Malaysia pertahan syarikat dikenakan sekatan sepihak oleh Amerika
2024.06.05
Kuala Lumpur
Malaysia pada Rabu mempertahankan sebuah syarikat negara itu yang dikenakan sekatan sepihak oleh Amerika Syarikat kerana dituduh mempunyai kaitan dengan pengedar senjata Rusia, dan menyatakan bahawa firma yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu bukan didaftarkan sebagai pengedar peralatan senjata di bawah undang-undang yang mengawal aktiviti sedemikian.
Putrajaya mengeluarkan satu kenyataan selepas kerajaan AS menyenaraikan Jatronics Sdn Bhd sebagai salah satu entiti terbaru yang dimasukkan dalam senarai sekatan negara tersebut pada 1 Mei lepas, beberapa hari sebelum pegawai tinggi Jabatan Perbendaharaan AS tiba di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu sekatan terhadap Iran.
"Malaysia menguatkuasakan Pengurusan Perdagangan Strategik (STM) melalui Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010), yang mengawal eksport, transit, transshipment, dan pemberian konsesi barangan strategik, khususnya yang berpotensi digunakan untuk membangunkan senjata ketenteraan yang canggih.
“STM memerlukan syarikat-syarikat yang mengeksport dan yang berada dalam rangkaian bekalan untuk melakukan segala usaha yang diperlukan untuk mengetahui maklumat penting iaitu destinasi akhir, pengguna akhir, dan penggunaan produk.
"Berdasarkan rekod, Jatronics bukanlah syarikat yang berdaftar di bawah STA 2010 dan tidak memohon permit eksport di bawah Akta ini," kata kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang dikeluarkan pada Rabu.
Tegas MITI, Malaysia merupakan sebuah negara yang mematuhi sekatan multilateral dan menggunapakai "senarai pengguna akhir yang terhad atau dilarang" di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).
Tambahnya, Rusia bukan antara negara yang disenaraikan di dalam resolusi berkenaan dan oleh itu ia "tidak termasuk di bawah STA 2010".
Pada 1 Mei lepas, kerajaan AS menyenaraikan Jatronics sebagai salah satu antara 300 entiti baru yang disekat oleh negara berkenaan kerana dikatakan menyokong usaha peperangan Rusia. Ia mendakwa syarikat itu telah membekalkan barangan yang tersenarai dalam "Senarai Barangan Biasa Keutamaan Tinggi" kepada syarikat-syarikat yang berpangkalan di Rusia.
Menurut laporan AlJazeera, Jatronics yang dikatakan sebagai sebuah pengeluar semikonduktor didakwa telah menghantar komponen dan bahagian elektronik yang diperlukan oleh Rusia untuk meneruskan kempen peperangannya.
Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan oleh kerajaan, di mana MITI menjelaskan bahawa Jatronics bukan sebuah pengeluar semikonduktor di Malaysia seperti dilaporkan agensi tersebut.
Sebaliknya, ia berkata Jatronics adalah sebuah syarikat perdagangan Malaysia yang terlibat dalam "perdagangan atau borong semikonduktor dan perkhidmatan fabrikasi".
Bagi menangani isu berkenaan, kementerian itu berkata ia telah berhubung dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengenai sekatan unilateral oleh AS itu, di samping terus meningkatkan pemantauan urus niaga perdagangan antarabangsa membabitkan pengeksport dan pengeluar Malaysia.
Selain itu, MITI juga menasihatkan syarikat-syarikat di negara itu supaya peka terhadap senarai sekatan yang dikenakan negara lain seperti AS.
"MITI juga menggesa pengeksport untuk berwaspada dan sentiasa mengambil maklum mengenai sebarang langkah-langkah yang membataskan perdagangan dan sekatan unilateral yang dikenakan oleh rakan perdagangan utama untuk memastikan mereka tidak akan dikenakan sebarang sekatan atau halangan bukan cukai lain."
BenarNews telah berusaha untuk menghubungi Jatronics bagi mendapatkan komen namun tidak berhasil kerana panggilan ke pejabat syarikat itu tidak berjawab manakala laman webnya tidak dapat diakses.
Tidak setuju
Pada bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata negara itu tidak bersetuju dengan tindakan sekatan sebelah pihak yang dilaksanakan oleh AS terhadap empat syarikat Malaysia, dan menyatakan bahawa tindakan sedemikian seharusnya ditentukan hanya oleh PBB.
Empat syarikat yang disekat pada Disember lepas dikatakan terlibat dalam membekalkan komponen untuk program persenjataan Iran.
Semasa lawatan ke Kuala Lumpur pada bulan lepas, Setiausaha Rendah Jabatan Perbendaharaan AS bagi Risikan Pembiayaan dan Keganasan Brian Nelson berkata terdapat peningkatan aliran dana kepada Iran dan proksinya, termasuk Hamas, melalui sistem kewangan Malaysia.
Beliau juga mendakwa bahawa Malaysia digunakan sebagai lokasi untuk pemindahan minyak dan pengumpulan dana oleh kumpulan seperti Hamas.
Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu, dan menyatakan bahawa tiada bukti untuk menyokong dakwaan bahawa penyedia perkhidmatan di Malaysia terbabit dalam membantu Iran mengeksport minyak mereka.
Sementara itu, Yeah Kim Leng, pengarah program pengajian ekonomi di Institut Jeffrey Cheah Mengenai Asia Tenggara, Universiti Sunway menyifatkan tindakan sekatan tersebut sebagai satu tembakan amaran oleh AS.
"Sekatan tersebut adalah sebagai satu amaran jelas kepada semua syarikat elektrik dan elektronik di Malaysia supaya mengambil serius mengenai langkah sekatan AS, dan memastikan bahawa mereka tidak melakukan pelanggaran dengan membekalkan produk mereka kepada negara-negara yang disekat," kata beliau kepada BenarNews.
Yeah percaya pengeluar cip mikro akan mematuhi arahan sekatan AS memandangkan risiko yang dihadapi perniagaan mereka sekiranya tidak bekerjasama.
Bagaimanapun, kata beliau, syarikat dagangan mungkin akan tergoda dengan pulangan tinggi yang ditawarkan oleh entiti yang memerlukan produk mereka dan sanggup membayar harga yang tinggi.
Penganalisis hubungan antarabangsa Samirul Ariff Othman, yang merupakan konsultan kanan di Global Asia Consulting (GAC), berkata syarikat pengeluar harus berhati-hati dalam memeriksa siapa pengguna akhir produk mereka kerana Rusia terus menerus mendapat akses kepada cip mikro walaupun dengan sekatan oleh AS.
"Ia adalah penting untuk mengesan bagaimana komponen ini jatuh ke tangan yang salah, atau Malaysia akan dilihat sebagai rakan subahat," kata beliau kepada BenarNews.
Tambah Samirul, terdapat kemungkinan syarikat dagangan memainkan peranan sebagai syarikat cengkerang dan membuatkan produk yang patut dihantar ke sesebuah negara ditukar destinasi ke negara lain dan akhirnya tiba ke Rusia dan China.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.