Malaysia-Filipina Wujudkan Kerjasama Pangkalan Operasi Hadapan
2016.07.28
Kuala Lumpur
Malaysia dan Filipina telah bersetuju untuk bekerjasama dalam mewujudkan pangkalan operasi hadapan di sempadan perairan kedua-dua negara dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan dan penculikan, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.
“Perincian pembentukan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) itu akan dibincangkan oleh kedua-kedua pihak berkuasa negara dalam masa terdekat,” kata Khalid semasa dihubungi BeritaBenar pada Khamis.
Pengumuman mengenai kerjasama itu dibuat oleh Ketua Polis Malaysia itu selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Filipina, Jeneral Ronald Marapon Dela Rosa diluar Persidangan Ketua-ketua Polis [ASEANPOL] Negara-negara Asia Tenggara Ke-36 di Putrajaya.
"Hasil perbincangan itu, Filipina telah menyatakan persetujuannya untuk mewujudkan pangkalan operasi hadapan di perairan selatan negara itu… kami juga bersetuju untuk bekerjasama dalam segi pertukaran maklumat risikan dan pegerakan orang yang disyaki melakukan jenayah rentas sempadan,” tambah beliau.
Katanya, Malaysia sudah lama mempunyai pangkalan operasi hadapannya di beberapa lokasi di Sabah dan kini Filipina bercadang mengikuti jejak Malaysia
“Pesuruhjaya Polis Sabah Abdul Rashid Harun dengan Komander Polis Selatan Filipina akan mengadakan perbincangan mengenai perkara berkenaan,” tambah Khalid seperti dilaporkan media tempatan.
Pangkalan operasi hadapan pertama Malaysia telahpun beroperasi sejak 11 April lepas selepas kerajaan menyediakan peruntukan khas sebanyak RM50 juta di bawah inisiatif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah [ESSCom] untuk membina pangkalan hadapan itu sebagai satu tindakan proaktif untuk menghadapi sebarang ancaman musuh di perairan Sabah.
Pelaksanaan operasi pangkalan operasi hadapan itu diketuai oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dengan gabungan daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNK) seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Tindakan Khas (UTK) dan Pasukan 69 Komando.
Beberapa lagi pangkalan operasi hadapan Malaysia di sekitar perairan Sabah bakal diaktifkan dalam tempoh terdekat di kawalan keselamatan di bahagian sebelah utara di pantai timur perairan Sabah dan kawasan dibawah penyeliaan ESSCom yang sering diceroboh lanun dipercayai dari selatan Filipina.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kes penculikan telah dilaporkan meningkat di perairan antara Malaysia dan Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan mangsa culik selepas pihak mangsa gagal membayar wang tebusan.
Jumaat lepas, Khalid mengesahkan kepada BeritaBenar lima anak kapal warga Malaysia yang didapati hilang daripada sebuah bot di perairan Dent Heaven, Lahad Datu telah diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf.
“Kesemua mereka telah diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf dan pihak polis telah mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina. Bagaimanapun, belum ada tuntutan untuk wang tebusan diminta setakat ini,'' katanya kepada BeritaBenar.
Terdahulu itu, pada 9 Julai lepas, tiga anak kapal warga Indonesia dari sebuah bot pukal tunda milik Malaysia telah diculik oleh lima lelaki bersenjata yang berbaju hitam dan celoreng di sekitar perairan selatan Filipina berhampiran Lahad Datu.
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.