Malaysia Kesal Dengan Semua Dakwaan Amerika Syarikat
2016.04.22
Kuala Lumpur
Malaysia kesal dengan semua dakwaan yang terkandung dalam Laporan Hak Asasi Manusia 2015 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat minggu lalu, yang dilihatnya sebagai bersifat selektif dengan memberi gambaran yang negatif terhadap negara itu.
Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, laporan 37 muka surat mengenai negara itu, tidak mengambil kira usaha melindungi hak asasi manusia, dan dikeluarkan berdasar kepada maklumat yang tidak berasas dengan sumber yang objektifnya boleh dipersoalkan.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia tidak menjawab setiap dakwaan yang terkandung dalam laporan itu.
Ketika menolak intipati yang terdapat dalam laporan berkenaan, kerajaan negara itu berhujah dengan berkata laporan yang disediakan tidak melibatkan konsultasi rasmi dengannya, walaupun Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan dua hala yang baik.
Laporan Negara Hak Asasi Manusia 2015, yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat pada minggu lepas, adalah sebahagian daripada Laporan Tahunan Hak Asasi Manusia Negara-Negara, yang merangkumi 195 negara dan wilayah termasuk Malaysia.
Laporan itu menyatakan bahawa kerajaan Malaysia menguatkuasakan undang-undang terutamanya Akta Hasutan untuk menakutkan pengkritik Perdana Menteri Najib Razak dengan pelbagai siasatan, penahanan, penangkapan dan pertuduhan terhadap ahli politik pembangkang, masyarakat sivil dan wartawan.
Akta Hasutan tersebut mula digubal oleh kerajaan kolonial British pada tahun 1948 untuk memerangi komunis, dan telah dipinda oleh Malaysia berikutan rusuhan kaum pada tahun 1969.
Undang-undang itu yang mengtakrifkan "hasutan" secara meluas telah meletakkan banyak batasan terhadap kebebasan bersuara, terutamanya mengenai isu-isu politik yang sensitif, menurut laporan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia.
Pengkritik berhujah bahawa undang-undang berusia 68 tahun bercanggah dengan jaminan perlembagaan persekutuan negara itu, mengenai kebebasan bersuara.
Selain daripada mengutuk Akta Hasutan, laporan itu juga mengetengahkan isu-isu sekatan yang dibuat oleh kerajaan terhadap kebebasan bersuara, akhbar dan media, selain turut melaporkan mengenai pendakwaan dan penahanan bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim di mahkamah negara itu yang disifatkan sebagai bermotifkan politik.
‘Pendekataan berat sebelah’
Wisma Putra dalam kenyataannya itu turut menyebut, "Malangnya, pendekatan berat sebelah yang diambil Amerika Syarikat menolak pemahaman sebenar yang seimbang mengenai fakta bagi kes serta dakwaan yang dinyatakan dalam laporan berkenaan,”.
"Laporan itu jelas mencerminkan penilaian Amerika Syarikat yang berat sebelah berhubung perspektif kerajaan serta mengabaikan komitmen dan usaha kerajaan Malaysia berkaitan amalan hak asasi manusia di Malaysia.
"Amerika Syarikat terus mengabaikan kedaulatan Malaysia dalam menentukan hal ehwal dalamannya, serta tanggungjawab kerajaan untuk melindungi keselamatan negara dan mengekalkan keamanan dan ketenteraman di negara ini," tambah kenyataan itu.
Kenyataan itu juga berkata "Kerajaan Malaysia terus komited untuk memastikan bahawa kebebasan hak asasi seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan, dan ia akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan setiap rakyat menikmati kebebasan hak asasi tanpa menjejaskan hak orang lain atau ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara,”
Wisma Putra turut menegaskan bahawa Malaysia amat menghargai hubungan dua hala yang progresif dan dinamik dengan Amerika Syarikat dan percaya hubungan berkenaan mampu diperkukuhkan lagi sekiranya Amerika Syarikat memahami dengan jelas isu-domestik di Malaysia.
‘Tindakan terhadap pengkritik’
Mengulas mengenai laporan itu, Pengarah Eksekutif Lawyers of Liberty Eric Paulsen memberitahu BeritaBenar, Najib merupakan pemimpin yang "menyalahgunakan institusi kerajaan dan undang-undang dengan bertujuan untuk menindas pengkritiknya" kerana Perdana Menteri ke-enam itu terdesak untuk kekal berkuasa.
"Perkara-perkara remeh di media sosial diperbesarkan dengan hanya mahu melindungi kerajaan sehingga ramai orang disiasat dan didakwa atas komen mereka di laman Facebook dan Twitter.
Sebaliknya, individu dari parti pemerintah UMNO atau pro-UMNO biasanya dimanjakan apabila mereka berkelakuan buruk, "katanya kepada BeritaBenar.
Eric bersetuju kebebasan bersuara dan akhbar di negara ini tidak boleh dipandang ringan - "walaupun Malaysia tidak seburuk seperti negara lain seperti China dan Vietnam, tetapi berpendapat yang Malaysia nampaknya menuju ke arah itu.
Sementara itu, Zaharom Nain, seorang profesor media dan kajian komunikasi dari University of Nottingham berkata, sekatan ke atas media telah meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan boleh membantutkan kemajuan negara.
“Penggunaan Akta Hasutan secara bulat-bulat amat dikesalkan. Contohnya, mereka menutup mulut mereka yang berbeza pendapat.
Malah, ia tidak masuk akal - dan benar-benar menghina demokrasi - apabila belon, kartun dan muka badut dianggap hasutan, " katanya kepada BeritaBenar.
Zaharom yang juga penasihat CIJ Malaysia menambah bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah bahaya atau "zaman malap dengan kawalan yang tidak demokratik oleh sekumpulan mereka yang tidak menggunakan akal, pembuli serta mementingkan diri sendiri."