Rang Undang-Undang Mufti 2024: Perinci fungsi fatwa atau sekat kebebasan beragama?

Pengkritik berpendapat rang undang-undang ini berisiko melanggar kebebasan, kepelbagaian intelektual dan beri terlalu banyak kuasa.
Iman Muttaqin Yusof dan Minderjeet Kaur
2024.11.13
Kuala Lumpur
Rang Undang-Undang Mufti 2024: Perinci fungsi fatwa atau sekat kebebasan beragama? Umat Islam menunaikan solat Tarawih bagi menandakan permulaan Ramadan di Masjid Sri Sendayan di Negeri Sembilan, Malaysia, 11 Mac 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 yang dikemukakan bagi baca kali pertama di Parlimen Malaysia pada Julai lalu bagi memperinci bidang kuasa mufti di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya akan dibentangkan bagi dibahas tidak lama lagi.

Secara tradisinya, mufti dilantik oleh raja-raja negeri di Malaysia, di mana pihak berkuasa agama negeri mempunyai kuasa membabitkan hal ehwal agama Islam.

Pengkritik berpendapat rang undang-undang ini berisiko memberikan terlalu banyak kuasa kepada satu institusi agama, yang dilihat berpotensi melanggar kebebasan individu dan kepelbagaian intelektual.

Apakah kandungan RUU Mufti 2024?

Rang undang-undang itu menggariskan tugas dan kuasa khusus Jabatan Mufti bagi Wilayah Persekutuan dan memperjelas peranan mufti dalam menasihati raja membabitkan hal ehwal Islam, jelas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sirajuddin Suhaimee kepada BenarNews.

Pada masa ini, fatwa di Malaysia berfungsi sebagai pandangan berkaitan sesuatu hukum agama bagi perkara baharu yang ditimbulkan dan bukannya berbentuk undang-undang yang dikuatkuasakan kecuali dalam kes ia diwartakan.

Bagaimanapun, mengikut Perkara 10 rang undang-undang itu, fatwa mufti boleh menjadi undang-undang tanpa memerlukan kelulusan Parlimen sebaik sahaja ia diwartakan.

Sirajuddin berkata rang undang-undang itu dijangka dibentangkan bagi dibahaskan pada sesi sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung hingga 12 Disember ini tetapi tiada tarikh yang spesifik.

Mengapa sesetengah pihak menentangnya?

Walaupun penyokong berhujah rang undang-undang itu akan menambah baik peraturan Islam yang lebih konsisten, pengkritik termasuk Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin melihatnya sebagai satu langkah ke arah kuasa agama yang tidak dikawal dan ancaman kepada autonomi intelek.

Satu aspek yang dipertikaikan dalam rang undang-undang itu ialah mengehadkan tafsiran Islam kepada hanya empat mazhab Sunni - Syafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi yang telah mendapat kritikan tertentu.

Ahmad Farouk Musa, pengasas Islamic Renaissance Front, sebuah badan pemikir Islam berpendapat langkah itu menguatkuasakan pendirian teologi yang sempit dengan tidak memberi ruang kepada aliran pemikiran alternatif.

“Tidak akan ada lagi kebebasan hati nurani di negara ini. Semua umat Islam [di negara ini] mesti mematuhi teologi negara ini,” katanya kepada BenarNews.

“Saya fikir kerajaan meraikan kepelbagaian. Tetapi sebenarnya, kita membunuh kepelbagaian itu dengan rang undang-undang tersebut.”

Sisters in Islam (SIS), kumpulan hak wanita pula memberi amaran pada 1 November bahawa fatwa yang mengikat secara sah boleh mengakibatkan hukuman bagi tindakan yang tidak dijenayahkan di bawah undang-undang sivil.

MY-mufti2.jpg

Kanak-kanak duduk semasa ibu mereka mengerjakan solat di bulan Ramadan di Masjid Sri Sendayan, di Negeri Sembilan, 11 Mac 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Apakah implikasi terhadap hak negeri?

Perlembagaan Malaysia membahagikan bidang kuasa agama antara pihak berkuasa Persekutuan dan negeri dengan sembilan sultan menyelia hal ehwal Islam dalam negeri masing-masing.

Bidang kuasa agama di Wilayah Persekutuan pula terletak di bawah Yang di-Pertuan Agong yang bertindak sebagai ketua agama Islam di wilayah tersebut.

Seorang pakar perlembagaan berhujah rang undang-undang itu tidak melanggar hak negeri lain kerana ia hanya berkaitan dengan Wilayah Persekutuan.

“Autonomi pihak berkuasa agama negeri lain tidak terjejas kerana mereka dilindungi di bawah perlembagaan negeri masing-masing,” kata Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, pakar undang-undang perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.

Adakah ia memberi kesan kepada bukan Islam?

Walaupun rang undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam, pengkritik berpendapat bahawa peningkatan kuasa yang tidak terkawal untuk pegawai agama berpotensi menjejaskan hubungan antara agama.

“Mufti memainkan peranan yang sangat penting dalam hubungan kaum di negara ini terutamanya apabila insiden berbangkit mengenai isu agama,” kata pakar Farouk Musa.

“Implikasi rang undang-undang itu terhadap hubungan kaum memerlukan pertimbangan yang teliti memandangkan peratusan masyarakat bukan Islam yang tinggi di Wilayah Persekutuan.”

Begitu juga kumpulan Sister in Islam berkata dalam satu kenyataan 10 Oktober lalu memberi amaran bahawa memberikan fatwa kuasa undang-undang boleh menyekat kebebasan kepercayaan dan ekspresi secara menyeluruh.

“Dengan mewujudkan rangka kerja undang-undang yang mendiskriminasi amalan atau kepercayaan agama tertentu, rang undang-undang itu boleh membawa kepada penindasan sistemik terhadap mazhab minoriti dalam Islam, serta peminggiran masyarakat bukan Islam,” kata kumpulan itu.

Bolehkah ia mempengaruhi kuasa politik?

Sesetengah pemerhati melihat rang undang-undang itu sebagai strategi untuk memenangi pengundi Melayu konservatif, yang membentuk lebih 70 peratus daripada populasi, dengan menunjukkan komitmen kerajaan terhadap doktrin Sunni tradisional di Malaysia iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Asha'irah dan Maturidiah.

"Kerajaan mungkin melihat meluluskan rang undang-undang ini sebagai satu cara untuk mendapatkan sokongan orang Melayu kerana ia memperkukuh nilai tradisi golongan Sunni Malaysia," kata Azmil Mohd Tayeb, seorang penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia kepada BenarNews.

Bagaimanapun, Tunku Mohar Mokhtar, penganalisis sains politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia memberitahu BenarNews bahawa strategi itu mungkin menjadi 'senjata makan tuan' jika rang undang-undang itu dilihat sebagai melampaui batas.

“Jika rang undang-undang itu direka untuk meraih undi, ia mungkin menjadi senjata makan tuan,” katanya sambil menegaskan bahawa kebanyakan pihak yang mengkritik rang undang-undang tersebut terdiri daripada mereka yang sehaluan dengan Pakatan Harapan, gabungan pelbagai etnik di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.