Malaysia Keluarkan Amaran Keselamatan Tinggi Terhadap Rakyatnya

Hata Wahari
2016.03.23
Kuala Lumpur
160323-my-brussels620 Kalungan dan jambangan bunga yang diletakkan oleh orang ramai yang berkabung, sehari selepas serangan bom yang melanda ibu negara Belgium, berhampiran stesen keretapi bawah tanah Maelbeek, Brussels, 23 Mac 2016.
AFP

Malaysia mengeluarkan amaran keselamatan tahap tinggi terhadap rakyatnya yang berada atau melancong di Brussel, selain memberi tumpuan keselamatan kepada beberapa kawasan yang dikenalpasti sebagai sensitif di negaranya, berikutan serangan bom di Belgium yang dipercayai didalangi oleh  kumpulan militan negara Islam (IS).

Ketua Polis Negara semasa dihubungi BeritaBenar menegaskan, tahap kesiapsiagaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di kawasan yang dikategorikan sensitif seperti pusat pentadbiran kerajaan, lapangan terbang, pusat membeli belah dan stesen-stesen Keretapi Aliran Ringan (LRT) berada dalam kawalan keselamatan yang tinggi.

Kementerian Luar Negara Malaysia pula mengeluarkan amaran kepada rakyatnya memaklumkan bahawa keadaan keselamatan di Brussels masih berada di tahap empat, iaitu tahap amaran keselamatan paling tinggi.

“Kedutaan Malaysia di Brussels menasihatkan rakyat Malaysia yang tinggal di Belgium atau yang sedang melancong di negara itu supaya sentiasa berhati-hati, mengambil langkah berjaga-jaga tambahan, sedar akan persekitaran, mengikut nasihat keselamatan serta tidak digalakkan melawat kawasan yang mempunyai tahap keselamatan tinggi,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian itu pada Rabu.

“Mereka yang berada di Belgium juga dinasihatkan untuk sentiasa memeriksa akaun Twitter Pusat Krisis Belgium di alamat @CrisiscenterBE,”

Khalid yang dihubungi BeritaBenar melalui aplikasi Whatsapp berkata, “Penggabungan tenaga antara PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia dalam menjalankan rondaan secara bersama sejak beberapa bulan lepas, diteruskan kerana melalui cara ini, membolehkan lebih banyak kawasan diawasi, dalam usaha menyekat sebarang aktiviti yang mempunyai elemen keganasan,”

Selain itu beliau menambah, PDRM terus menjalinkan hubungan dengan rakan dari negara-negara lain dalam perkongsian maklumat risikan.

Sekurang-kurangnya 35 maut manakala 130 orang dilaporkan cedera dalam tiga letupan bom di dua lokasi berbeza di ibu negara Belgium pada Selasa.

IS mengaku melakukan kedua-dua serangan bom itu yang melibatkan Lapangan Terbang Zaventem, pada kira-kira pukul 8 pagi waktu tempatan dan satu lagi letupan di Stesen Metro Maelbeek yang terletak berhampiran bangunan Kesatuan Eropah (EU), iaitu waktu puncak bagi orang ramai untuk pergi ke  tempat kerja masing-masing.

‘Taktik bersahaja’

Sementara itu, penganalisis jenayah keganasan, Akhbar Satar berkata, apa yang berlaku di Brussels membuktikan bahawa IS kini menggunakan taktik serangan yang lebih bersahaja dan menggunakan senjata yang tidak mudah dikesan di tempat awam.

“Seperti apa yang berlaku di Brussels, pihak berkuasa keselamatan Malaysia perlu meningkatkan risikan yang melibatkan penduduk tempatan yang mempunyai kecendorongan terhadap aktiviti keganasan serta mempunyai hubungan dengan sel militan di luar negara, kerana serangan yang sama juga boleh dilakukan oleh penduduk tempatan di negara ini,” katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

Beliau turut mengulangi desakan supaya lebih banyak pemeriksaan dilakukan terhadap penceramah agama terutamanya dari negara yang mempunyai sel militan IS seperti Indonesia, Yemen, Syria dan Iraq.

Sementara itu, akhar The Star, sebuah media tempatan Malaysia melaporkan dua rakyat negara itu, yang dikenali sebagai Belinda How serta anak istimewa beliau Shawn, sedang berada di lapangan terbang itu, untuk berlepas pulang ke tanahair setelah terselamat daripada serangan bom berkenaan.

Kedua-dua ibu dan anaknya yang hanya beberapa meter dari tempat berlakunya letupan di lapangan terbang itu, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menceritakan pengalamannya, Belinda berkata,“Kami beratur untuk mendaftar masuk bagasi di kaunter syarikat penerbangan Etihad iaitu lebih kurang pukul 7.50 pagi untuk pulang ke Kuala Lumpur apabila saya terdengar bunyi letupan yang kuat.

“Saya tidak pasti samaada ia adalah satu bom pada mulanya. Saya mengambil beberapa saat untuk sedar yang saya berada di dalam keadaan bahaya. Ini diikuti dengan jeritan kuat dari penumpang lain dan asap tebal.

"Dinding berhampiran kaunter kemudiannya runtuh. Letupan yang berlaku mengakibatkan runtuhan. Kami tidak terkena serpihan runtuhan. Kami berada kira-kira lima meter, dan orang ramai di terminal berlari keluar untuk menyelamatkan diri," tambahnya.

"Kami sempat melarikan diri mencari perlindungan dan ketika kejadian, Shawn sedang duduk di lantai, saya tiada pilihan selain mengangkatnya dan berlari," katanya.

"Semasa kami bergegas keluar, bom kedua meletup dari dalam terminal. Dengan diselimuti asap tebal, kami berjaya keluar dari situ. Kemudian, kami terdengar letupan ketiga semasa berada di luar,”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.