Malaysia Tandatangani Perjanjian Ambil Pekerja Bangladesh

Ahmad Najmi Nasruddin
2016.02.18
160218-BD-malaysia-labor620 Menteri Sumber Manusia Malaysia Richard Riot Anak Jaem (kanan) dan Menteri Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Nurul Islam, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menerima 1.5 juta pekerja Bangladesh di bawah mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G-to-G Plus) secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun di Dhaka, 18 Feb 2016.
BeritaBenar

Malaysia dan Bangladesh pada Khamis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menerima 1.5 juta pekerja Bangladesh di bawah mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G-to-G Plus) secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.

Perjanjian itu ditandatangani di Dhaka antara Menteri Sumber Manusia Richard Riot yang mewakili kerajaan Malaysia dan Menteri Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Nurul Islam di Pejabat Ekspatriat Kebajikan Dhaka.

Perjanjian itu membolehkan pekerja Bangladesh diambil untuk bekerja dalam empat sektor di Malaysia, iaitu pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan perladangan.

Kerajaan Malaysia, bagaimanapun, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perjanjian MoU itu. Malah, media tempatan turut memetik laporan media Bangladesh berhubung perkara berkenaan.

Perdana Menteri Najib Razak yang kini dalam lawatan rasmi ke Amerika Syarikat sempena Sidang Kemuncak AS-ASEAN berkata kepada wartawan Malaysia, bahawa beliau akan berbincang dengan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi berhubung pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh itu, yang telah mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Najib sebagai berkata,"Saya fikir kami perlu memastikan apa juga langkah yang kami ambil perlu memenuhi keperluan ekonomi. Beberapa sektor ekonomi memerlukan pekerja seperti industri perladangan,"

Bagaimanapun, beliau mengambil perhatian bahawa kerajaan perlu menangani kebimbangan berhubung masalah sosial yang mungkin timbul daripada kemasukan pekerja asing dalam jumlah yang banyak.

Ahmad Zahid pada Jun lepas memaklumkan yang Malaysia akan membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi menampung permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri pada minggu lepas berkata, kemasukan pekerja dari negara itu, bukannya keputusan kerajaan tetapi bagi memenuhi keperluan pelbagai industri di Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut, “tiada satu angka mutlak bagi jumlah kemasukan pekerja Bangladesh kerana ianya bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat”.

Kenyataan kementerian itu, bagaimanapun dilihat sedikit bercanggah dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh Menterinya.

Richard Riot pada November 2014 berkata, jumlah pekerja asing di negara itu, sama ada yang sah atau pun tidak berjumlah seramai 6.7 juta orang dengan sejumlah 2.1 juta mempunyai permit sah dan berdaftar dengan Jabatan Imigresen.

‘Sabah kekal polisi’

Sementara itu, dalam memberi jawapan mengenai kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh itu, Sabah, sebuah negeri daripada 13 buah negeri di Malaysia, telah mengeluarkan kenyataan yang kerajaan negeri berkenaan telah menetapkan polisi tidak akan membawa masuk pekerja dari Bangladesh ke negeri itu.

Menteri Pembangunan Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Sabah, Siringan Gubat seperti dilaporkan Bernama berkata, negeri itu telahpun mempunyai polisi tidak membawa masuk pekerja dari negara berkenaan sejak tiga tahun lepas.

“Jadi tidak ada isu di sini. Polisi itu masih diguna pakai hingga kini," katanya dalam kenyataan sebagai jawapan kepada laporan yang menjadi viral di media sosial bahawa kerajaan negeri itu akan membenarkan kemasukan pekerja Bangladesh.

‘Memo bantahan’

Dalama pada itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Khamis turut menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan Malaysia berhubung isu kemasukan pekerja asing itu.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Dasar Kementerian Sumber Manusia Kua Abun oleh Setiausaha Agung MTUC N.Gopal Krishnam di kementerian berkenaan di Putrajaya, yang antara lain meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Siasatan Pekerja Asing dan membatalkan pengambilan warga asing demi kepentingan rakyat Malaysia.

"MTUC merasakan sekiranya kerajaan serius untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi maka kerajaan harus mengehadkan pengambilan pekerja asing,” menurut memorandum bantahan itu.

‘Rakyat bimbang’

Rata-rata rakyat tempatan melahirkan kebimbangan terhadap impak daripada langkah kerajaan itu, terutamanya terhadap rakyat yang masih menganggur.

Pembantu Teknikal Roszana Derus berkata, kemasukan pekerja asing ke dalam negara secara mendadak akan memberi kesan buruk yang mendalam kepada rakyat terutama yang belum bekerja.

“Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerajaan tidak boleh samakan zaman dulu dengan sekarang. Sekarang adalah zaman yang berbeza,” katanya ketika ditemui BeritaBenar.

Manakala, Eksekutif Kreatif sebuah majalah, Siti Nur Aishah Lukman berkata, kemasukan warga asing dalam jumlah yang ramai boleh mendorong kepada masalah besar yang melibatkan keselamatan.

“Sekarang ini jika dilihat pelbagai kes melibatkan warga asing seperti ragut, rogol dan macam-macam lagi.  Sebagai seorang wanita, saya pun takut hendak pergi kerja atau ke mana-mana,” katanya kepada BeritaBenar.

'Tidak adil label'

Sementara itu, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi manusia, Lawyers For Liberty berkata, rancangan kerajaan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh mungkin akan meningkatkan sentimen xenofobia dan perkauman.

“Adalah tidak adil jika sesetengah pihak melabel pekerja asing sebagai ‘punca’ pelbagai masalah sosial. Ini tidak boleh diterima untuk mereka membuat kenyataan melulu bahawa pekerja asing ini yang menyebabkan peningkatan jenayah, penyakit dan juga keganasan,” kata Pengarah Eksekutifnya,  Eric Paulsen dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu seorang pekerja Bangladesh Mohammad Shamim, yang bekerja di sebuah tapak pembinaan di kawasan Klang, Selangor memberitahu BeritaBenar, "Saya perlu menghantar pulang RM1,000 (AS $ 250) setiap bulan kepada bapa di Bangladesh, dengan RM500 sebagai bayaran balik hutang tiga tahun, sebagai pinjaman yang diberikan oleh saudara bagi membolehkan saya bekerja di Malaysia.

Malaysia pernah menandatangani perjanjian G2G dengan Bangladesh pada tahun 2012 untuk membawa masuk seramai 50,000 pekerja, namum selepas tiga tahun, rekod menunjukkan hanya sekitar 10,000 pekerja dibawa masuk ke Malaysia.

 

Suhana Osman di Kuala Lumpur dan Kamran Reza Chowdhury di Dhaka turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.