Malaysia Kongsi Pengalaman Di Washington Dalam Menentang Keganasan
2017.03.20
Kuala Lumpur
Malaysia adalah antara enam negara Asia dijangka menggariskan cabaran yang telah dihadapi berkaitan kumpulan pengganas Negara Islam semasa mesyuarat Menteri-menteri Luar Gabungan Anti-IS Global yang akan berlangsung di Washington pada Rabu, demikian menurut kenyataan Kementerian Luar negara itu pada Isnin.
Selain Malaysia, empat lagi negara Asia akan menyertai pertemuan itu termasuk Singapura, Jepun, Korea Selatan, Afganistan, serta Taiwan.
Gabungan Anti-IS Global itu disertai oleh 68 buah negara termasuk Malaysia, dan ditubuh pada tahun 2014, dengan komitmen untuk menewaskan pengaruh IS di serata dunia termasuk merungkai rangkaian dan menangani cabaran global kumpulan pengganas itu.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra pada Isnin, menyebut Menteri Luar Malaysia Anifah Aman akan menghadiri mesyuarat tersebut yang bakal membincangkan pelbagai isu termasuk penstabilan kawasan di Iraq dan Syria yang pernah ditawan IS.
“Semasa mesyuarat itu nanti, Anifah dijangka akan berucap mengenai ancaman semasa Daesh dari perspektif negara dan rantau, serta cabaran dan langkah pencegahannya.,” menurut kenyataan itu yang menggunakan terma lain IS.
Gabungan itu komited dalam menangani pembiayaan kewangan dan infrastruktur ekonomi IS, menghalang anggota IS merentasi sempadan, menyokong penstabilan dan pemulihan perkhidmatan awam di kawasan bebas IS serta mendedahkan naratif IS yang berbahaya itu.
Mesyuarat pada Rabu itu bakal dihadiri wakil-wakil termasuk dari Liga Arab, Kesatuan Eropah dan Interpol yang dihoskan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson.
Selain ancaman keselamatan dalam mengenalpasti langkah terbaik ke arah mencegah IS daripada terus melancarkan serangan, mesyuarat itu akan turut membincangkan isu-isu pemulihan.
“Mesyuarat tersebut juga dijangka membincangkan isu seperti keperluan bantuan kemanusiaan serta pembersihan periuk api (de-mining) dan bantuan penstabilan kawasan-kawasan di Iraq dan Syria yang pernah ditawan oleh IS,” kata kenyataan itu.
Selain itu, pertemuan itu juga akan memberikan perhatian yang khusus kepada usaha untuk mengekang penularan ideologi kumpulan pengganas melalui naratif palsunya.
Kehadiran Malaysia dalam mesyuarat itu, kata Wisma Putra, adalah satu sokongan dan komitmen negara berkenaan kepada gabungan global itu dengan kempennya untuk menentang IS.
“Malaysia percaya bahawa kerjasama antarabangsa, melalui inisiatif multilateral seperti ini, adalah kritikal dan merupakan komponen penting dalam strategi Malaysia menentang keganasan,” kata kenyataan itu.
Anifah juga dijangka bertemu dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat Rex Tillerson buat kali pertama bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama dan juga pembangunan global dan serantau.
“Pertemuan ini adalah signifikan mengambil kira ianya merupakan lawatan kerja pertama Anifah Aman ke Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald J. Trump,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam kenyataan medianya mengenai mesyuarat itu minggu lepas, berkata menteri-menteri luar juga akan membincangkan secara terperinci keutaman barisan gabungan itu termasuk ketenteraan, pengganas asing, pembiayaan untuk melawan keganasan, melawan pesanan keganasan (melalui media social), pemantapan kawasan bebas serta meningkatkan momentum kempen.
“Menteri turut akan membincangkan krisis kemanusiaan yang berterusan di Iraq dan Syria yang telah menjejaskan rantau berkenaan,” kata kenyataan Jabatan Negara AS bertarikh 9 March.