pulau tersebut.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.