UMNO, PAS Mahu Daftar Muafakat Nasional Tanpa Bersatu

Hadi Azmi & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-10-20
Share
201020-MY-MN1000.jpg Annuar Musa pada masa itu sebagai Setiausaha Agung Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Takiyuddin Hassan ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media khas di Ibupejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, di Kuala Lumpur, 25 Februari, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

UMNO dan PAS, dua parti utama gabungan pemerintah pada Selasa mengumumkan untuk mendaftarkan Muafakat Nasional [MN] sebagai blok politik secara rasmi untuk menghadapi pilihan raya umum, tetapi tanpa penyertaan parti Perdana Menteri, Bersatu, yang dilihat penganalisa politik antara tindakan memberi tekanan terhadap Muhyiddin Yassin supaya memenuhi permintaan lebih kuasa dalam kerajaannya.

Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pimpinan Ahmad Zahid Hamidi yang terpalit dengan kes rasuah bersama parti konservatif pimipinan Hadi Awang, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam satu kenyataan memberitahu yang Muafakat Nasional akan didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan, tanpa memberikan bila tarikh pendaftaran itu.

“Kepimpinan Muafakat Nasional telah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang.

“Kepimpinan kedua-dua parti telah bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia,” kata kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Agung Muafakat Nasional daripada UMNO, Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan dari PAS.

Kenyataan terkini dikeluarkan tepat seminggu selepas UMNO melalui Biro Politiknya secara sendirian memberitahu yang parti itu sedang mempertimbangkan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin serta syarat baru yang akan dikemukakan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam meneruskan kerjasama.

Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN yang sepatutnya berlangsung pada Isnin untuk membincangkan kemasukan Bersatu secara sah ke dalam blok politik itu bagaimanapun ditangguhkan pada saat akhir dengan alasan berlakunya peningkatan kes COVID-19 termasuk beberapa negeri serta wilayah berada dalam perintah kawalan pergerakan.

Muhyiddin pada Ogos lepas telah mengumumkan parti pimpinannya itu telah bersetuju menyertai MN dan kerjasama bersama dengan UMNO dan PAS.

Penganalisa politik bagaimanapun melihat langkah terkini UMNO dan PAS untuk mendaftar Muafakat Nasional adalah memberi tekanan kepada Muhyiddin yang kini tersepit akibat percaturan parti semasa membentuk kerajaan PN, dengan UMNO benar-benar kecewa serta memandang serius berhubung komposisinya dalam Kabinet Muhyiddin yang dirasakan tidak seimbang dalam mengagihan kuasa.

“UMNO merasakan mereka cuma diberi portfolio kecil walaupun mereka merupakan parti dengan kerusi terbanyak, sekaligus perwakilan mereka dalam Kabinet Perikatan Nasional dianggap tidak adil,” kata Pensyarah Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa, Tunku Mohar Mokhtar kepada BeritaBenar semasa dihubungi sambil menambah melalui tekanan itu, mahu tidak mahu, Muhyiddin perlu melakukan sesuatu.

UMNO sebelum ini juga menyatakan keengganan untuk menyertai gabungan PN, sebaliknya berkata parti itu menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atas kapasiti individu oleh kesemua 39 Ahli Parlimennya.

PN mempunyai sokongan keseluruhan 113 Ahli Parlimen selain UMNO (39), 31 dari Bersatu, diikuti PAS (18), MCA (2), MIC (1) dengan gabungan parti politik dari Sarawak (18) dan tujuh yang lain menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin.

“Saya merasakan bahawa UMNO benar-benar serius dalam permintaan mereka dan Muhyiddin dilihat perlu mengalah dan mendengar keluhan UMNO, serta cuba untuk meyakinkan parti itu dan PAS untuk sama-sama membantu Bersatu, demi kelangsungan politik Perdana Menteri.

“Jika dua Ahli Parlimen dari UMNO membuat keputusan untuk menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin, itu sudah cukup untuk kehilangan jawatan Perdana Menteri,” kata Tunku Mohar lagi.

Tambahnya lagi Bersatu juga berada dalam posisi lebih bahaya berbanding ketika menjadi parti tunggal mewakili kaum Melayu dan Bumiputera semasa bersama Pakatan Harapan.

Pada pilihan raya negeri Sabah penghujung September lepas, UMNO juga bertegas dengan pendiriannya untuk bergabung secara rasmi dengan Bersatu, PAS, dan STAR bertanding di bawah logo PN, sebaliknya memilih menggunakan logo BN.

Selepas kenyataan pendaftaran Muafakat Nasional itu disiarkan media tempatan, Annuar menerusi ciapan di laman media sosial Twitternya pada petang Selasa meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang tanggapan liar berkenaan ketiadaan nama Bersatu di dalam kenyataan yang dikeluar pada awal Selasa itu,

“Tidak benar, jangan sewenang-wenangnya membuat sebarang tanggapan,” kata beliau ringkas.

Annuar dan Takiyuddin serta pemimpin Bersatu gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasan lanjut berhubung kedudukan parti pimpinan Perdana Menteri dalam Muafakat Nasional.

Kerjasama PAS

Menurut Tunku Mohar, UMNO lebih mudah untuk bekerjasama dengan PAS memandangkan kedua-dua parti merupakan parti lama dan telah bekerjasama lebih awal sebelum menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Bersatu pasca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan Mac lalu.

“Bekerjasama dengan Bersatu lebih sulit memandangkan UMNO dan Bersatu mengharapkan sokongan pengundi dari demografi yang sama dan UMNO enggan memberi ruang kepada Bersatu untuk bertanding di kerusi yang dianggap mereka sebagai ‘kerusi tradisi’,” tambah beliau lagi.

Pakar Sains Politik UIA itu berkata, PAS mahu Bersatu bersama dalam MN tetapi UMNO mempunyai agenda tersendiri yang perlu dilindungi.

Bercakap tentang soal itu, professor daripada Universiti Sains Malaysia, Sivamurugan Pandian berkata PAS perlu mengenalpasti apa yang parti itu mahukan dan peranannya di dalam PN dan MN bagi mengelakkan kecelaruan kerana UMNO dan BN bukan anggota rasmi PN.

“Logo mana yang PAS akan gunakan dalam pilihan raya nanti? PAS? MN atau PN?” persoal Sivamurugan.

Beliau turut menambah bahawa UMNNO juga perlu melihat semula siapa rakan kerjasama mereka sama ada MN sebagai satu platform atau parti politik? Kalau parti, logo mana yang akan digunakan pula, BN atau MN?”

Menurut Sivamurugan, MN perlu membuat keputusan dan tetap dalam agenda dan matlamat mereka dalam membawa gabungan itu ke hadapan dan memenangi sokongan pengundi atas pagar dan pengundi bukan Melayu.

“PAS mungkin mahu menjadi ‘kingmaker’ dan pada masa yang sama mereka tidak harus menunjukkan bahawa mereka lebih dekat kepada mana-mana entiti jika mengambil peranan sebagai ‘mediator’. PAS akan diuji ketika pembahagian kerusi dan penggunaan logo dan ianya bukan sesuatu yang mudah buat PAS untuk berada dalam dua gabungan berlainan,” kata Sivamurugan kepada BeritaBenar.

Pemerintahan Muhyiddin yang baru berusia kurang lapan bulan baru-baru ini tergugat lagi apabila Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau telah berjaya mendapat sokongan majoriti yang kukuh untuk mengatasi majoriti tipis dua kerusi yang dipegang Muhyiddin dan berkata kerajaan Muhyiddin “sudah tumbang”.

Anwar yang bertemu Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah pada Selasa lalu walau bagaimanapun masih gagal membentuk kerajaan setelah pihak Istana Negara mendakwa Anwar gagal membawa senarai nama ahli-ahli parlimen yang menyokong kepimpinan beliau.

Politik matang

Agong turut meminta semua ahli politik untuk menunjukkan politik matang dalam keadaan semasa dan turut memberikan perhatian kepada situasi serta permasalahan rakyat ketika negara sedang berdepan pandemik COVID-19.

Selain Yang di-Pertuan Agong, Sultan Selangor, Sultan Syarafuddin Idris Syah turut menzahirkan kebimbangan baginda terhadap kemelut politik negara yang “dilihat tiada berkesudahan”.

Dalam satu kenyataan melalui setiausaha sulitnya, baginda berkata rakyat telah mula bosan dan meluat dengan tindak tanduk ahli politik yang bercakaran dan bertelingkah untuk merebut tampuk kuasa kerajaan.

“Baginda merasa dukacita kerana kebanyakkan ahli politik seolah tidak memperdulikan langsung masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19 dan ditambah pula dengan kedudukan ekonomi rakyat yang amat terjejas,” kata Muhamad Munir Bani bagi pihak Istana Selangor pada Selasa.

Baginda turut menggesa ahli politik untuk bekerjasama tanpa mengira latar belakang parti masing-masing untuk kesejahteraan rakyat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh