PM Muhyiddin Kuarantin Diri Kali Kedua, Menteri Kabinet Sah Positif COVID-19

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-10-05
Share
201005-MY-Penampang880.jpg Anggota Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia membuat pemeriksaan sekatan jalan raya di Jalan Sabindo, Penampang, Sabah, 4 Oktober, 2020.
[Ryu Shakur/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan bahawa beliau akan menjalani kuarantin secara sukarela selama 14 hari, yang kedua baginya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara bersama seorang Menteri kabinet yang disahkan positif COVID-19, dengan Malaysia kembali merekodkan peningkatan jumlah harian tertinggi iaitu 432 kes.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berhubung kuarantin kendiri Muhyiddin itu, turut mengesahkan yang Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bagi hal-ehwal agama Islam Zulkifli Mohamad positif COVID-19 dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Seremban, Negeri Sembilan.

“Saya akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman saya selama 14 hari mengikut nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan hal ini bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan Kerajaan.

“Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan sambil menambah yang beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara yang turut dihadiri oleh Zulkifli.

Berdasarkan kepada penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, Perdana Menteri itu memberitahu satu surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari mulai 3 Oktober telah dikeluarkan terhadap mereka yang hadir pada mesyuarat tersebut termasuk kepada kontak rapat selain diwajibkan memakai gelang pengawasan.

Bagi mereka yang tidak mempunyai kontak rapat pula dinasihatkan supaya menjalani kuarantin kendiri serta memantau kesihatan mereka menggunakan aplikasi telefon pintar KKM, kata Perdana Menteri dalam kenyataannya itu.

Kuarantin terbaru Muhyiddin itu adalah yang kedua selepas yang pertama pada Mei lalu apabila seorang pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-kabinet disahkan positif COVID-19.

Perdana Menteri itu juga memberitahu beliau membuat ujian pengesanan COVID-19 setiap dua minggu sejak April lepas, termasuk tiga kali pada September, dan kesemuanya didapati negatif virus berkenaan.

Sementara itu, Zulkifli dalam kenyataan media berasingan, menyeru individu lain yang menghadiri majlis yang melibatkan beliau di antara 24 September dan 4 Oktober supaya turut menjalani saringan di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

"Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif COVID-19 oleh KKM. Saya menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang melibatkan kehadiran saya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera," kata Zulkifli dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui laman media sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Menurut laporan media tempatan, Zulkifli, yang merupakan seorang senator yang dilantik ke dalam kabinet Muhyiddin, mempunyai sejarah perjalanan ke negeri Sabah bagi menghadiri satu majlis di Sandakan, Sabah pada 20 September lepas.

Sabah adalah antara negeri yang merekodkan kenaikan mendadak kes positif sejak bulan lalu semasa berlangsungnya proses Pilihanraya Negeri bagi memilih kerajaan negeri yang baharu.

Kenyataan media oleh Muhyiddin dan Zulkifli tidak menyebut berapa jumlah menteri dan pegawai kerajaan yang diarahkan supaya menjalani perintah kuarantin.

Berdasarkan beberapa keping gambar mesyuarat MKN itu, antara individu lain yang menghadirinya termasuk Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin, serta Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Ismail bagaimanapun tampil mengesahkan bahawa beliau adalah antara mereka yang sedang menjalani kuarantin kendiri kerana menghadiri mesyuarat bersama Zulkifli.

Kes positif naik mendadak

Jumlah kes positif pada Isnin adalah kes harian tertinggi yang pernah direkodkan oleh Malaysia iaitu sebanyak 432 dengan 429 kes yang dicatatkan adalah penularan dalam negara manakala baki adalah kes import.

Pada Sabtu lepas mencapai angka 317 kes, juga angka tertinggi pernah dicatatkannya sebelum ini.

Jumlah kumulatif positif COVID-19 pada Isnin adalah sebanyak 12,813, dengan 2,336 daripadanya adalah kes yang masih aktif dan sedang menerima rawatan di hospital.

Kedah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 241 kes, dengan penyumbang terbanyak adalah daripada Kluster Tembok dari Penjara Alor Star sebanyak 224 kes, yang setakat ini seramai 653 individu di penjara tersebut dikesan positif manakala seramai 4,431 telah menjalani ujian saringan.

Selain Kedah, Sabah turut mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu sebanyak 130 kes diikuti Selangor (34 kes).

Selain daripada Zulkifli, dua Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor adalah antara mereka yang terkini mengesahkan diri sebagai positif COVID-19.

Wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei dan Kota Damansara Shatiri Mansor tampil melalui laman media sosial masing-masing mengesahkan mengenainya dan berkata mereka mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Sebelum ini, beberapa pemimpin yang menyertai kempen di Sabah disahkan positif selepas pulang ke Semenanjung yang antara berlakunya peningkatan mendadak dalam jumlah positif di seluruh negara sehingga menyebabkan kemarahan orang ramai.

Menteri Kanan Keselamatan Malaysia itu bagaimanapun menafikan tuduhan bahawa pemimpin yang berkempen di negeri berkenaan adalah penyebab kepada peningkatan jumlah berkenaan.

Kawasan tambahan PKPB

Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan bahawa Putrajaya telah memutuskan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga lagi daerah di Sabah susulan situasi dan peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 di negeri tersebut.

Tiga daerah terbaru yang akan berada dalam PKPB mulai Rabu melibatkan ibunegerinya Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, di mana kerajaan tidak memberi tempoh perintah itu akan berakhir.

Perintah terbaru terhadap tiga lagi kawasan di Sabah itu sekaligus menjadikan sebanyak tujuh kawasan di negeri itu berada dalam perintah berkenaan di mana pada minggu lalu, Ismail mengumumkan empat kawasan iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna yang mempunyai kira-kira 962,000 penduduk telah dikenakan PKPB bermula 29 September sehingga 12 Oktober selepas penularan jangkitan meningkat.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh