Lima Puluh Tiga Rakyat Malaysia Sertai IS Boleh Pulang Selepas Serah Diri

Hareez Lee
2017.11.07
Kuala Lumpur
171107-malaysia-raqqa-620.jpg Seorang anggota tentera Pasukan Demokrasi Syria semasa berperang dengan militan Islam di Raqqa, Syria, 12 Ogos 2017.
[AFP]

Malaysia sedia menerima semula 53 orang rakyatnya  yang menyertai Negara Islam (IS) tetapi terkandas di Timur Tengah selepas kejatuhan khalifah diiktiraf sendiri IS di bandar Raqqa, kata ketua polis negara pada Selasa.

Pihak berkuasa Malaysia akan membenarkan suspek militan itu, yang pasport mereka telah dibatalkan, untuk kembali ke negara berkenaan tetapi dengan satu syarat, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun kepada BeritaBenar.

"Sekiranya mereka sanggup menyerah diri, beritahu kami dan kami akan memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan," kata Fuzi. "Jika kami boleh bantu, kami akan bantu. Tugas kami adalah sentiasa tentang membantu orang. "

Pada 23 Okt, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Parlimen bahawa 53 rakyat Malaysia bersembunyi di medan tempur di Iraq dan Syria, selepas pihak tentera yang disokong Amerika Syarikat mengesan para pejuang IS dan merampas Raqqa, yang dikenali sebagai ibu negeri de facto kumpulan ekstremis itu. Beliau berkata, 34 rakyat Malaysia juga telah terbunuh dalam pertempuran di kedua-dua negara yang sedang bergolak dengan peperangan itu.

Fuzi berkata 53 rakyat Malaysia itu – yang terdiri daripada 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak - masih berada di Syria dan mungkin telah melarikan diri dari bandar-bandar di mana pertempuran sengit berlaku. Pegawai-pegawai lain sebelum itu mendakwa bahawa rakyat Malaysia mungkin mendapatkan perlindungan di kem-kem di sempadan Jordan dan Turki.

"Ya, mereka masih ada di sana dan saya telah pun menyebut angka itu sebelum ini. Mereka tidak mempunyai pangkalan sekarang dan tiada tempat untuk dituju kerana mereka telah dikalahkan. Mereka tidak boleh kembali kerana pasport mereka telah dibatalkan," kata beliau.

Ketua polis itu menggambarkan kesemua 53 orang itu seperti "anak lelaki yang kehilangan bapa mereka."

"Kini, mereka sedang mencari kelangsungan hidup," katanya. "Jadi, sama ada mereka melarikan diri ke negara lain untuk mendirikan pangkalan baru atau pulang secara haram."

Tetapi, Fuzi menyuarakan keraguannya jika rakyat Malaysia berkenaan sudah insaf untuk ke Syria atau Iraq bagi bertempur bersama-sama IS. Mereka mungkin tidak mahu mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Malaysia untuk menyerah diri, katanya.

"Saya fikir mereka tidak akan pergi ke Kedutaan Malaysia, kerana mereka tahu mereka akan ditangkap nanti," kata Fuzi.

Dalam tempoh empat tahun  lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 349 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas termasuklah IS. Enam puluh enam daripada suspek tersebut telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.

Pegawai-pegawai keselamatan Malaysia sebelum ini memberitahu bahawa mereka telah menahan dua rakyat Indonesia, seorang rakyat Malaysia dan dua warganegara Bangladesh yang cuba menyelinap masuk  ke selatan Filipina untuk menyertai Kumpulan Abu Sayyaf yang pro-IS. Kumpulan terbabit terlibat dalam pertempuran lima bulan dengan tentera kerajaan Filipina di bandar Marawi, yang menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam yang membentuk lebih daripada 60 peratus penduduknya, telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman berkaitan IS sejak 2013, kata pegawai-pegawai keselamatan. Bagaimanapun, serangan bom tangan yang dikaitkan dengan IS pada tahun lalu di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur, telah mencederakan lapan orang.

IS bersedia untuk fasa baru


Semasa berada di kemuncaknya pada 2014, Negara Islam yang juga dikenali dengan akronim lain seperti ISIS atau ISIL, telah menguasai Raqqa dan Mosul, bandar kedua terbesar di Iraq, dan menganggap kawasan tanah besar di kedua-dua sempadan negara itu sebagai kubu-kubu pentingnya.

Pemimpin IS, Abu Bakr al-Baghdadi, yang mendakwa dirinya sebagai pengganti khalifah, pemimpin Islam yang memerintah rantau itu pada abad yang lalu, mengisytiharkan penubuhan khalifah Islam di Mosul dan memujuk ribuan umat Islam di seluruh dunia, termasuk rakyat Malaysia dan Indonesia, untuk mengunjungi rantau itu demi berjuang.

Tetapi selepas IS dipaksa keluar dari Mosul pada Julai lalu dan setelah kekalahannya di Raqqa baru-baru ini, kumpulan itu mungkin sedang bersiap sedia bagi fasa baru dengan cuba mendapatkan kedudukan di Asia Tenggara, menurut penganalisis.

Pakar-pakar keselamatan telah memberi amaran bahawa pihak militan mungkin berpindah dari Timur Tengah ke selatan Filipina, walaupun para pegawai risikan Malaysia menyatakan sukar bagi rakyat mereka untuk keluar dari Syria kerana tidak lagi mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Pada Ogos lalu, seramai 18 warganegara Indonesia yang mengaku telah menyertai IS di Syria, diletakkan dalam tahanan polis selepas kembali ke tanah air mereka, kata para pegawai.

Mereka dilaporkan terdiri daripada bekas penjawat awam berpangkat tinggi dari Batam, sebuah pulau Indonesia yang terletak kira-kira 18 km (12 batu) dari Singapura, yang melepaskan jawatannya pada Ogos 2015 untuk pergi ke Syria, serta empat lelaki lain, sembilan wanita dan empat kanak-kanak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.