Mugiyanto: Pengalaman Di KLIA Tidak Patah Semangat
2016.01.08
Mugiyanto Sipindi, aktivis Indonesia yang dihalang memasuki Malaysia selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dihantar pulang berkata, kejadian itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus membantu aktivis Malaysia dalam memperjuangkan hak asasi manusia di negara itu.
Beliau yang dijemput untuk berkongsi pengalamannya mengenai demokrasi di Indonesia menyifatkan apa yang terjadi kepadanya itu, adalah sesuatu yang memalukan, sebaliknya akan terus berjuang membantu rakan-rakannya di Malaysia.
Mugiyanto seorang pemimpin pelajar negara itu, semasa pergerakan reformasi anti-Suharto pada tahun 1998, dijadualkan berucap pada forum #YellowMania anjuran Bersih 2.0 di Dewan Perhimpuan Cina Kuala Lumpur pada malam Khamis.
Selepas tiba di KLIA dari Jakarta beliau dihalang memasuki Malaysia dan diarah untuk menaiki penerbangan yang sama pulang ke negaranya oleh Jabatan Imigresen pada Khamis.
“Perkara ini menyedihkan sekali dan ‘rejim berkuasa sedang ketakutan terhadap aktiviti perbincangan, yang diadakan secara tertutup’… Ini adalah satu ekspresi keamanan dan kebebasan bersuara,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Jumaat.
‘Bukan kes pertama’
Kes Mugiyanto, ini bukan pertama kali bagi Malaysia, kerana beberapa pemimpin luar pernah dihalang memasuki negara itu dan antaranya pemimpin pelajar Hong Kong, Joshua Wong dan Dr Ulil Abshar Abdalla, seorang cendikiawan dari Indonesia.
Bagaimanapun, forum yang dirancang itu tetap berjalan melalui aplikasi Skype dengan aktivis itu bercakap dari Bogor, Indonesia.
“Melalui diskusi forum yang diadakan hampir dua jam malam tadi, saya berkongsi pengalaman sewaktu menjadi aktivis mahasiswa serta pentingnya mengurusdiri supaya lebih memahami persoalan dasar negara,” tambahnya yang bertugas sebagai Pegawai Kanan Program Hak Asasi Manusia di Forum Antarabangsa Mengenai Pembangunan Indonesia (INFID) di Jakarta.
Mengulas mengenai halangan kemasukannya ke Malaysia, aktivis itu berkata, ia sekaligus menunjukkan bahawa Malaysia masih tertinggal jauh dalam hal demokrasi berbanding Indonesia.
“Ia sangat ironi dan terjadi beberapa hari selepas semua negara ASEAN, memasuki era Masyarakat Ekonomi ASEAN, dengan perkara paling dasar dari segi integrasi dan hak asasi manusia sudah dilanggar oleh Malaysia,” katanya lagi.
Mugiyanto, bagaimanapun memuji tindakan pihak imigresen dan polis Malaysia yang melaksanakan tugas mereka dengan baik dan tidak kasar dengannya serta diajak berbincang ketika berada di KLIA semalam.
Sementara itu pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang dihubungi BeritaBenar pada Jumaat tidak mahu mengulas lanjut mengenai tindakan menghalang aktivis Indonesia itu memasuki Malaysia.
‘Tidak endah’
Dalam pada itu, penganjur forum berkenaan, Maria Chin Abdullah berkata, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengusir Mugiyanto adalah keterlaluan serta tidak mengendahkan hak untuk bersuara dan berpersatuan.
“Kami malu dengan tindakan mereka memandangkan Perdana Menteri Najib Razak menjelajah dunia untuk memberitahu setiap kerajaan dan rakyatnya bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang sederhana.
“Pengusiran Mugiyanto merupakan satu petunjuk tentang rejim diktaktor, serta rasa tidak selamat, hingga perlu bertindak melakukan perbuatan yang berbentuk penindasan,” katanya kepada BeritaBenar melalui aplikasi Whatsapp pada Jumaat.
Maria Chin berkata tujuan Bersih menjemput Mugiyanto adalah sekadar untuk berkongsi pengalaman dalam membawa perubahan demokrasi di Malaysia terutama dalam sistemnya dan menyingkirkan pemimpin korup.
Pengarah Eksekutif "Lawyers for Liberty" Eric Paulsen berkata, “walaupun undang-undang imigresen menyediakan budi bicara yang luas untuk pihak berkuasa imigresen mengawal kemasukan dan pelepasan warga asing, mereka perlu diingatkan bahawa kuasa-kuasa ini mesti dilaksanakan dengan betul dan bukan untuk sebarang motif tersembunyi”.
Sementara itu, beberapa badan bukan kerajaan Indonesia mahu kerajaan negara itu menghantar nota protes terhadap Malaysia atas tindakan menghalang kemasukan Mugiyanto itu.
“Tindakan kerajaan Malaysia itu jelas bertentangan dengan komitmen ASEAN dalam memajukan hak asasi manusia di rantau ini,” kata Sugeng Bahagijo, Pengarah INFID kepada BeritaBenar di Jakarta.
Koalisi Masyarakat Sivil Indonesia melalui wakilnya Daniel Awigra pula menyifatkan tindakan Malaysia itu, mirip kepada tindakan yang pernah dilakukan semasa pemerintahan Soeharto dan bertentangan dengan kesepakatan kerjasama antara negara ASEAN.
Ismira Lutfia Tisnadibrata di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.