Menteri Hal Ehwal Agama Islam Suarakan Sokongan Untuk Pekerja LGBT

Ali Nufael
2018.07.17
Kuala Lumpur, Malaysia
180717-MY-cinema-1000.jpg Wanita Muslim melihat poster filem bertemakan gay di sebuah pawagam di Kuala Lumpur, 8 April 2010.
[AP]

Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal agama Islam Malaysia pada Selasa membuat ulasan yang mengejutkan dengan menggesa orang ramai supaya berhenti mendiskriminasi mereka yang lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di tempat kerja selagi mereka tidak mendedahkan seksualiti masing-masing secara terbuka.

Semua orang termasuk komuniti LGBT mempunyai hak dan kebebasan yang sama, kata Mujahid Yusof Rawa kepada pemberita.

Susulan ulasannya itu, Mujahid dikritik ahli politik dan tokoh agama Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Muslim, dengan Islam adalah agama rasmi dan perlakuan homoseksual seperti liwat adalah diharamkan dan boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara.

"Tidak seorang pun harus didiskriminasi di tempat kerja atau dihalang daripada bekerja," kata Mujahid, yang juga Anggota Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah)  dan menteri yang bertanggungjawab dalam urusan agama Islam di Jabatan Perdana Menteri dalam kerajaan baru Malaysia.

Mujahid, yang meninggalkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif untuk menyertai Amanah berkata, golongan LGBT haruslah bebas untuk bekerja.

"Selagi mereka boleh bekerja dan mereka tidak cuba untuk mencabar sistem di mana ia boleh membawa kerosakan kepada Islam, oleh itu, tidak ada masalah," kata menteri itu kepada pemberita di Parlimen.

Ulasannya mengenai isu sensitif berhubung hak untuk golongan LGBT nampaknya adalah yang pertama dibuat oleh seorang pegawai kerajaan di negara itu, namun, ia dibuat dengan batasannya. Mujahid berkata, orang Islam yang mendedahkan seksualiti mereka boleh berdepan masalah jika mereka tidak mencerminkan nilai-nilai Islam di Malaysia.

Bagaimanapun, ia tidak jelas sama ada kenyataannya memberi isyarat perubahan politik terhadap hak LGBT atau sama ada Pakatan Harapan, pakatan parti-parti yang memerintah Malaysia termasuk Amanah, akan mengambil langkah untuk menghapuskan undang-undang yang menjejaskan golongan homoseksual. Dalam manifesto pilihan raya, Pakatan Harapan tidak menyebut tentang golongan LGBT tetapi berjanji untuk "membina negara yang inklusif dan sederhana".

Mujahid mengulas tentang perkara itu selepas ditanya tentang Numan Afifi, yang pro-LGBT, yang terpaksa meletakkan jawatan sebagai setiausaha akhbar menteri belia dan sukan dalam kerajaan baru itu.

"Apa pun, seksualitinya, beliau tetap profesional dan berdiam diri. Oleh itu, beliau tidak melanggar mana-mana undang-undang, " kata Mujahid.

Anggota Parlimen PAS Takiyuddin Hassan, yang mencabar ulasan ‘yang tidak disangka’ daripada Mujahid, memberitahu BeritaBenar bahawa ulasan itu boleh menyebabkan umat Islam menganggap bahawa menjadi LGBT dibenarkan dalam Islam.

"Sebagai seorang menteri, beliau harus tahu apa yang boleh diperkatakan. Dari segi undang-undang, menjadi golongan LGBT  adalah satu kesalahan, " kata Takiyuddin. "Tafsiran yang dibuatnya boleh menimbulkan kekeliruan, dengan orang Islam dan bukan Islam akan berfikir bahawa menjadi gay adalah OK dalam Islam."

Mujahid dan Takiyuddin ‘dibesarkan’ dalam politik PAS tetapi Mujahid meninggalkan parti itu untuk membentuk Amanah dengan anggota-anggota progresif PAS yang lain.

Mujahid berkhidmat sebagai menteri dalam kerajaan berikutan Amanah adalah satu daripada parti dalam Pakatan Harapan yang mengalahkan kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei. PAS tidak menyertai pakatan itu.

Anwar Ibrahim, ketua umum Parti Keadilan Rakyat iaitu sekutu utama Pakatan Harapan, pernah menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat kedua dan apabila Pakatan Harapan memenangi pilihan raya, Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Muhammad V memberi Anwar pengampunan diraja sepenuhnya yang membolehkan beliau kembali ke kancah politik.

Anwar dijangka mengambil alih jawatan perdana menteri apabila Mahathir Mohamad, 93, melepaskan jawatan itu dalam masa satu atau dua tahun lagi.

'Kami hanya mahukan pengiktirafan'

Dalam reaksinya kepada kenyataan Mujahid, Mufti Negeri Pahang Abdul Rahman Othman berkata menteri hal ehwal agama Islam itu sepatutnya lebih bijak.

"Saya tidak tahu apa niat sebenar beliau, tetapi jika beliau tidak mahu apa-apa diskriminasi di tempat kerja, beliau perlulah menjelaskan sebabnya," kata Abdul Rahman. "Kenyataannya juga mesti menjelaskan mengapa umat Islam mesti menolak (golongan) LGBT."

Sementara itu, seorang aktivis hak LGBT memuji pendirian Mujahid.

Nisha Ayub, yang dipenjarakan kerana berpakaian seperti wanita dan diserang oleh mereka yang homophobia (anti golongan homoseksual) beberapa tahun yang lalu, mengucapkan terima kasih kepada menteri berkenaan.

"Saya terkejut ketika mendengarnya. Mendengar kenyataan yang dibuat oleh seorang menteri yang berlatar belakangkan Islam, sudah mencukupi bagi saya," katanya. "Kami hanya mahu pengiktirafan, hak untuk bekerja dan hak untuk pendidikan. Itu sahaja.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana membuat kenyataan sedemikian. Ia amat bermakna bagi kami," katanya.

Wan Ji Wan Hussein, seorang pendakwah bebas yang pernah disiasat mengikut Akta Hasutan Malaysia, menyokong kenyataan itu.

"Jika [golongan] LGBT tidak boleh bekerja, maka ia sepatutnya sama bagi mereka yang tidak bersolat. Dalam Islam, mereka yang tidak bersolat, dosanya adalah sama besar dengan orang yang murtad," kata Wan Ji.

"Kita harus melibatkan diri dan cuba menerangkan tentang Islam, bukannya menjauhkan mereka daripada agama. Itu bukanlah caranya untuk mempromosikan Islam,”katanya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.