Malaysia: Penyerang Kelab Malam Movida Dengan Kaitan IS Dihukum 25 Tahun
2017.03.29
Kuala Lumpur
Sebuah Mahkamah Malaysia pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 25 tahun terhadap dua lelaki kerana melancarkan serangan bom di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur tahun lepas, yang merupakan perbuatan keganasan yang pertama di Malaysia yang didakwa dilakukan oleh anggota kumpulan Negara Islam.
Kedua-dua tertuduh merupakan suspek yang disabitkan dengan kesalahan melakukan serangan bom tangan pada Jun 2016 yang mencederakan lapan orang di kelab malam Movida di Puchong, pinggir bandar ibu negara Malaysia.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman serentak selama 10 tahun ke atas Wahyudin Karjono, 21, dan Jonius Indie, (alias Jahali), 24, atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas. Hukuman itu bermula sejak mereka ditangkap iaitu pada 29 Jun 2016, bagi Wahyudin , dan Jonius pada 1 Julai, 2016.
Pada Rabu, iaitu hari kedua perbicaraan mereka, Wahyuddin, seorang Imam, dan Jonius mengaku bersalah selepas mangsa serangan memberi keterangan terhadap mereka.
Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Nordin Hassan berkata kedua-dua lelaki terbabit melakukan perbuatan serius kerana mereka mengaku membaling bom di tempat awam.
"Pengeboman kelab malam Movida adalah satu jenayah berkaitan keganasan yang paling serius di negara ini," kata hakim.
“Tindakan anda telah membawa huru-hara kepada Malaysia. Tujuan hukuman mahkamah hari ini adalah untuk menghalang dan menghantar mesej kepada orang awam, termasuk rakan-rakan anda yang ingin meneruskan aktiviti keganasan mereka. "
Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin meminta mahkamah mengenakan hukuman yang berat, memandangkan mereka berdua telah mengubah pengakuan mereka lebih daripada sekali.
"Pada mulanya kedua-dua mereka mengaku bersalah selepas didakwa pada Julai tahun lepas, dan kemudian memohon dibicarakan. Dan pada hari ini, mereka telah membuat keputusan untuk mengaku bersalah lagi, "katanya sambil meminta hukuman penjara mereka berjalan secara berasingan, bermakna mereka perlu berada di penjara selama 35 tahun.
Peguambela Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dan P.A. Sharon memohon supaya hukuman ringan dikenakan terhadap kedua-duanya, dengan menyatakan bahawa tertuduh berasa kesal dengan tindakan mereka serta bertaubat sambil menambah yang mereka itu perlu diberi peluang kedua.
Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Cawangan Khas, Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia, menyambut baik keputusan mahkamah itu.
"Hukuman yang dikenakan oleh hakim boleh digunakan sebagai penghalang dan juga mesej kepada orang ramai atau sesiapa sahaja yang mempunyai hasrat untuk menyertai IS atau ingin membantu kumpulan pengganas," katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.
SOSMA: ‘Tiada penahanan tanpa perbicaraan’
Serangan pada 28 Jun 2016, yang berlaku pada kira-kira pukul 2 pagi di kelab malam itu, berlaku ketika para pelanggannya sedang menonton perlawanan bola sepak melalui televisyen berskrin besar.
Kedua-dua tertuduh didakwa membaling bom tangan keatas kelab malam tersebut, dari motosikal yang mereka tunggangi.
Polis mendakwa Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, anggota IS dari Malaysia yang berpangkalan di Syria, merancang serangan di Puchong itu.
Selepas serangan itu, Wanndy mencatatkan mesej di laman sosial Facebooknya dengan mendakwa bahawa anggota kumpulan pengganas itu yang bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Anis Natasha turut menyumbang kepada laporan ini.