Malaysia, Amerika Syarikat Janji Kukuh Kerjasama Berkaitan IS

Hata Wahari
2018.03.27
Kuala Lumpur
180327-my-anifah620.jpg Menteri Luar Malaysia Anifah Aman berjabat salam dengan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John J. Sulivan dalam satu pertemuan di Washington D.C. 26 Mac, 2018.
[Ihsan Kementerian Luar Negara Malaysia]

Malaysia dan Amerika Syarikat terus memperkukuhkan kerjasama bagi kedua-dua negara dalam usaha mengekang peningkatan ancaman militan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria, dengan lawatan kerja Menteri Luar Anifah Aman ke Washington pada Isnin.

Anifah berada di Jabatan Negara Amerika Syarikat di ibunegara berkenaan pada Isnin untuk bertemu dengan Timbalan Setiausaha Negara, John J. Sullivan serta mengadakan perbincangan mengenai pelbagai isu berkait.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert kedua-dua pemimpin membincangkan mengenai isu Laut China Selatan termasuk kebebasan untuk belayar dan terbang secara bebas melalui perairan tersebut serta menegakkan perintah maritim yang berasaskan peraturan.

“Kedua-dua pemimpin juga berjanji untuk mengukuhkan kerjasama dalam menentang ancaman IS yang semakin meningkat di Iraq dan Syria,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara itu pada lewat Isnin.

Anifah dan Sullivan juga menegaskan pentingya Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS dan telah berikrar untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik, ekonomi dan keselamatan, menurut Nauert.

Sementara itu Wisma Putra  dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa berkata kedua-dua pemimpin membincangkan secara mendalam mengenai perkembangan kerjasama bilateral dua hala di antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Kedua-dua pemimpin juga bertukar pandangan mengenai isu yang menjadi kebimbangan bersama di peringkat antarabangsa dan serantau,” kata kenyataan tersebut.

Anifah memberitahu, bermula 1 April, Sullivan yang akan memangku jawatan Setiausaha Negara AS berharap adanya cara yang terbaik untuk memperkukuhkan hubungan diantara kedua-dua negara.

Sullivan akan memangku jawatan Setiausaha Negara AS bermula 1 April selepas bekas Setiausaha Negara Rex Tillerson dipecat oleh Presiden AS Donald Trump pada pertengahan Mac.

Trump pada September lalu memuji Malaysia atas peranannya dalam menentang keganasan ketika beliau mengalu-alukan kunjungan Perdana Menteri Najib Razak ke White House, dengan menyambut baik tindakan pentadbiran Najib kerana tidak lagi berurus niaga dengan Korea Utara, dengan berkata bahawa ianya adalah “amat penting" kerana Washington terlibat dalam usaha pelbagai hala bagi menghentikan program senjata nuklear Pyongyang.

"Perdana Menteri Najib telah memainkan peranan besar dengan tidak membenarkan ISIS - atau, seperti yang anda gelar, Daesh dan lain-lainya untuk wujud. Dan beliau juga benar-benar tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan merupakan penyokong kuat dalam isu tersebut,"kata presiden Amerika Syarikat itu kepada Najib. “Ini amat penting bagi Amerika Syarikat.” tambah Trump.

Najib, yang ketika itu diiringi Anifah dan penasihat lain, menekankan tentang sokongan kerajaannya terhadap kempen memerangi keganasan global yang dilaksanakan Washington.

"Kami komited untuk memerangi Daesh, IS, Al-Qaeda, Abu Sayyaf – apa jua namanya," kata Najib sebelum kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan dua hala tertutup, menurut transkrip yang dikeluarkan oleh White House.

"Mereka adalah musuh Amerika Syarikat, mereka juga musuh Malaysia, dan kami akan melaksanakan peranan kami bagi memastikan kawasan kami di dunia ini selamat.”

Najib memberitahu Trump bahawa negaranya, yang mempunyai majoriti penduduk Islam, akan menyertai perjuangan menentang IS menerusi perang saraf ideologi "kerana anda perlu menambat hati dan minda."

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta orang penduduk, termasuk 19.5 juta umat Islam, merupakan satu daripada ekonomi paling maju di Asia Tenggara. Ia telah menggagalkan sekurang-kurangnya sembilan rancangan pengeboman yang berkaitan dengan IS sejak 2013, menurut seorang pegawai.

Rancangan pengeboman yang dapat digagalkan itu termasuklah yang menyasarkan Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada Ogos 2017, kata pihak polis dan pada Jun 2016, militan berkaitan IS melakukan serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran ibu negara Kuala Lumpur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.