Malaysia Jatuh Satu Anak Tangga Dalam Indeks Persepsi Rasuah 2016
2017.01.25
Kuala Lumpur
Malaysia telah turun ke tangga 55 daripada 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 dengan mendapat skor 49 daripada 100, menurut Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Akhbar Satar ketika mengumumkan indeks yang dikeluarkan pada Rabu.
“Pada 2015, Malaysia menduduki tangga ke-54 dengan skor 50 daripada 100, manakala sembilan negara baru dalam CPI 2016 juga telah menyumbang kepada penurunan Malaysia ke tangga lebih rendah bagi 2016,” tambah beliau.
Akhbar berkata penurunan kedudukan Malaysia di dalam indeks tersebut perlulah diberikan perhatian segera dan beliau mencadangkan supaya pemimpin Malaysia menonjolkan sistem yang bersih dan efektif.
“Terdapat peribahasa Cina yang mengatakan jika rusuk diatas tidak lurus, rusuk yang dibawah pasti akan membengkok,” katanya.
Malaysia merupakan tiga negara teratas dalam kalangan negara Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), di bawah Singapura yang menduduki tempat ke-7 dan Brunei yang menduduki tempat ke 41.
Namun, Malaysia berada di atas Indonesia yang menduduki tangga ke 90, Filipina (101), Thailand (juga 101), Vietnam (113), Laos (123), Myanmar (136) dan Kemboja (156).
Skor dan kedudukan CPI 2016 itu ditentukan menerusi tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala ‘kosong’ (dianggap paling banyak kejadian rasuah) kepada 100 (paling bersih).
Denmark dan New Zealand berkongsi tangga pertama dengan skor 90 manakala Finland, Sweden dan Switzerland masing-masing dalam kelompok 5 negara indeks teratas.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel berkata, perang untuk menentang rasuah hanya boleh dimenangi apabila ia sejajar dengan kemahuan politik.
“Tetapi ia sukar dibayangkan apabila kepimpinan tertinggi politik negara terbabit dengan gejala rasuah, menekan hak sivil dan berpegang kuat kepada kuasa untuk terus memerintah,” katanya.
Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini telah dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas akhbar antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa hampir AS $700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya menjelang pilihan raya umum Malaysia pada 2013.
Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku.
1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, juga telah menafikan sebarang salah laku.
Pegawai kanan Felda ditahan
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperolehi perintah reman tujuh hari terhadap lima bekas pegawai dan pegawai yang sedang bertugas di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek ternakan ikan Sturgeon bernilai RM47.6 juta
Majistret di Mahkamah Putrajaya Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan suruhanjaya itu pada pagi Rabu untuk menahan reman kelima-lima lelaki itu bermula Rabu sehingga 31 Jan.
Kesemua individu termasuk dua bekas pegawai kanan Felda tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.
Kelima-lima individu yang berumur diantara 30 hingga 57 tahun tersebut telah ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang pada Selasa antara 11.30 pagi dan 1.30 tengah hari dalam satu operasi khas dikenali Ops Caviar.
Ops Caviar merupakan operasi khas untuk menyiasat dakwaan penyelewengan projek pemindahan teknologi penternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta (AS$10.7 juta) sejak 2014.
Mereka ialah bekas Ketua Pengarah Felda, bekas timbalan ketua pengarah (sumber strategik), bekas pegawai operasi yang bertanggungjawab untuk projek ternakan sturgeon di Taman Negara, di Pahang, ketua hartanah di London dan seorang penolong pegawai tadbir.
Dalam operasi tersebut, barang-barang berharga seperti sebuah kereta mewah dan barang kemas dianggarkan bernilai berjuta-juta ringgit telah dirampas dalam operasi itu.
Menurut sumber, lebih banyak lagi sumber rasuah dijangka akan dirampas setelah pegawai-pegawai SPRM melawat rumah dan mendapatkan butiran terperinci suspek-suspek tersebut.
Akaun-akaun perbankan ahli keluarga terdekat juga akan dibekukan untuk membantu siasatan, menurut sumber itu.
Felda telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah.
Antara fungsi FELDA adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.
Ia merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terkini yang disiasat oleh SPRM selepas suruhanjaya itu berikrar akan memberi fokus kepada pembanterasan rasuah dikalangan pegawai awam.
Difahamkan, pada Januari 2013 satu mesyuarat telah diadakan berhubung projek tersebut. Bagaimanapun, Lembaga Pengarah FELDA telah meminta suspek yang berusia 53 tahun untuk menyediakan laporan terperinci berhubung pelaburan projek tersebut untuk dibentangkan kepada lembaga pengarah.
Walaubagaimanapun, suspek tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah, Bahagian Perundangan dan Bahagian Kewangan telah menubuhkan Felda Carviative Sdn Bhd (FCSB) pada Januari 2014 dan telah mendatangani satu perjanjian dengan sebuah syarikat penternakan Ikan Sturgeon di Korea bernilai RMUSD45 juta(RM 146.25 juta).
Siasatan awal SPRM mendapati, projek tersebut bagaimanapun tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar, Negeri Pahang tetapi pembayaran mula dibuat kepada syarikat Korea tersebut seminggu selepas FCSB ditubuhkan.
Menurut sumber itu lagi disebabkan unit kewangan juga di bawah pengurusannya, suspek setakat ini telah meluluskan RM47.6 juta daripada dana Felda untuk membuat pembayaran kepada syarikat Korea tersebut melalui FCSB tanpa pengetahuan dan kelulusan Lembaga Pengarah sebelum menandatangani perjanjian tersebut.
Perjanjian bagi pelaksanaan projek Ikan Sturgeon yang ditandatangani itu meliputi pelaksanaan Technology Transfer Service Agreement (TTSA) dan Design and Build Construction Agreement (DBCA).
Perjanjian ini dipercayai telah ditandatangani oleh suspek bergelar Datuk dan suspek berusia 53 tahun yang juga merupakan bekas Pengarah FCSB.