Pengawal pantai Malaysia adakan latihan keselamatan bersama Jepun di Laut China Selatan

Iman Muttaqin Yusof & Nisha David
2023.01.13
Kuala Lumpur
Pengawal pantai Malaysia adakan latihan keselamatan bersama Jepun di Laut China Selatan Para pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (kanan) dan rakan sejawat mereka Pengawal Pantai Jepun mengibarkan bendera negara masing-masing pada akhir sesi latihan di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia, 13 Jan 2022.
[Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Agensi pengawal pantai Jepun pada Jumaat menamatkan sesi keselamatan bagi melatih rakan sejawatnya dari Malaysia bagaimana menghalau penceroboh asing di kawasan perairan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dengan Beijing yang dilihat semakin asertif terhadap negara lain yang mengemukakan tuntutan.

Latihan empat hari itu merupakan kali pertama Malaysia dilatih menggunakan peranti akustik jarak jauh yang dikenali sebagai meriam bunyi, kata Saiful Lizan Ibrahim, Timbalan Pengarah Logistik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Latihan itu diadakan bagi melatih para pegawai dan anggota bagaimana menggunakan peranti itu dan juga menguji keberkesanannya terhadap kapal-kapal asing terutama yang bertindak menceroboh perairan negara,” menurutnya dalam satu kenyataan.

“Ia digunakan untuk menghalau kapal-kapal penceroboh yang enggan bekerjasama atau bertindak agresif terhadap kita.”

Peranti akustik jarak jauh adalah pembesar suara khas yang boleh menghasilkan bunyi pada kuasa tinggi untuk berkomunikasi merentasi jarak yang jauh. Ia adalah penambahbaikan daripada peranti panggilan yang digunakan oleh pengawal pantai Malaysia ketika ini.

Kerajaan Jepun telah menyumbang empat peranti ini kepada Malaysia, yang akan dipasang pada kapal peronda luar pesisir agensi maritim itu, kata Saiful.

Pegawai agensi pengawal pantai Jepun Tamura Makoto memaklumkan stesen penyiar rasmi negara itu NHK bahawa Jepun akan terus menjalin kerjasama dengan Asia Tenggara kerana rantau itu penting kepadanya.

“Asia Tenggara memiliki beberapa laluan laut yang penting kepada Jepun. Kami akan terus menyokong negara-negara di rantau ini supaya mereka boleh memastikan keselamatan maritim dengan lebih baik,” katanya yang dipetik dalam laporan pada Jumaat.

Jepun bukanlah pihak yang terlibat secara langsung dalam pertikaian mengenai Laut China Selatan seperti Malaysia namun ia adalah antara pihak yang berkepentingan dalam isu itu.

“Kepentingan pertama Jepun di Laut China Selatan ialah memastikan laluan bagi perdagangan antarabangsa berjalan lancar di rantau ini,” demikian menurut kertas kerja yang ditulis pada Oktober oleh H.D.P. Envall di Australian National University yang merujuk kepada buku Alessio Patalano bertajuk “Japan as a Maritime Power.”

“Kira-kira 80 peratus daripada import tenaga Jepun melakukan perjalanan melalui laluan di Laut China Selatan, begitu juga dengan sebahagian besar daripada perdagangannya,” menurut kertas kerja itu.

Ketika ini, Jepun terlibat dalam pertikaian berasingan dengan China di Laut China Timur terutama berkaitan Kepulauan Senkaku.

Bagi Laut China Selatan, Beijing menuntut hampir kesemuanya termasuk perairan dalam zon ekonomi eksklusif Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan. Meskipun Indonesia tidak menganggap ia sebagai antara pihak dalam pertikaian itu, Beijing menuntut hak dari segi sejarah kepada sebahagian daripada laut itu yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.

Beijing juga tidak menghiraukan keputusan mahkamah arbitrasi antarabangsa pada 2016 yang memihak kepada Manila dan menyatakan bahwa tuntutan China di Laut China Selatan adalah tidak sah.

Menurut laporan audit kerajaan Malaysia yang diterbitkan pada 2020, pengawal pantai dan kapal tentera laut China telah menceroboh kawasan perairan Malaysia di Laut China Selatan sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019. Kesemua kapal berada di perairan itu sehingga dihalau oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.

Indonesia, Vietnam dan Malaysia telah menuduh China mengganggu aktiviti penerokaan minyak dan gas mereka apabila kapal pengawal pantai serta tentera lautnya kerap kali melakukan pencerobohan sehingga membawa kepada beberapa pertembungan dan insiden yang tidak diingini.

Kesemua aktiviti oleh Beijing itu “dilihat sebagai sebahagian strategi tunggal daripada perspektif Jepun yang dilakukan oleh China dengan tujuan melemahkan tuntutan wilayah serta kawalan negara lain di kawasan terbabit selain mewujudkan kawalannya sendiri,” demikian menurut kertas kerja Envall.

“Jepun turut berdepan taktik zon kelabu yang sama – percubaan untuk mengugut yang tidak begitu jauh bezanya dengan apa yang disifatkan sebagai serangan bersenjata – di Laut China Timur,” katanya.

Seperti Malaysia, Jepun turut memperkukuh hubungan dengan pihak yang mengemukakan tuntutan di Laut China Selatan iaitu Filipina dan Indonesia.
China saksikan 'latihan ketenteraan dengan penuh syak wasangka’

Pengawal pantai Malaysia kekurangan sumber dari segi rondaan maritim, respons kecemasan serta penguatkuasaan, jadi ia memerlukan bantuan beberapa rakan kongsi termasuk Jepun dan Australia, kata Hoo Chiew Ping, pensyarah kanan dalam Pengajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Kebangsaan.

“Justeru, peranti akustik yang disumbangkan oleh Jepun akan meningkatkan keupayaan pengesanan oleh APMM dan menyediakan sistem amaran kepada nelayan kita bagi mengurangkan risiko pertempuran atau pertembungan maritim dengan kapal asing di perairan kita,” katanya kepada BenarNews.

Latihan dengan Jepun sudah tentu akan mengundang syak wasangka China, kata Shahriman Lockman, pengarah di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa.

“China sudah tentu akan melihat latihan sedemikian dengan penuh syak wasangka. Mereka akan meluahkan kekecewaan meskipun secara tidak rasmi kepada pegawai kerajaan Malaysia. Perkara ini sudah dijangka,” kata Lockman kepada BenarNews.

“Pada masa sama, China seharusnya memahami bahawa pada peringkat tertentu, Malaysia perlu membina keupayaan untuk mempertahankan diri.”

Lockman berkata China terus mengekalkan kehadirannya di zon ekonomi eksklusif Malaysia di Laut China Selatan.

“Secara berkala, kapal Pengawal Pantai China akan menyampaikan bantahan negara itu terhadap aktiviti minyak dan gas Malaysia di kawasan Luconia Shoals terutama Projek Pembangunan Gas Kasawari,” katanya.

“Kehadiran China telah menjadi normal baharu dan selalunya dibayangi oleh kapal-kapal kerajaan Malaysia. Sekali-sekala berlaku ketegangan namun ia dalam keadaan sederhana dan masih terkawal.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.