Program Penggajian Semula Kurang Sambutan, Kongres Sekerja
2016.02.23
Kuala Lumpur
Program Penggajian Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang diperkenalkan kerajaan untuk membolehkan kira-kira dua juta pekerja asing haram memiliki permit kerja yang sah, mendapat sambutan hambar, kata kongres sekerja dan badan bukan kerajaan Malaysia.
Antara sebab mengapa program itu mendapat sambutan dingin adalah kerana majikan kurang berminat dengan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan, bayaran yuran pendaftaran dan penalti yang tinggi, termasuk majikan masih lagi berurusan dengan ejen tidak sah.
Setiausaha Agung MTUC, N. Gopal Krishnam berkata, kesatuan itu mendapati faktor lain yang mendorong kepada sambutan dingin itu ialah kerana majikan berpendapat PATI yang tinggal lama di negara itu, telah faham dengan persekitaran ekonomi serta keadaan sosial negara dan mereka mula mempersoalkan tentang isu gaji.
Pada masa yang sama, Gopal juga berkata, tindakan Jabatan Imigresen yang melaksanakan penguatkuasaan secara besar-besaran di seluruh negara dilihat kurang tepat, tidak adil, serta tidak memberi ruang kepada majikan dan pekerja tanpa permit mereka.
"Kerajaan melaksanakan program ini, tetapi pada masa sama Jabatan Imigresen menjalankan operasi menangkap PATI. Tindakan ini dilihat seperti tidak seiring dengan pelaksanaan program yang diperkenalkan itu," katanya kepada BeritaBenar.
‘Lebih 8 ribu permohonan’
Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed, seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia pada Isnin berkata, sejumlah 8,689 permohonan daripada 1,144 majikan sudah diterima sejak ia mula diperkenalkan pada 15 Feb lepas.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Jumaat lepas telah mengeluarkan kenyataan yang antara lain memaklumkan mengenai pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terhadap pendatang tanpa izin di sekitar Kuala Lumpur.
Kenyataan itu berkata, seramai 2,125 warga asing telah diperiksa oleh JIM dan daripada jumlah itu sebanyak 971 ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dijalankan itu.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan turut menyokong kenyataan MTUC itu, dengan berkata sambutan dingin terhadap program berkenaan adalah kerana majikan tidak mampu membayar yuran pendaftaran dan penalti yang terlalu tinggi yang dikenakan oleh kerajaan.
"Kos minimum sebanyak RM1,200 (RM800 caj pendaftaran dan RM400 caj perkhidmatan) serta kos lain yang perlu ditanggung majikan antara kekangan yang menjadikan program itu tidak mencapai matlamat," katanya kepada BeritaBenar.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memansuhkan bayaran yuran pendaftaran PATI melalui program penggajian semula itu dalam menarik lebih ramai majikan menyertainya.
Shamsudin berkata, MEF akan menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim mengenai cadangan memansuhkan bayaran yurang pendaftaran pada 1 Mac depan.
Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) pula menasihati majikan menghentikan pembayaran kepada ejen yang terlibat dengan program ini kerana dikhuatiri mempunyai sindiket yang tersembunyi.
‘Ejen sah’
Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa ada majikan terpaksa membayar antara RM3,500 dan RM5,000 bagi setiap permohonan program itu kepada ejen yang dilantik oleh KDN.
“Kami menggesa majikan supaya tidak membuat sebarang pembayaran sementara waktu dan kami berharap agar KDN memberi pendedahan mengenai maklumat ejen dan kos pembayaran melalui media dalam memastikan majikan mengetahi butiran betul dan ejen sah yang sah dilantik,” tambah beliau lagi.
Beliau selain itu turut mencadangkan supaya kerajaan mengambil tindakan menutup perkhidmatan agensi pekerja asing kerana ia merupakan antara faktor mengapa PATI ramai di Malaysia.
“Kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memantau agensi penguatkuasaan di sempadan atau lapangan terbang supaya PATI tidak lolos,” tegas beliau lagi.
Bursa Malaysia minggu lepas, memaklumkan bahawa MY E.G. Service Bhd (MyEG), sebuah agensi kerajaan telah mendapat kontrak untu menguruskan program penggajian semula pekerja asing tanpa izin yang akan berkuatkuasa dari 15 Feb lepas.
Sementara itu, dalam temubual ekslusif bersama Bernama pada Selasa, Nur Jazlan berkata, adalah masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan program bekenaan yang dilaksanakan menerusi talian, sambil menyangkal dakwaan kononnya program itu kurang mendapat sambutan daripada majikan.
"Ada pihak yang kata program ini kurang berjaya dan tidak mendapat sambutan daripada majikan, tetapi saya ingin tanya kepada mereka apakah fakta yang mereka gunakan untuk membuat kenyataan sedemikian.
"Program ini masih awal, kita berharap mereka yang kata program ini tidak mendapat sambutan membantu kerajaan menyelesaikan masalah PATI ini, bukannya hanya merungut dan komen sahaja," katanya.
Timbalan Menteri itu turut menegaskan kepada majikan supaya tidak menunggu saat akhir untuk mendaftar pekerja mereka kerana jika majikan dikesan menggunakan pekerja asing tidak sah, mereka juga boleh dikenakan denda yang akan merugikan mereka.