Majlis Keselamatan Negara digesa adakan mesyuarat tergempar

Pemimpin masyarakat Cina, pakar dan pertubuhan masyarakat sivil menggesa Putrajaya meredakan ketegangan kaum ekoran serangan bom petrol.
Minderjeet Kaur dan Iman Muttaqin Yusof
2024.04.02
Kuala Lumpur
Majlis Keselamatan Negara digesa adakan mesyuarat tergempar Dua lelaki berjalan di hadapan kedai KK Super Mart di Chow Kit, Kuala Lumpur, 18 Mac 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sebuah parti kerajaan yang mewakili masyarakat Cina di Malaysia menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara bagi meredakan ketegangan etnik berikutan serangan bom petrol ke atas rangkaian kedai serbaneka yang terkait insiden penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Lim Guan Eng, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), pada Selasa berkata kerajaan Persekutuan mesti bertindak mencegah sebarang perilaku yang menyemarakkan kemarahan sehingga di luar kawalan.

"Perdana Menteri perlu memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara bagi membincangkan situasi ini dan mengambil langkah segera untuk mengelakkan sebarang anasir pencetus menggugat keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," kata beliau.

Bekas Menteri kewangan itu berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Sultan Perak Sultan Nazrin dan pemimpin tertinggi negara serta pasukan polis telah mengeluarkan amaran keras bagi membendung keganasan yang berterusan.

"Biarpun Ketua Pemuda UMNO telah menafikan sebarang motivasi politik dan mengutuk serangan ke atas KK Super Mart, pemboikotan tidak menghentikan serangan ganas ke atas kedai serbaneka itu oleh anasir pelampau yang berbahaya," katanya.

Lim berkata serangan ke atas KK Super Mart di Sarawak, negeri di Kepulauan Borneo yang terkenal dengan sikap toleransi beragama dan komitmen terhadap perpaduan dalam kepelbagaian telah menimbulkan kebimbangan serta menyerlahkan tahap keseriusan situasi yang berlaku.

Pengarah rangkaian kedai serbaneka itu dan tiga wakil syarikat pembekalnya telah diheret ke mahkamah minggu lepas atas pertuduhan melukakan perasaan keagamaan kerana menjual stoking tertera kalimah Allah yang menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu Islam Malaysia.

Gambar stoking tertera kalimah Allah itu tular di media sosial pada Mac 13.

Susulan itu, Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Muhamad Akmal Saleh daripada parti gabungan Kerajaan Perpaduan menggerakkan kempen boikot KK Super Mart dan bertegas tidak akan menghentikannya meskipun pemilik rangkaian kedai serbaneka itu telah memohon maaf atas insiden penjualan stoking tertera kalimah Allah.

“Prinsip UMNO adalah untuk mempertahankan Islam, Bumiputera serta Raja-Raja Melayu dan ia tidak pernah berubah dari dahulu hingga sekarang dan insya-Allah ia akan kekal selama-lamanya. Itu yang Pemuda UMNO pegang sehingga mati,” tulis Akmal dalam hantaran di laman Facebook.

Pada Ahad, bom petrol dibaling di sebuah kedai rangkaian KK Super Mart di Sarawak sehingga menyebabkan beberapa kotak berisi air minuman di kaki lima premis itu terbakar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes itu merupakan insiden ketiga selepas dua lagi kedai KK Super Mart di Kuantan, Pahang dan Bidor, Perak mengalami serangan bom petrol minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah Mohd Naim Asnawi berkata setakat ini, tujuh saksi telah dipanggil memberi keterangan berhubung insiden di Bidor.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Akta Kesihatan kerana membahayakan. Pesalah boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," menurut Mohd Naim dalam satu kenyataan.

Mengenai serangan di Kuantan, seorang pegawai polis memberitahu BenarNews bahawa mereka masih menyiasat kes itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan pesalah berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan didenda," katanya.

Rakyat Sarawak terkejut

Voon Lee Shan, Presiden Parti Bumi Kenyalang di Sarawak pula berkata serangan bom petrol ke atas kedai KK Super Mart di Jalan Satok, Kuching mengejutkan masyarakat setempat dan ia bukan satu gurauan sempena 'April Fool.'

"[Kami] mengutuk tindakan keganasan yang pengecut. Ini adalah keganasan yang boleh mengganggu-gugat perpaduan dan keamanan yang sedang kita nikmati dalam kalangan rakyat pelbagai kepercayaan, agama dan kaum di Sarawak," menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau menggesa pihak berkuasa agar menggunakan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) untuk memerangi perbuatan ganas itu dan tidak menyiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membabitkan perbuatan khianat dengan api atau bahan letupan.

“[Ini] dilihat polis (seolah-olah) tidak cukup serius untuk bertindak terhadap penjenayah itu,” katanya sambil meminta pasukan khas ditubuhkan dan diketuai pegawai kanan yang berpengalaman untuk menyiasat serangan tersebut.

Beliau berkata penduduk di Sarawak hidup dalam ketakutan selepas serangan itu kerana terdapat kemungkinan ia boleh merebak ke pusat beli-belah dan tempat awam jika tindakan tegas tidak diambil.

Josef Benedict daripada kumpulan masyarakat sivil CIVICUS Asia Pasifik menyifatkan serangan ke atas kedai KK Super Mart jelas didorong oleh hasutan sistematik Ketua Pemuda UMNO dan kegagalan kerajaan bertindak pantas bagi meredakan keadaan.

"Pihak polis mesti mengambil langkah segera untuk mengheret dalang yang terlibat dalam serangan itu ke muka pengadilan.

"Lebih penting lagi, Perdana Menteri dan pemimpin lain mesti menghantar mesej yang kuat bahawa tindakan sedemikian tidak akan diterima dan mengambil tanggungjawab terhadap perbuatan pihak yang menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Kegagalan untuk melakukan perkara itu akan meningkatkan lagi rasa tidak selamat dan menjejaskan kedaulatan undang-undang negara ini," kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, yang berasal dari Sarawak, pula merayu semua pihak agar bertenang.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu menggesa orang ramai agar menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menangkap pihak yang terlibat.

“Saya mahu polis menjejaki suspek terbabit dan segera mendakwa mereka,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Kekang api perpecahan

Dua parti pembangkang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) turut menyeru rakyat Malaysia supaya tidak membuat sebarang provokasi melampau yang boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam negara.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberi amaran kepada mana-mana kumpulan ekstremis agar tidak meniup api perpecahan antara kaum dan agama di negara itu.

"Kami akan pertahankan hak semua rakyat Malaysia seperti mana yang diajar oleh Rasulullah dalam hukum perundangan Islam," tegasnya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata pemimpin, khususnya sultan dan raja, telah bertitah agar sebarang provokasi dihentikan.

"Biar undang-undang berjalan untuk menentukan kebenaran dan memutuskan isu KK Super Mart. Anda adalah warganegara yang sah di negara ini. Anda mempunyai hak dan ia perlu dipertahankan mengikut undang-undang," katanya.

Pada hujung minggu, Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya menjauhkan parti Islam itu daripada sebarang kempen boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart.

"Kami mahu menguruskan keadaan di negara ini supaya tiada konflik yang membawa kepada perpecahan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu seperti dipetik dalam laman sesawang akhbar berbahasa Inggeris The Malay Mail.

“Disebabkan itu, kami bersikap tegas dan tidak boleh menerima mana-mana pihak yang menghina mana-mana agama,” katanya pada majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa supaya bersikap tegas terhadap mana-mana ‘tangan ghaib’ yang sengaja menimbulkan perbalahan antara kaum dan agama di Malaysia.

Ahmad El-Muhammady, pakar antikeganasan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) berkata insiden itu bukanlah serangan pengganas kerana ia tidak dilakukan oleh ahli kumpulan pengganas sebaliknya individu yang tidak berpuas hati dengan isu stoking tertera kalimah Allah.

Bagaimanapun, beliau berkata perbuatan itu adalah sebahagian daripada tindakan melampau kerana bercanggah dengan nilai rakyat Malaysia.

"Ia tidak mencerminkan nilai agama dan budaya kita," katanya.

Pada hujung minggu lepas, Anwar mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri susulan insiden itu manakala Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pula mahu pihak yang menggerakkan kempen memboikot KK Super Mart bertanggungjawab terhadap serangan itu dengan membantu meredakan kemarahan umat Islam akibat provokasi kaum.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.