Follow us

Muhyiddin Bertahan Lima Dekad Sebelum Sandang Tampuk Kuasa

Nat Shu, Hadi Azmi & Nisha David
Johor, Malaysia, dan Kuala Lumpur
2020-03-02
E-mel
Komen
Share
Muhyiddin Yassin melambai kepada para penyokongnya sebelum menuju masuk ke Istana Negara di Kuala Lumpur untuk mengangkat sumpah jawatan perdana menteri Malaysia kelapan, 1 Mac 2020.
Muhyiddin Yassin melambai kepada para penyokongnya sebelum menuju masuk ke Istana Negara di Kuala Lumpur untuk mengangkat sumpah jawatan perdana menteri Malaysia kelapan, 1 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana menteri baru Malaysia, yang merupakan anak seorang ulama Islam, sentiasa berada dalam kerajaan tanpa banyak menonjolkan dirinya semasa beliau melalui perit jerih dalam menapak laluan kuasa sejak 50 tahun lalu.

Muhyiddin Yassin, 72, dilantik Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri kelapan bagi negara pelbagai etnik dan kaum di  Asia Tenggara itu pada Ahad, selepas seminggu pergolakan politik tidak menentu yang akhirnya menyaksikan beliau menggantikan bekas ketuanya, Mahathir Mohamad, sebagai perdana menteri.

"Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut," kata Muhyiddin semasa menyampaikan ucapan kepada rakyat pada Isnin selepas memulakan tugas hari pertama di Putrajaya, sambil menangkis dakwaan bahawa beliau telah melakukan pengkhianatan untuk mencapai jawatan tertinggi kerajaan itu.

Pemimpin baru itu menyandang tampuk kuasa tanpa dipilih. Beliau kini menjadi ketua perikatan pemerintah yang hampir keseluruhannya mewakili majoriti Melayu Muslim.

Penganalisis politik Mohd Azizuddin Mohd Sani, yang juga profesor di Universiti Utara Malaysia, memuji Muhyiddin berdasarkan perjalanan politiknya, yang bermula pada awal 1970-an di negeri selatan Johor, di mana beliau dibesarkan.

"Muhyiddin adalah insan yang sangat bersih tanpa kontroversi. Beliau seorang yang warak dan berasal dari latar belakang bukan elit," kata Azizuddin kepada BeritaBenar.

"Beliau tidak pernah memegang portfolio yang mendedahkannya kepada dunia luar. Bagaimanapun, ketika menjadi timbalan perdana menteri, beliau didedahkan kepada dunia luar dan dikenali di kalangan negara-negara jiran," kata Azizuddin.

Blok pemerintahan baru pimpinan Muhyiddin turut merangkumi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang setia dianggotainya selama beberapa dekad sebelum ditinggalkannya  pada 2016. Beliau beralih kepada pembangkang ketika itu untuk membantu menumbangkan UMNO daripada tampuk kuasa menerusi kotak undi berikutan dakwaan kerajaan ketika itu korup.

Muhyiddin 'perlukan sokongan kuat'

Bagi Muhyiddin, laluan ke pejabat perdana menteri turut dipenuhi onak dan duri.

Ini termasuk dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 2015 dan pada 2016 sebagai timbalan presiden UMNO, yang menguasai kerajaan Malaysia sejak negara memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada akhir 1950-an.

Dilahirkan di Johor pada Mei 1947, kerjaya politik Muhyiddin bermula pada 1971 apabila beliau menyertai UMNO. Beliau kemudian menjadi ketua sayap pemuda parti di negeri itu dan menyandang jawatan itu sehingga 1987. Beliau berkhidmat sebagai menteri besar Johor dari tahun 1986 hingga 1995.

Dipilih sebagai Ahli Parlimen pada 1978, Muhyiddin berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan, Menteri Belia dan Sukan sebelum diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Najib pada 2009 sehingga 2015 sebelum dipecat Najib berhubung skandal 1MDB.

Selepas pilihan raya Mei 2018, Mahathir melantik Muhyiddin sebagai menteri dalam negeri.

Pada tahun sama, Muhyiddin didiagnosis dengan kanser pancreas peringkat awal dan dimasukkan ke hospital pada Julai dan Ogos 2018. Doktor menyatakan pembedahan pembuangan tumor beliau berjaya.

Azizuddin berkata Muhyiddin telah berjaya melaksanakan tugasnya dalam kerajaan, baik di peringkat negeri di Johor dan di peringkat Persekutuan. Beliau berkata pelan tindakan pendidikan yang dilaksanakan Muhyiddin semasa beliau menyandang jawatan menteri pendidikan pada 2009 masih lagi digunakan hari ini.

Azizuddin turut menyuarakan harapannya kepada Muhyiddin.

"Beliau memerlukan sokongan kuat dari menteri-menteri kabinet dan perlu melantik barisan jemaah menteri yang baik untuk memulihkan ekonomi negara. Beliau memerlukan penasihat ekonomi yang baik," kata Azizuddin. "Sekiranya beliau dapat menguruskan semuanya dengan baik dan lancar, ekonomi negara boleh dipulihkan."

'Saya ada prinsip saya sendiri'

Pada 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memecat Muhyiddin sebagai timbalannya ketika Muhyiddin secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap penyiasatan ke atas skandal kewangan yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana pelaburan negara.

"Kecuali isu 1MDB, saya mempunyai prinsip saya sendiri dan berdiri mempertahankan hak-hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika saya dipecat dari kabinet kerana pendirian saya mengenai isu ini, saya terima,"katanya pada Julai 2015.

Najib mengasaskan 1MDB pada 2009 untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia, tetapi beliau dan beberapa syarikat bersekutu menghadapi pertuduhan jenayah yang dikaitkan dengan apa yang dikatakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sebagai penyelewengan lebih A$4.5 bilion (RM18.8 bilion).

Selepas hilang kedudukan dalam UMNO, Muhyiddin menzahirkan sikap tegasnya menerusi catatan Facebook.

"Dalam menghadapi kemarahan orang ramai terhadap kepimpinannya, Najib menggunakan semua kuasa yang ada padanya untuk menindas suara yang membantah dan menutup mulut para pengkritik. Kita sedang menyaksikan keruntuhan institusi demokrasi dan kemunculan kediktatoran baru," kata Muhyiddin dalam catatannya pada Februari 2016.

Beberapa bulan kemudian, Muhyiddin dan Mahathir bergabung untuk mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang keahlian terdiri daripada rakyat Bumiputera - istilah Malaysia merujuk kepada majoriti etnik Melayu dan orang asli lain. Sementara itu, rakyat bukan Bumiputera akan diiktiraf sebagai "ahli bersekutu."

"Kami mahu menjadi inklusif. Kami akan memberi mereka pengiktirafan baru. Kami mahu mereka memainkan peranan dari segi menyampaikan idea," kata Muhyiddin pada masa itu.

Bersatu menjalinkan pakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar Ibrahim dan parti-parti yang mewakili etnik minoriti untuk membentuk Pakatan Harapan dalam usaha menumbangkan gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO. Ketiga-tiga lelaki itu - Muhyiddin, Mahathir dan Anwar yang semuanya pernah menjadi ahli UMNO – berjaya mencipta kemenangan besar pada pilihan raya pada 2018.

Selepas mengetuai Bersatu bertindak keluar daripada Pakatan Harapan pada awal minggu lalu, Muhyiddin memperoleh kuasa melalui pembentukan gabungan baru dengan UMNO dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan mendakwa beliau mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 Ahli Parlimen. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah mahupun Muhyiddin, yang mengangkat sumpah jawatan pada Ahad, tidak menyatakan angka yang menunjukkan Muhyiddin memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Tindakan itu nyata tidak menyenangkan Mahathir, yang digantinya sebagai perdana menteri.

"Muhyiddin sanggup menerima apa sahaja. Beliau berkata politik adalah lebih penting daripada prinsip,"kata Mahathir pada sidang berita pada Ahad.

Lihat Laman Penuh