Bersatu Bukan ‘Parti Orang Tua’, Kata Pemimpin Pembangkang

Hata Wahari & Razlan Rashid
2018.03.20
Kuala Lumpur, Malaysia
180320-MY-muhyiddin-620.jpg Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, 20 Mac, 2018.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Agensi kerajaan yang mendaftarkan parti-parti politik di Malaysia memberi amaran untuk membubarkan parti pembangkang terbaru negara kerana ia dilihat membawa ancaman, dakwa presiden Bersatu pada Selasa.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai oleh bekas perdana menteri Mahathir Mohamed, dijangka melancarkan tentangan sengit terhadap gabungan parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak pada pilihan raya umum negara, yang perlu diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Semasa kami memohon, parti kami didaftarkan dalam tempoh 30 hari sahaja. Mungkin panglima perang di sana berfikir, ini parti orang tua, parti kecil, tidak mampu lakukan apa-apa,"kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kepada BeritaBenar pada Selasa, semasa mengimbau kemunculan parti itu dalam dunia politik negara pada Ogos 2016.

"Kami menerima sambutan hangat dalam kempen kami di seluruh negara, dan mungkin mereka bimbang dengan keadaan sedemikian. Ini adalah negara demokrasi, sesiapa yang mahu menubuhkan parti, mereka boleh menubuhkannya... nampaknya, tindakan mereka tidak adil dan merupakan cara untuk menakut-nakutkan kami, "katanya.

Kini, Bersatu - juga dikenali dengan singkatan Melayu, PPBM – sedang berusaha  memfailkan penyata kewangan dan minit mesyuarat peringkat cawangan dan ibu pejabat selepas RoS memberi amaran bahawa ia akan mengeluarkan notis pembubaran pada 28 Mac jika parti pembangkang itu gagal berbuat demikian.

RoS berkata, ia memerlukan dokumen berkenaan bagi menyiasat aduan yang diterima daripada bekas ahli PPBM.

Calon-calon Bersatu - termasuk Mahathir - masih akan bertanding dalam pilihan raya umum jika parti itu dibubarkan pendaftarannya, kata Muhyiddin.

Beliau berpendapat "kemungkinan besar" pembangkang dapat menarik mereka yang keluar daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pimpinan Najib, selain meramalkan bahawa "penipuan besar-besaran" akan memastikan parti pemerintah itu terus berkuasa.

Najib menyangkal dakwaan pembangkang itu dengan menyatakan bahawa sistem pilihan raya negara lebih telus berbanding sebelum ini kerana pilihan raya yang bebas dan adil dijamin antaranya oleh ejen pusat mengundi, ejen pengiraan undi dan penggunaan dakwat kekal, menurut laporan berita tempatan.

"Peluang untuk menipu boleh kata tidak ada langsung. Jadi, bagaimana mereka (pembangkang) kata sistem pilihan raya umum tidak adil?" kata Najib.

Berikut petikan wawancara dengan Muhyiddin:

BeritaBenar (BN): Adakah pihak anda (Bersatu) masih berusaha untuk memenuhi tarikh akhir 28 Mac (yang ditetapkan RoS)?

Muhyiddin Yassin (MY): Kami akan cuba untuk memenuhi tarikh akhir itu tetapi kami tidak pasti selepas kami memenuhi keperluan itu, sama ada jawapan yang kami berikan boleh diterima dan lengkap daripada sudut pandangan mereka, itu, saya tidak pasti. Walau apa pun, kami perlu tunggu bila tiba masanya.

BN: Jika anda terlepas tarikh akhir, apa yang akan berlaku seterusnya? Bagaimanakah calon anda akan bertanding dalam pilihan raya?

MY: Kami mempunyai pilihan. Kami telah membincangkan perkara ini secara panjang lebar dalam Majlis Tertinggi kami. Kami tahu apa yang boleh kami lakukan. Tetapi, apa yang penting adalah kami komited (kepada) perjuangan Pakatan Harapan...Kami percaya ahli-ahli tiga parti lain mahu kami menjadi sebahagian daripada Pakatan dan apa yang telah dipersetujui oleh mereka adalah penyertaan PPBM dalam pilihan raya, peruntukan kerusi dan lain-lain. Sudah tentu, kami masih boleh bertanding dalam pilihan raya walaupun kami tidak mempunyai parti, walaupun pendaftarannya dibatalkan. Jika pemimpin Pakatan berkata kami boleh menggunakan logo mereka, mengikut mana yang kami mahu gunakan, mereka benarkan kami berbuat demikian.

BN: Adakah anda menganggap ancaman pembubaran parti mungkin timbul kerana PPBM semakin mendapat sokongan berbanding apa yang dijangkakan?

MY: Saya fikir itu adalah satu daripada sebabnya. Apabila kami memohon, dalam masa 30 hari sahaja parti kami sudah didaftarkan. Mungkin panglima perang di sana berfikir, ini adalah parti orang tua, parti kecil, tidak mampu buat apa-apa... Kempen kami di seluruh negara telah menerima sambutan hangat, dan mungkin mereka takut dengan situasi seperti itu. Ini adalah negara demokrasi, sesiapa yang mahu menubuhkan parti, mereka boleh menubuhkannya ... nampaknya, tindakan mereka tidak adil dan merupakan cara untuk menakut-nakutkan kami.

BN: Nampaknya PH terbuka kepada PPBM untuk menjadi sebagai sebahagian daripada Pakatan.

MY: Dalam masa yang singkat, kami telah membentuk ikatan yang mendalam. Nampak jelas sekali yang pergerakan pakatan kami semakin kukuh. Pada awalnya, mereka (Barisan Nasional)  mengatakan kami dalam keadaan kelam kabut dan lain-lain.

BN: Adakah anda fikir pilihan raya umum akan datang boleh dijalankan dengan adil?

MY: Tidak! ... Sebab [Perdana Menteri Najib Razak] bimbang BN akan kalah dan bimbang tentang dirinya sendiri serta krooni-kroninya. Jadi, dalam keadaan itu serta tekanan dan stres yang teruk, saya boleh bayangkan, beliau boleh melakukan apa sahaja yang mungkin untuk menjejaskan pilihan raya ... Kami sedar tentang perkara ini. Kami telah mengemukakan pandangan kami kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan kami mahu suruhanjaya itu menjadi sebuah badan bebas, untuk bertindak dengan sebebasnya dan seadil-adilnya... Kami mahu pemerhati asing untuk melihat [apa] yang berlaku di sini, jadi, jika kami tewas, ia bukanlah kerana tiada undi tetapi kerana penipuan ... penipuan besar-besaran yang akan dilakukan Najib pada pilihan raya ini.

BN: Mengapa orang bukan Melayu mahu mengundi sebuah parti yang bergelar Parti Pribumi Bersatu Malaysia?

MY: Saya fikir mereka faham tentang nama Bersatu / Pribumi. Mereka fikir kami bersifat perkauman tetapi sekarang mereka faham yang kami bukan seperti itu. Kami benar-benar sebuah parti Malaysia yang bersifat nasionalis, berjuang untuk semua rakyat Malaysia - Cina, India, Sabah, Sarawak dan lain-lain. Ia adalah satu parti kebangsaan untuk Malaysia ... Kami akan berjuang untuk semua kaum, mencari penyelesaian kepada banyak masalah yang dihadapi negara dan rakyat.

BN: Terdapat tanda-tanda bahawa Parlimen akan dibubarkan tidak lama lagi. Adakah Pakatan sudah bersedia?

MY: Pakatan Harapan sudah lama menunggu Pilihan Raya Umum ke-14 tetapi tanda-tanda (pembubarannya) di Parlimen sudah ada ... Di Johor, Merdeka Centre berkata 39 peratus pengundi bersedia untuk mengundi pembangkang. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini bagi sebuah negeri seperti Johor, yang merupakan negeri penting di mana Barisan Nasional merupakan kuasa besarnya. Ini bukan petanda baik bagi Barisan Nasional tetapi petanda besar untuk Pakatan Harapan.

Strategi kami adalah untuk menarik sokongan daripada orang Melayu yang pernah menyokong BN dan terutamanya UMNO. Sudah jelas, strategi kami membuahkan hasil. Pada Pilihan Raya Umum 2013, pembangkang mempunyai 52 peratus undi popular dan BN mempunyai 48 peratus. Tetapi, ia tidak cukup untuk membawa perubahan, masih ada kelemahan. Saya percaya jika ada 5 peratus lagi, mungkin menjadi 55 peratus atau 57 peratus, yang kemungkinan besar berlaku terutama dalam kalangan orang Melayu, kemenangan itu akan menjadi milik Pakatan Harapan

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.