Muhyiddin Gesa Kerajaan Jelaskan Keraguan Berkaitan 1MDB
2015.07.29
Tidak kesal dengan kritikan lantangnya terhadap isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, nyata tegas dengan pendiriannya menggesa kerajaan memberikan satu jawapan yang muktamad untuk melenyapkan keraguan yang timbul dari skandal tersebut.
Bekas timbalan perdana menteri itu menyarankan tindakan undang-undang disegerakan terhadap segala kesalahan yang melibatkan skandal dan salah urus kewangan agar segala persepsi berkaitan dapat dijelaskan dengan baik, dan tidak wujud keraguan walau sedikitpun.
Pada Selasa, Perdana Menteri Najib Razak secara mengejut menggugurkan timbalannya dan merombak kabinet, serta menamatkan perkhidmatan Peguam Negara Abdul Gani Patail yang sedang mengetuai siasatan terhadap syarikat 1MDB.
Perdana Menteri itu, sebaliknya melantik bekas hakim Mahkamah Persekutuan Mohamed Apandi Ali untuk mengantikan Abdul Gani.
Muhyiddin pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada Rabu, sehari selepas disingkir dari kabinet berkata,"Saya berharap siapa sahaja yang bakal menggantikan Abdul Gani dapat menunaikan tanggungjawab besar ini, serta menyegerakan tindakan undang-undang yang perlu, supaya rakyat yang menunggu cerita sebenar di sebalik 1MDB, mendapat jawapan yang muktamad,”
Satu closure
Muhyiddin berharap Mohamed Apandi dapat menjalankan tugas besar yang diberikan, termasuk mendapat sokongan dan bantuan daripada agensi-agensi penyiasat yang lain supaya apa sahaja siasatan yang sudah dijalankan dapat memberi jawapan, dan jika perlu, mengambil tindakan undang-undang.
"Bagi saya adalah amat penting untuk mendapatkan satu 'closure' (penyelesaian) yang baik,” katanya mengenai skandal syarikat pelaburan negara yang menanggung hutang sebanyak AS$12bilion (RM42 bilion).
Pada 2 Julai lepas, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan tentang penyiasatan ke atas 1MDB yang didakwa telah menyalurkan hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion) ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu dan beliau telah menafikan "tuduhan palsu" itu serta menyifatkan laporan tersebut sebagai usaha untuk "menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik."
Sementara itu, penyingkiran Muhyiddin dari barisan kabinet Perdana Menteri Najib, menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kedudukan dan masa depan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO, parti terbesar orang Melayu itu.
Amanah parti diteruskan
Ahli Parlimen Pagoh, dari negeri Johor itu tekad untuk terus berkhidmat sebagai Timbalan Presiden parti, seperti yang diamanahkan walaupun tidak lagi memegang jawatan kedua terpenting di dalam negara.
"Bagi saya, tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden kalau ikut Perlembagaan (UMNO) ialah untuk membantu Presiden dan juga membantu ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lain, termasuklah di peringkat sayap untuk melaksanakan tugas sebagai Timbalan Presiden,” tambah beliau.
Dalam perkembangan yang sama Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Mohamed Mustafa Ishak berkata fungsi Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti tidak akan terjejas walaupun tidak lagi berada di dalam kabinet.
‘’Apa yang penting sekarang ialah untuk semua pihak di dalam parti memberi sokongan kepada beliau untuk menjalankan tugas. Anggota Umno perlu menyelaraskan serta memberi kepercayaan kepada Muhyiddin dalam menjalankan tugasnya dan saya percaya UMNO akan dapat bergerak ke hadapan,’’ tegas beliau.
Muhyiddin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Barisan Nasional turut menyatakan kesediaannya untuk menghadiri mana-mana mesyuarat UMNO di peringkat bahagian jika dijemput.
Sementara itu, Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dijadual dipengerusikan oleh Najib pada Jumaat ini, telah dibatalkan dan surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung parti itu, Tengku Adnan Tengku Mansor, telah dihantar pada Rabu kepada anggota majlis tertinggi tanpa memberi sebab tentang pembatalannya.
Dalam perkembangan yang sama, beberapa portal berita di Malaysia, termasuk Malaysiakini dan Malaysian Insider, menyiarkan video yang dibocorkan dimana Muhyiddin kelihatan sedang memberitahu tetamu di rumahnya pada malam Selasa tentang pertemuannya dengan Najib dan pengakuan Najib berhubung laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai wang berjumlah AS$700 juta (RM2.67 bilion) daripada syarikat yang berkaitan dengan 1MDB, yang didakwa telah didepositkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri itu.