Kementerian Kewangan ambil alih syarikat kendali projek kapal tempur negara

Pengambilalihan dibuat bagi membolehkan kerajaan memantau perkembangan projek dan siap pada waktu yang ditetapkan, kata Menteri Pertahanan.
Iskandar Zulkarnain, Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2023.05.26
Langkawi & Kuala Lumpur
Kementerian Kewangan ambil alih syarikat kendali projek kapal tempur negara Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang sedang dalam pembinaan di limbungan kapal Boustead Naval Shipyard (BNS) di Lumut, Perak, 13 Ogos 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kementerian Kewangan Malaysia telah memutuskan untuk mengambil alih sebuah syarikat yang dipertanggungjawabkan membina kapal tempur bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah kontrak kerajaan bernilai berbilion dolar yang kini sedang dalam siasatan oleh pihak berkuasa atas kelewatan kerja dan dakwaan salah tadbir urus, kata Menteri Pertahanan pada Jumaat.

Langkah berkenaan diambil bagi memastikan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) itu dapat dipantau dengan lebih rapi, kata Mohamad Hasan mengenai pengambilalihan syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) yang turut mengumumkan mengenai persetujuan kerajaan untuk menaikkan nilai kontrak bagi lima kapal LCS yang ditempah daripada RM9 bilion kepada RM11.2 bilion (AS$2.43 bilion).

Mohamad berkata Kementerian Kewangan telah menubuhkan sebuah syarikat bertujuan khas, atau Special Purpose Vehicle (SPV), bagi tujuan mengambil alih BNS sebagai satu anak syarikat kementerian tersebut.

"... selepas sahaja perjanjian ini ditandatangani, seperti mana dalam syarat-syaratnya, BNS akan dipindah hak milik kepada Kementerian Kewangan.

"Kementerian Kewangan telah mewujudkan Special Purpose Vehicle untuk menjadikan BNS ini sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan," kata beliau dalam satu sidang media selepas satu majlis menandatangani perjanjian antara Kementerian Pertahanan dan BNS di Langkawi, Kedah.

Menurut Mohamad, walaupun syarikat pembuat kapal itu telah diambil alih oleh kerajaan, projek pembinaan lima biji kapal LCS oleh BNS akan terus dipantau oleh sebuah pasukan pemantau projek yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dari Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Tambah menteri itu, projek pembinaan LCS yang telah tertangguh sebelum ini akan bermula susulan termeterai perjanjian pada Jumaat, dan Kerajaan menjangka kapal pertama akan dapat disiapkan sebelum hujung tahun depan.

"Projek akan bermula sekarang selepas kita tandatangan ini. Kita berharap kapal pertama akan disiapkan pembinaannya dalam November 2024 dan akan dapat ditauliahkan dalam satu tahun atau pada 2026," kata Mohamad kepada media.

Pada 2014, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan kontrak bernilai RM9 bilion (AS$2 bilion) kepada BNS untuk membina enam buah LCS bagi kegunaan TLDM.

Projek LCS, antara perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah negara itu, telah mendapat kritikan hebat setelah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tidak sebuah pun kapal disiapkan biarpun Malaysia telah membuat bayaran sebanyak RM6.08 billion (AS$1.43 billion) bagi projek berkenaan.

Selepas siasatan selama dua tahun ke atas kontrak berkenaan, Pengerusi PAC Wong Kah Wong mendedahkan yang TLDM seharusnya menerima lima buah kapal pada Ogos lalu, namun sehingga ini, tiada sebuah pun kapal telah disiapkan.

Pada Januari lepas, Panglima TLDM Laksamana Abdul Rahman Ayob mengumumkan bahawa jumlah kapal LCS yang akan dibina di bawah kontrak berkenaan dikurangkan kepada lima buah.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebab atau menjelaskan sama ada kontrak bernilai RM9 bilion (AS$2 billion) itu akan disemak semula.

Syarat tambahan

Dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, BNS berkata syarikat itu dan Kementerian Pertahanan telah memuktamadkan rundingan mengenai penyambungan semula projek LCS itu dengan beberapa syarat baru, termasuk pengurangan bilangan kapal kepada lima biji dan tarikh baru bagi penghantaran kesemua lima kapal tersebut.

Menurut BNS, kapal pertama mesti dihantar dan diuji sepenuhnya selewat-lewatnya pada bulan Ogos 2026, manakala kapal terakhir mesti dihantar dalam bulan April 2029.

"Nilai kontrak penuh telah disemak semula kepada RM11.2 bilion susulan, antara lain, kelulusan kepada perubahan spesifikasi dan lanjutan tempoh masa," kata pengumuman itu.

Selain itu, perjanjian baharu itu turut menyatakan bahawa bayaran akan dibuat berdasarkan kemajuan kerja yang dijalankan dan juga pelbagai elemen di dalam kontrak berpandu kepada rekabentuk, peralatan, pembinaan, ujian dan pentauliahan.

Sementara itu, Transparency International Malaysia (TI-M), sebuah kumpulan pemantau antirasuah menggesa kerajaan supaya mengamalkan ketelusan dengan mengumumkan apa sebenarnya telah berlaku kepada projek asal LCS di bawah kontrak bernilai RM9 bilion yang menyaksikan tiada sebiji pun kapal berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membayar lebih RM6 bilion kepada BNS.

Presidennya Muhammad Mohan Abdullah berkata Boustead dan kerajaan juga perlu mendedahkan perkembangan projek LCS yang disambung itu setiap tiga bulan kerana rakyat berhak mengetahui bagaimana wang pembayar cukai digunakan.

"Kita faham bahawa Kerajaan cuba menyelamatkan projek ini dan menyiapkan projek LCS yang telah lama tertangguh. Akan tetapi, Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk memberitahu rakyat apakah yang telah berlaku kepada projek itu sebelum ini dan bagaimana masalah tersebut dapat dielakkan di masa depan.

"Tujuannya bukan untuk mencari kambing hitam, tetapi kita mahu tahu bagaimana masalah ini terjadi supaya kementerian dan agensi kerajaan yang lain boleh belajar dari skandal ini dan mengambil langkah sewajarnya dalam projek-projek mereka di masa depan," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.