Bekas Pegawai Kanan Polis Tarik Diri Siasat Kehilangan Paderi, Aktivis Syiah

Aminah Farid
2019.07.02
Kuala Lumpur, Malaysia
190702-MY-Missing-Police1000.jpg Pasukan Unit Tindakan Khas Polis DiRaja Malaysia sesama siri latihan di Kuala Lumpur, 10 Julai 2017.
[AP]

Bekas pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang bagi jabatan itu telah menarik diri daripada panel yang sedang menyiasat semula sama ada pasukan tersebut, terlibat dalam kehilangan paderi Kristian dan aktivis Syiah Muslim, "untuk menjaga integriti dan ketelusan pasukan petugas," kata Kementerian Dalam Negeri [KDN].

Kementerian Dalam Negeri membuat pengumuman mengenai penarikan diri bekas Ketua Bahagian Perundangan PDRM Mokhtar Mohd Noor yang dilantik oleh kementerian berkenaan pada minggu lepas, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Selasa.

“Dato Mokhtar Mohd Noor, telah menarik diri secara sukarela daripada Pasukan Petugas Khas [PKK]. Keputusan itu dibuat atas rasa tanggungjawab beliau untuk memelihara integriti dan ketelusan PKK ekoran tindakan pihak tertentu yang mempersoalkan kesesuaian keanggotaan beliau dalam pasukan tersebut.

“Beberapa pertubuhan bukan kerajaan telah mempersoalkan perlantikan beliau sebelum ini kerana beliau dipercayai terlibat secara langsung dalam kedua-dua kes kehilangan Paderi Raymond Koh dan Amri Che Mat.

“Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali kerana beliau bukan merupakan saksi atau pegawai yang menyiasat kedua-dua kes ini. Pelantikan Dato Mokhtar Mohd Noor dibuat berdasarkan profesionalisme dan kepakaran beliau sebagai bekas Ketua Bahagian Perundangan PDRM yang mempunyai pengetahuan luas berkaitan isu perundangan PDRM yang boleh membantu PPK menjalankan fungsinya,” demikian menurut kenyataan empat perenggan itu.

Tidak dapat dipastikan bila tarikh sebenar Mokhtar menarik diri. Usaha BeritaBenar untuk mendapatkan komen beliau tidak berjaya kerana panggilan dan pesanan yang dihantar tidak mendapat sebarang respon balas.

Sabtu lepas, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mempertahankan perlantikan ahli PPK yang katanya tidak akan menjejaskan kredibiliti pasukan itu.

Menteri itu berkata, beliau ambil maklum mengenai keluhan daripada pelbagai pihak berhubung pelantikan Mokhtar dengan memberi jaminan yang ianya tidak akan menjejaskan siasatan kerana keanggotaan pasukan yang ramai.

“Lagipun, pengerusinya adalah bekas hakim di Mahkamah Tinggi. Saya yakin sepenuhnya. Beri mereka ruang untuk jalankan tugas,” katanya seperti yang dilaporkan oleh portal media Free Malaysia Today.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada minggu lepas memberitahu media tempatan Malaysia bahawa kerajaan pentadbirannya itu akan meneliti semula pelantikan ahli dalam pasukan khas yang baru diwujudkan itu.

Beliau berkata walaupun kerajaan berusaha untuk melihat dakwaan yang dilemparkan, ia tetap tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

“Sesetengah akan gembira setengah lagi mungkin tidak. Saya tidak boleh jamin seratus peratus kepuasan hati,” kata Perdana Menteri berusia 93 tahun itu.

Kenyataan KDN pada Selasa itu juga memaklumkan bahawa pengganti Mokhtar akan diumumkan tidak lama lagi dengan turut mengucapkan terima kasih kepadanya atas komitmen beliau dalam membantu mencari keadilan serta kesanggupan mengambil kira pandangan awam terhadap pelantikannya itu.

Pada 26 Jun lepas, Muhyiddin telah mengumumkan perlantikan enam anggota pasukan petugas khas itu yang diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Rahim Uda.

Pasukan itu akan menyiasat dan mengenal pasti sama ada ejen kerajaan terlibat dalam kehilangan paderi Kristian dan aktivis syiah, namun saudara-mara kedua lelaki yang hilang itu berkata pasukan petugas baru yang diwujudkan mungkin berat sebelah kerana beberapa anggotanya terdiri daripada pegawai polis.

Perlantikan panel enam anggota itu akan meneliti hasil laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) baru-baru ini bahawa "berdasarkan keimbangan kebarangkalian", kehilangan secara paksa Paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat dilakukan oleh pegawai polis.

Muhyiddin semasa sidang media pengumuman pasukan petugas khas itu berkata kerajaan melihat tuduhan Suhakam terhadap PDRM, terutamanya mengaitkan anggota-anggota Cawangan Khas dengan kehilangan kedua lelaki tersebut, sebagai perkara serius.

"Laporan yang dibuat oleh Suhakam telah mencetuskan banyak persepsi. Kementerian Dalam Negeri melihat dengan serius laporan Suhakam mengenai kehilangan mereka, dan atas sebab itu, perlu menyiasat laporan tersebut dengan terperinci agar adil kepada semua pihak," kata Muhyiddin.

Kritikan berdasarkan fakta

CAGED, kumpulan advokasi yang menentang kehilangan paksa menyambut baik keputusan penarikan diri Mokhtar itu dan berharap ia merupakan satu langkah awal dalam memperbaiki komposisi keahlian dalam PPK dan juga siasatan.

“CAGED mempersoalkan perlantikan Mokhtar adalah kerana beliau pernah mewakili polis dalam Inkuiri Suhakam dan melakukan penghujahan akhir (final submission) bagi pihak polis. Segala kritikan adalah berdasarkan fakta dan kami lega bahawa pengumuman KDN tidak mempersoalkan fakta tersebut,” kata kenyataan kumpulan advokasi itu kepada media pada Selasa.

Kumpulan advokasi itu juga berharap semua ahli pasukan petugas khas itu meletakkan jawatan kerana kata badan bukan kerajaan itu, “imej ahli sudah pun tercalar dan mereka patut mengikut jejak Mokhtar,”

Kumpulan itu turut mengingatkan Menteri Dalam Negeri bahawa penarikan diri Mokhtar cuma memenuhi satu daripada beberapa gesaan lain yang diutarakan oleh pihak bukan kerajaan.

BeritaBenar cuba mendapatkan maklum balas daripada isteri Paderi Koh, Susanna Liew tetapi diberitahu bahawa kenyataannya hanya akan diberikan pada satu sidang media yang akan dibuat pada Rabu dengan isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin enggan mengulas.

“Buat masa ini saya tidak boleh komen lagi,” kata Norhayati.

Paderi Koh diculik di sebatang jalan di pinggir Kuala Lumpur pada 13 Feb 2017 apabila beberapa kenderaan SUV dan motosikal memaksa keretanya berhenti sebelum sekumpulan lelaki bertopeng hitam membawanya pergi. Penculikan itu berlaku dalam tempoh kurang seminit dan dirakam oleh kamera pengawasan.

Beberapa kumpulan hak asasi sebelum itu berkata paderi tersebut mungkin menjadi sasaran kerana beliau dipercayai menyebarkan ajaran Kristian kepada penganut Islam namun, dinafikan oleh isteri beliau, Susanna Liew.

Amri, yang berasal dari Perlis pula, dilihat buat kali terakhir pada 24 Nov 2016 dengan kehilangan beliau juga bermotifkan agama berdasarkan dakwaan bahawa lelaki tersebut menyebarkan ajaran Syiah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.