Tribunal Dapati Myanmar Bersalah Lakukan Genosid Terhadap Muslim Rohingya

Hadi Azmi
2017.09.22
Kuala Lumpur
170922-MY-MN-jurist-genocide1000.jpg Panel antarabangsa menyampaikan keputusannya terhadap Myanmar berhubung jenayah negara terhadap penduduk Rohingya dan kumpulan minoriti lain, di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya di Kuala Lumpur, 22 Sept. 2017.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Satu panel hakim antarabangsa mengisytiharkan pada Jumaat bahawa kerajaan Myanmar bersalah kerana melakukan genosid terhadap terhadap Muslim Rohingya, yang melarikan diri dari negara itu berikutan tindakan keras pihak tentera terhadap kumpulan minoriti.

Permanent Peoples’ Tribunal (PPT), rangkaian yang terdiri daripada cendekiawan dan pakar dari seluruh dunia, menyampaikan keputusannya selepas lima hari prosiding yang membicarakan dan mendengar keterangan saksi di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur.

"Kerajaan Myanmar bersalah melakukan jenayah genosid terhadap kumpulan Rohingya," kata Daniel Feierstein, seorang pakar undang-undang Argentina yang mengetuai panel itu, ketika membaca keputusan sebulat suara panel itu di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya.

"Lebih-lebih lagi, genosid terhadap orang Rohingya sedang berlaku dengan perbuatan genosid dan kemungkinan berlakunya kematian akibat genosid itu adalah lebih tinggi pada masa akan datang jika tiada tindakan diambil untuk menghentikannya," kata beliau.

Jenayah terhadap orang Rohingya layak dianggap sebagai genosid kerana Myanmar telah melaksanakan "dasar sistematik diskriminasi dan penghapusan fizikal," serta "penolakan identiti dan budaya secara aktif" terhadap mereka, kata PPT.

Panel itu mengumpulkan bukti daripada saksi, pakar dan pendakwa raya yang memperlihatkan adanya "penggunaan secara sistematik dari seluruh spektrum pencabulan yang berat terhadap hak untuk hidup dan maruah penduduk yang terjejas."

"Merogol wanita mungkin adalah yang paling menonjol pada masa ini, di samping pembunuhan dan pembakaran kanak-kanak dan orang tua, penyeksaan, serta senarai panjang perbuatan termasuk dalam definisi genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang," kata tribunal itu.

Lebih daripada setengah juta Muslim Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh pada tahun lalu di tengah-tengah operasi keselamatan menyeluruh di negeri Rakhine, dengan pakar-pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai "pembersihan etnik."

Operasi itu dilancarkan selepas militan Rohingya menyerang pos-pos polis dan membunuh kira-kira 24 orang anggota keselamatan. Kira-kira 1,000 orang telah terkorban dalam beberapa pertempuran selain operasi keselamatan oleh pihak tentera negara itu, demikian menurut PBB.

Keputusan itu menandakan buat pertama kalinya pakar undang-undang antarabangsa menggambarkan pembunuhan itu sebagai "genosid."

Wakil kerajaan Myanmar tidak memberi keterangan pada perbicaraan itu, atau memberi tindak balas terhadap permintaan supaya menghadiri tribunal berkenaan, kata pegawai PPT. Kedutaan Myanmar di ibu negara Malaysia juga tidak menjawab panggilan telefon daripada BeritaBenar.

‘Kebal sepenuhnya’

Tribunal berkenaan  juga mendapati Myanmar mempunyai "hasrat melakukan genosid" terhadap orang Islam lain di negara itu, dan penduduk Kachin serta melakukan "jenayah kemanusiaan" terhadap mereka.

Kumpulan etnik Kachin tinggal di utara negeri Kachin di Myanmar. Pemberontak di Kachin telah bertempur sejak beberapa dekad lalu untuk mendapatkan kemerdekaan atau autonomi dalam persekutuan Myanmar, dengan kerajaan yang memerintah negara pelbagai etnik itu, terus menerus menolak usaha sedemikian.

PPT – yang ditubuhkan pada 1979 dan beribu pejabat di Itali - adalah "tribunal pendapat" dengan keputusannya tidak mengikat dari segi undang-undang. Ia memulakan perbicaraannya mengenai sama ada jenayah negara sedang dilakukan terhadap pelbagai kumpulan di Myanmar di London pada Mac lalu.

"Negara Myanmar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah berikut yang menjadi lebih mengerikan kerana keadaan kekebalan sepenuhnya  yang dijamin oleh ketiadaan sistem kehakiman, kerana ia bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan tentera  yang secara umumnya adalah satu-satunya kuasa yang memerintah,"kata kenyataan itu.

Tribunal itu akan mengemukakan keputusannya kepada badan-badan antarabangsa dan kumpulan-kumpulan awam bagi meneruskan tekanan terhadap Myanmar, kata Feierstein kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Enam ahli panel lain PPT ialah peguam hak asasi manusia Nursyahbani Katjasungkana dari Indonesia dan Shadi Sadr dari Iran; Helen Jarvis, pakar undang-undang Australia-Kemboja; Gill Boehringer, bekas dekan fakulti undang-undang di Universiti Macquarie Australia; Nello Rossi, seorang peguam awam Itali; dan Zulaiha Ismail, pemegang amanah di Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia.

Hasina berucap di PBB

Keputusan tribunal itu dibuat ketika krisis kemanusiaan menjadi semakin buruk di tenggara Bangladesh, di mana berlakunya gelombang pelarian yang pertama seumpamanya apabila 429,000 orang Rohingya tiba di negara itu selepas tercetusnya keganasan di negeri Rakhine pada akhir Ogos, menurut angka terbaru daripada agensi-agensi bantuan.

Pegawai-pegawai  kerajaan Myanmar menyalahkan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) bagi kekejaman itu termasuk pembakaran ratusan rumah orang Rohingya di Rakhine.

Semasa berucap pada Perhimpunan Agung PBB pada Khamis, Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina menyeru Myanmar supaya menghentikan "kekerasan dan amalan pembersihan etnik di Rakhine" dengan serta-merta dan tanpa syarat.

Beliau juga meminta "zon selamat" diwujudkan di Rakhine supaya semua komuniti yang tinggal di sana dapat dilindungi "tanpa mengira agama dan etnik."

Pada Jumaat, penyelaras residen PBB di Bangladesh berkata, PBB memerlukan $200 juta dalam tempoh enam bulan akan datang untuk menangani kebanjiran pelarian, yang belum pernah terjadi sebelum ini, dari Rakhine.

"Anggaran terbaik kami pada masa ini ialah $200 juta. Kami sedang menyusun satu pelan yang akan siap dalam masa empat atau lima hari, "kata Robert Watkins kepada Agence France-Presse.

Awal minggu ini, Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia akan menyediakan hampir $32 juta bagi bantuan kemanusiaan baru untuk membantu pelarian di tenggara Bangladesh dan orang Rohingya yang terpaksa berpindah di Rakhine.

Semasa berucap di hadapan Majlis Keselamatan PBB, Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence juga menyeru pasukan keselamatan Myanmar supaya mengakhiri keganasan itu dengan segera. "Imej-imej keganasan dan mangsa-mangsa telah mengejutkan rakyat Amerika dan semua orang di seluruh dunia," katanya.

Dalam ucapannya kepada diplomat di Naypyidaw awal minggu ini, pemimpin umum Myanmar, Aung San Suu Kyi, berkata, tidak ada  pertempuran atau operasi pembersihan yang berlaku selepas 5 Sept dan mendakwa bahawa sebarang pencabulan hak asasi manusia akan ditangani "dengan norma-norma keadilan yang ketat . "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.