Malaysia Tidak Perlu 1.5 Juta Pekerja Asing

Oleh Hata Wahari
2015.08.12
150812-MY-MTUC620 Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik, Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. 28 Jul 2015.
AFP

Malaysia tidak memerlukan 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh dan pengambilan pekerja negara tersebut hendaklah dibatalkan serta merta, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Rabu.

Setiausaha Agung MTUC, N. Gopal Krishnam berkata, adalah lebih wajar sekiranya penduduk tempatan disediakan pakej gaji yang menarik serta latihan agar mereka juga boleh melakukan kerja yang merbahaya, sukar dan kotor .

"Ganjaran yang tinggi akan menarik minat penduduk tempatan menceburi bidang 3D (dangerous, difficult and dirty). Kini terdapat beribu-ribu pekerja Malaysia yang berulang alik setiap hari ke Singapura untuk bekerja. Kenapa? ‘’ katanya sambil mengaju soalan mengapa keadaan itu berlaku.

Katanya, ramai pekerja dari Malaysia sanggup berulang alik ke negara jiran itu dan melakukan kerja 3D kerana ganjarannya lebih tinggi dan setaraf dengan kerja yang dibuat.

Tambah beliau, pengambilan pekerja asing turut memerlukan latihan  sebelum pekerja boleh  diserapkan ke dalam sektor perladangan, pembinaan, pekilangan atau perkhidmatan.

Pada Jun lepas, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia akan membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh secara berperingkat di dalam tempoh tiga tahun bagi menampung permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

"Satu perjanjian akan dimeterai pada Julai antara Dhaka dan Kuala Lumpur untuk memenuhi permintaan pasaran pekerjaan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, inisiatif ini hanya melibatkan pekerja yang baru tiba manakala pendatang tanpa izin Bangladesh yang telah berada di Malaysia tidak terlibat, dan sebaliknya akan dihantar pulang," katanya.

Kementerian Dalam Negeri di dalam satu kenyataan pada Rabu lalu, turut menegaskan, kerajaan Malaysia dan Bangladesh akan terus berbincang bagi memastikan proses penghantaran pulang pekerja tanpa izin diselesaikan segera.

‘’Kedua-dua negara juga bekerjasama mewujudkan proses pengambilan pekerja secara telus, teratur termasuk menggunakan kaedah pengurusan pekerja asing secara atas talian dengan melibatkan pihak yang mempunyai kepakaran melancarkan operasi agensi kerajaan," tambah kenyataan kementerian itu.

Pada 7 Ogos lepas, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Bangladesh Abul Hassan Mahmood Ali berkata, kerajaan Malaysia terpaksa membawa masuk pekerja asing kerana rakyat tempatan tidak berminat bekerja di dalam sektor 3D.

“Oleh kerana industri dan perniagaan harus berjalan, maka kita kena cari alternatif iaitu membawa pekerja dari negara asing terutama dari Bangladesh," katanya.

Setiausaha Agung MTUC turut meluahkan kebimbangannya terhadap ribuan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah atas pelbagai sebab.

Gopal berkata, sebaliknya kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian menangani isu itu sebelum membuat keputusan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing lagi.

Beliau menggesa kerajaan supaya mengurangkan industri yang berasaskan tenaga buruh yang bergantung kepada pekerja asing, dan sebaliknya menjurus kepada industri yang berasaskan teknologi ketika negara menuju ke arah pendapatan tinggi dan mencapai misi 2020,

Tambahnya, Malaysia tidak harus bergantung kepada sumber tenaga asing kerana keadaan ini akan memudaratkan ekonomi dan mengurangkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.

Dipercayai lebih 600 ribu pekerja Bangladesh kini bekerja di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.