Filipina Teliti Keputusan Ekstradisi Dua Militan Abu Sayyaf
2016.05.24
Kuala Lumpur
Filipina sedang meneliti rayuan Malaysia untuk mengekstradisi dua anggota militan Abu Sayyaf yang dipercayai melakukan jenayah menculik dan membunuh Bernard Then, tahun lepas, kata jurucakap kerajaan negara itu kepada BeritaBenar.
Jurucakap Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur ketika dihubungi BeritaBenar mengesahkan bahawa kerajaan negara itu telah menerima permohonan Malaysia tetapi enggan mendedahkan tarikh permohonan dibuat.
“Keputusan untuk mengekstradisi Khadafi dan Saddam hanya akan dibuat oleh Jabatan Keadilan serta Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina. Saya percaya bahawa perkara itu sedang diteliti untuk pertimbangan,’’ katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Selasa.
Khadafi Muktadil dan Saddam Jailani ditangkap secara berasingan pada November tahun lepas di Sulu oleh pihak berkuasa Filipina kerana terlibat dalam penculikan dua rakyat Malaysia, iaitu jurutera Bernard dan pengurus restoran, Thein Nyuk Fun di Sandakan, Sabah, pada Mei tahun lepas.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Sulu sebagai tawanan tetapi Thein Nyuk dibebaskan pada 8 November manakala Bernard telah dipancung seminggu kemudian.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada November selepas memberitahu pihak polis melalui Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar, telah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Filipina untuk mengektradisi Khadafi dan Saddam.
Dalam pada itu, semasa menjawab soalan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi beritahu bahawa Malaysia telah membuat rayuan kepada pihak berkuasa kerajaan Filipina, namun masih belum mendapat maklum balas mengenai permohonan tersebut.
“Kerajaan Filipina bagaimanapun tidak terikat dengan mana-mana perjanjian untuk memenuhi rayuan ekstradisi tersebut.
"Sebaik menerima maklumat, kedua-dua anggota Abu Sayyaf itu terlibat dalam pembunuhan rakyat Malaysia dan ditangkap pihak berkuasa Filipina. Malaysia mengemukakan rayuan melalui saluran diplomatik untuk mengekstradisi kedua-dua penjenayah - Khadafi Muktadil dan Saddam Jailani setelah Mahkamah Majistret Semporna mengeluarkan waran tangkap bagi kedua-duanya pada disember tahun lepas,’’ katanya.
Kongsi Maklumat
Pada Disember lepas, jurucakap tentera Pemerintah Mindanao Barat Mejar Felimon
Tan, Jr. memberitahu pihak berkuasa Malaysia bahawa untuk mengektradisi kedua-dua militan Abu Sayyaf, Malaysia perlu melalui saluran protokol iaitu Jabatan Hal Ehwal Luar Negara.
Tan menambah, kesemua maklumat mengenai kedua-dua militan itu dikongsi bersama dengan Polis DiRaja Malaysia, menurut laporan media Filipina.
Malaysia, Indonesia dan Filipina pada awal bulan ini, telah bersetuju secara kolektif untuk memperkukuhkan langkah konkrit terhadap kawalan keselamatan di perairan sempadan Laut China Selatan yang dikenal pasti sering dicerobohi lanun dan pengganas.
Empat rakyat Malaysia telah diculik pada 1 April lepas oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjata dipercayai anggota militan Abu Sayyaf yang memintas sebuah kapal tunda yang membawa 10 kru di perairan berhampiran Pulau Ligitan, Semporna, Sabah, semasa dalam pelayaran pulang dari Filipina ke Malaysia.
Kesemua mereka masih ditahan penculik. Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam beberapa laporan media sebelum ini mengesahkan keempat-empatnya masih hidup dan rundingan sedang dijalankan.
Dalam usaha menyekat pencerobohan dan penculikan yang semakin meningkat di sekitar perairan Sabah, Malaysia membina sebuah Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) Polis di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dalam usaha untuk memperketatkan kawasan keselamatan perairan yang berdekatan.
“Pelaksanaan operasi FOB diketuai oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dengan gabungan daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNK) seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Tindakan Khas (UTK) dan Pasukan 69 Komando,’’ kata Khalid kepada BeritaBenar baru-baru ini.