Pekerja Tanpa Dokumen Punyai Hak Kes Didengari di Mahkamah Buruh

Hakim Mahkamah Rayuan berkata tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menghalang pekerja asing memfailkan kes di Mahkamah Buruh.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2022.05.13
Kuala Lumpur
Pekerja Tanpa Dokumen Punyai Hak Kes Didengari di Mahkamah Buruh Sekumpulan warga Indonesia yang bekerja di Malaysia menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 kelolaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) di Kedutaan Indonesia di Ampang, Kuala Lumpur, 5 Mac 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Seorang pembantu rumah tanpa dokumen rakyat Indonesia berjaya membawa kes tuntutan tidak dibayar gaji oleh majikannya ke Mahkamah Buruh selepas lima tahun berjuang untuk haknya itu apabila keputusan Mahkamah Rayuan pada Khamis memihak kepada wanita berkenaan.

Menurut peguambelanya V.K. Raj, Mahkamah Rayuan pada Khamis telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa seorang pekerja tanpa dokumen mempunyai hak untuk kesnya didengar oleh Mahkamah Buruh.

Raj yang bercakap kepada BenarNews berkata Hakim Mahkamah Rayuan, Ravinthran Paramaguru telah memutuskan bahawa tiada sebarang peruntukan dalam undang-undang – Akta Kerja 1955 dan Akta Kerja (Sekatan) 1968 – yang menghalang pekerja daripada memfailkan tuntutan di Mahkamah Buruh.

“Mahkamah Buruh tidak seharusnya menutup ruang kepada pekerja tanpa dokumen tanpa membenarkannya untuk mengemukakan tuntutan. Beliau (Hakim) bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang Mahkamah Buruh telah bertindak secara pramatang apabila menolak tuntutan Nona atas alasan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan yang dikemukan oleh pekerja tanpa dokumen,” kata Raj semasa dihubungi BenarNews.

Nona, nama yang diberikan bagi melindungi identiti beliau telah bekerja selama empat tahun di Malaysia sebelum pulang ke Indonesia.

Wanita Indonesia itu telah memasuki Malaysia secara tidak sah dan telah bekerja lebih empat tahun sebagai pembantu rumah kepada keluarga Angie Lee menurut dokumen mahkamah, sebelum melarikan diri daripada majikannya yang didakwa melakukan eksploitasi pada tahun 2017.

Wanita itu turut mendakwa beliau tidak dibayar gaji sepanjang bekerja dengan keluarga Malaysia tersebut. Nona telah menuntut keadilan dengan menfailkan kesnya di Mahkamah Buruh Pelabuhan Klang pada Oktober 2017.

Bagaimanapun, pada Ogos 2018 Mahkamah Buruh telah menolak tuntutan Nona ke atas bekas majikannya itu, atas alasan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kesnya disebabkan status beliau sebagai pekerja tanpa dokumen.

Susulan itu Nona telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di Selangor.

Pada 29 Julai, 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika itu, Azizah Nawawi memutuskan bahawa Mahkamah Buruh mesti mendengar kes pekerja tanpa dokumen tersebut untuk menuntut lebih RM30,000 (AS$6,822) ganti rugi gaji yang tidak dibayar oleh bekas majikannya.

Sebaliknya, bekas majikan Nona telah memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Mahkamah Rayuan yang bersidang pada Khamis telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya kes Nona didengar di Mahkamah Buruh.

“Keputusan Mahkamah Rayuan telah menegakkan prinsip undang-undang kerja jujur yang dilakukan oleh pekerja tanpa dokumen, layak untuk menerima bayaran gaji yang sewajarnya.

“Kami merasa lega kerana tidak mengalah dalam usaha kami mendapatkan keadilan buat Nona kerana keputusan ini memberikan sokongan yang amat diperlukan bagi usaha kami memastikan pekerja tanpa dokumen tidak diekploitasi,” ujar Joseph Paul Maliamauv dari Tenaganita yang berusaha mendapatkan keadilan dalam kes Nona sejak 2017 lagi.

Tenaganita, sebuah badan bukan kerajaan yang pejuang hak asasi pekerja migran menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah satu langkah penting dalam memastikan kumpulan terpinggir seperti pekerja asing tanpa dokumen mendapat akses kepada keadilan melalui Jabatan Buruh.

“Kami berharap dengan keputusan terkini Mahkamah Rayuan, Jabatan Buruh akan mempunyai mandat yang tidak berbelah bahagi untuk mengatasi sebarang percubaan licik menggunakan Akta Imigresen untuk menafikan hak asasi manusia,” ujar pengarah eksekutif Tenaganita Glorene Das dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Nona telah mendapatkan bantuan Tenaganita pada pertengahan 2017 selepas melarikan diri daripada majikannya setelah bekerja selama empat setengah tahun.

Sementara itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berharap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Nona akan dijadikan sebagai kes rujukan kepada kes-kes tuntutan sama yang masih dalam proses perbicaraan.

“Sebagai duta besar, saya berharap keputusan mahkamah dalam kes Nona akan dijadikan rujukan dalam perbicaraan kes-kes lain di mahkamah.

“Banyak kes yang melibatkan pekerja tanpa dokumen. Ada yang sedang dibicarakan di Mahkamah Buruh dan ada yang masih dibicarakan di Mahkamah Sivil,” ujarnya kepada BenarNews.

Hermano, yang baru berkhidmat selama satu setengah tahun sebagai duta besar Indonesia di Malaysia, bagaimanapun tidak mengetahui dengan tepat jumlah sebenar kes yang masih dalam perbicaraan di mahkamah.

Mengulas lanjut, Duta Besar itu melahirkan kekesalan kerana para pekerja tanpa dokumen diminta untuk mengemukakan dokumen permit kerja dan surat majikan dalam membuat tuntutan mereka.

“Sebagai pekerja tanpa dokumen, mereka tidak mempunyai dokumen sedemikian untuk dikemukakan sebagai bukti.

“Saya cuma berharap dalam kes pekerja tanpa dokumen seperti Nona, majikan juga perlu dipertanggungjawabkan,” ujarnya lagi.

Berdasarkan data Kementerian Luar Negeri Indonesia, dianggarkan seramai 3.1 juta pekerja negara itu bekerja di Malaysia, dengan separuh daripada mereka adalah pekerja yang tidak mempunyai sebarang dokumen imigresen.

Menurut data yang dikeluarkan Bank Indonesia pula, jumlah pekerja asing di Malaysia telah mencecah 1.7 juta pada 2021.

Pada tahun 2016, kerajaan Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia berikutan kes-kes penderaan melibatkan pembantu rumah Indonesia.

Rundingan pengambilan dan kemasukan pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia yang dimulakan pada 2017 dan akhirnya dipersetujui dan ditandatangani pada April 2022.

Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 30,000 pembantu rumah dari Indonesia diperlukan oleh para majikan di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.