Thailand Berkas Dua Lagi Rakyat Malaysia Seludup Meth Kristal
2016.03.30
Bangkok

Pihak berkuasa Thailand dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia berjaya menahan dua lagi rakyat Malaysia yang cuba menyeludup sejumlah besar methamphetamine kristal atau Ice, ketika cuba menyeberangi sempadan kedua buah negara tersebut, demikian diumumkan Polis Thailand pada Rabu.
Rampasan yang dibuat pada Selasa adalah yang terbesar sejak beberapa tahun lepas di negara berkenaan.
Dua lelaki tersebut, Chang Kim Sui, 49 dan Lim Yean Hooi, 37, telah ditahan di pusat pemeriksaan Sadao di wilayah selatan Songkla semasa yang memandu kereta secara berasingan, sedang menuju ke pintu sempadan kedua-dua negara.
Dadah seberat 282 kilogram itu disembunyikan di bahagian belakang tempat simpan barang kedua-dua buah kereta berkenaan, kata polis di ibu negara Thailand itu.
"Ini adalah jumlah terbesar yang kami berkas dalam masa beberapa tahun," kata Chakthip Chichinda, Ketua Polis Thailand di sidang media di mana kedua-dua suspek turut ditunjukkan.
Dengan penangkapan terbaru itu, seramai 23 rakyat Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Thailand, sejak minggu lepas.
Pada 24 Mac, Polis Thailand turut mengumumkan penangkapan 15 rakyat Malaysia yang disyaki cuba menyeludup 226 kilogram methamphetamine Kristal dan lapan kilo heroin semasa menaiki sebuah kereta api yang menuju ke Padang Besar, bandar di selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia.
Kedua-dua suspek rakyat Malaysia itu didakwa memiliki dadah berkenaan untuk jualan dan jika didapati bersalah mereka boleh berdepan dengan hukuman mati, kata polis sambil menambah mereka telah mengaku melakukan kesalahan itu.
Timbalan Ketua Polis Jeneral Pongsapat Pongcharoen yang turut hadir pada sidang media itu bersama Pengarah Narkotik Polis DiRaja Malaysia Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, siasatan mendapati kumpulan pengedar yang ditahan itu, tidak mempunyai kaitan dan cubaan juga dibuat untuk memastikan sama ada dadah itu dihasilkan dari tempat pengeluaran yang sama.
"Mereka adalah daripada sindiket penyeludupan dadah yang berlainan," kata Pongspat.
"Orang mungkin tertanya di mana dadah sebanyak itu dihasilkan. Kami cuba menyiasat kaitannya dan ujian makmal sedang dan akan dibuat terhadap rampasan di atas keretapi dan juga yang terbaru ini, untuk mendapat jawapannya," katanya.
Berdasarkan jumlah rampasan yang besar itu, polis percaya ianya dihasilkan di kilang.
Dalam pada itu, Leftenan Jeneral Polis Rawat Klinkesorn, Ketua Polis Narkotik Thailand berkata, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran Amerika Syarikat, Eropah dan Australia.
Rawat yang enggan mengesahkan di mana lokasi kilang (atau kilang-kilang) itu berkata, dadah itu berkemungkinan dibawa dari Myanmar ke Laos, melalui Vietnam, tetapi sejak laluan itu sentiasa diserbu, pengedar dadah memilih utara dan timur laut Thailand sebagai transit baru.
Katanya, kedua-dua suspek yang ditahan itu dipercayai menyewa sebuah rumah di daerah Sadao untuk beberapa bulan dan polis mengekori mereka sebelum membuat tangkapan bersama dadah yang dibawa itu.
"Kedua-dua lelaki itu, jika berjaya memasuki Malaysia, kereta mereka akan diambil alih oleh pemandu lain untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya," tambah beliau.
Rawat juga berkata, Thailand dan Malaysia mengalami kemusnahan akibat menjadi transit perdagangan dadah.(sentence not clear)
Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata, tahun lepas, PDRM telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM280 juta, dan bagi tiga bulan pertama tahun ini, lebih RM60 juta dadah telah dirampas.
“Ini adalah perang dadah yang kerajaan Malaysia isytiharkan pada 28 Februari lepas. Oleh itu, perang ini hanya boleh dimenangi menerusi kerjasama bersama kedua-dua negara. Dengan penangkapan ini, kami menghantar mesej yang jelas kepada pengedar dadah bahawa mereka tidak boleh lari daripada kami,” tegas beliau.