Bekas PM Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah hina raja

Ketua blok pembangkang Malaysia itu dijangka berdepan dengan pertuduhan menghasut berhubung pelantikan diraja Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Iman Muttaqin Yusof
2024.08.26
Kuala Lumpur
Bekas PM Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah hina raja Bekas Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin memberi reaksi kepada wartawan di luar mahkamah Kuala Lumpur, 10 Mac 2023.
[Vincent Thian/AP]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin dijangka didakwa di bawah Akta Hasutan pada Selasa atas pertuduhan mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas keputusan pilihan raya umum yang menyebabkan Parlimen tergantung dua tahun lepas.

Muhyiddin yang mentadbir Malaysia antara 2020 dan 2021 bakal menjadi bekas Perdana Menteri pertama yang didakwa mengikut undang-undang era penjajah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 (AS$1,140) jika sabit kesalahan.

Beliau akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Gua Musang di negeri pantai timur Kelantan, bagi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana didakwa cuba melakukan atau berkomplot untuk melakukan apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut.

“Esok, beliau akan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan di Mahkamah Sesyen Gua Musang,” kata Ketua Polis Negara Razaruddin Husain kepada BenarNews dalam satu mesej teks ringkas pada Isnin.

Sementara itu, sistem e-Filing Mahkamah Persekutuan Malaysia memaklumkan sesi pendengaran kes berkenaan bermula pada pukul 9 pagi di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 Ogos lepas untuk tindakan lanjut.

Razarudin berkata pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada Muhyiddin dan 66 saksi bagi membantu siasatan.

Sebelum ini tular di media sosial tentang ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Kontroversi itu tertumpu kepada kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin pada 14 Ogos semasa kempen Perikatan Nasional menjelang pilihan raya kecil di Nenggiri, Kelantan.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasminya, Muhyiddin mendakwa beliau telah mendapat sokongan majoriti mudah 115 daripada 222 ahli parlimen selepas pilihan raya umum 2022, sekali gus membolehkan beliau dilantik sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, di sebalik penegasan itu, Muhyiddin berkata beliau "tidak dijemput ke Istana Negara untuk "mengangkat sumpah" oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah, sebaliknya mengesahkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Saya waktu itu sekali lagi diberikan sokongan, ada 115 Ahli Parlimen yang sokong saya. Ikut Perlembagaan kalau saya ada sokongan 114, campur saya (Muhyddin) ada 115,

“Kerusi Parlimen ada 222. Kalau bahagi dua, ada 111. Kalau ada lebih satu dapat bentuk kerajaan tetapi saya dapat 115.

“Kalau ikut Perlembagaan saya sudah ada jumlah yang lebih mencukupi untuk menjadi perdana menteri. Ini bukan hendak mengungkit tetapi ini adalah rekod sebagai sejarah.

"Tapi entah macam mana Yang di-Pertuan Agong waktu itu tidak ajak, jemput saya untuk angkat sumpah" kata Muhyiddin dalam siaran langsung di akaun Facebook rasminya pada 14 Ogos.

Teguran diraja

Komen Muhyiddin itu dilihat sebagai menganggap Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang bertindak tidak adil dan ia telah menerima teguran keras daripada kerabat diraja selepas klip rakaman video ucapan beliau tular di media sosial.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah pada minggu lalu menganggap kenyataan Muhyiddin itu secara sengaja dan sinis telah memperlekeh peranan Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Kenyataan beliau juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai perdana menteri.

“Kenyataan ini juga sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap institusi raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat," titah baginda menerusi satu kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Pada pilihan umum raya 2022, Perikatan Nasional yang memperjuangkan ketuanan etnik Melayu dan terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pimpinan Muhyiddin dan Parti Islam Malaysia (PAS) yang konservatif, memenangi 74 kerusi.

Rabu lalu, Muhyiddin telah menyerahkan kepada polis apa yang dikatakannya sebagai akuan berkanun daripada penggubal undang-undang yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri selepas disoal siasat pihak polis berkaitan ucapan kempen pilihan raya kecil itu.

Beliau menegaskan kesetiaannya kepada insitusi raja berperlembagaan tidak perlu dipersoalkan.

“Sebagai rakyat biasa, saya bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan raja-raja Melayu,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan minggu lepas.

Hanya beberapa hari selepas teguran Istana Pahang itu, Perikatan Nasional Pahang yang diketuai oleh PAS menggesa siasatan polis menyeluruh terhadap ketuanya,

Dalam pada itu, penganalisis berkata kenyataan Muhyiddin itu boleh menjejaskan imej gabungan tersebut sebagai benteng ketuanan etnik Melayu yang menganggap penghormatan kepada raja adalah paling utama.

James Chin, seorang profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania berkata situasi itu “ditanggung sendiri” oleh Muhyiddin dan pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan selain meneruskan tindakan undang-undang selepas campur tangan keluarga diraja.

“Ini adalah kerana tekanan daripada istana,” kata Chin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.