Bekas PM Muhyiddin kembali berdepan empat tuduhan rasuah RM232.5 juta
2024.02.28
Kuala Lumpur
Mahkamah Rayuan Malaysia pada Rabu membatalkan pembebasan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada tuduhan rasuah ketika beliau mengetuai kerajaan dengan mengatakan keputusan Mahkamah Tinggi menggugurkan kes itu kerana mereka tidak jelas ia adalah satu kesilapan.
Dakwaan yang berkaitan pakej rangsangan ekonomi COVID-19 itu diputuskan secara sebulat suara tiga panel hakim dengan mengembalikan empat kes rasuah bernilai RM232.5 juta (AS$48.9 juta) selain Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu masih kekal berdepan dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram RM195 juta (AS$41 juta).
Muhyiddin, 77, yang menjadi Perdana Menteri dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 berdepan empat tuduhan rasuah menyalahgunakan kedudukan untuk suapan bernilai RM232.5 juta (AS$48.9 juta) pada tahun lalu melalui parti politiknya, Bersatu. Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Ogos lepas.
Panel hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara pada Rabu menyatakan Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan menyifatkan empat tuduhan rasuah tersebut adalah jelas.
“Kami berpendapat Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila beliau memutuskan empat pertuduhan itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan yang diketahui undang-undang.
“Pada pandangan kami, empat pertuduhan berkenaan adalah jelas dan tidak cacat, kerana itu tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk menetapkan cara atau memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan tersebut dilakukan,” kata Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim kepada mahkamah.
Muhyiddin kemudian diarahkan menghadiri perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Sesyen pada Isnin depan.
Sugul
Sementara itu, di luar mahkamah, Muhyiddin yang kelihatan sugul menolak untuk bercakap kepada wartawan, sebaliknya peguam beliau, Hisyam Teh Poh Teik yang mengendalikan sidang media.
Teh berkata pasukan pembelaan akan meneliti kaedah undang-undang dan prosedur sebelum menimbangkan untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
“Kami kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan. (Tetapi), saya menghormati keputusan itu. Kami akan bertemu dan membincangkan untuk menentukan apakah tindakan seterusnya yang perlu diambil,” kata beliau.
Mac tahun lalu, Muhyiddin dikenakan empat pertuduhan rasuah dan tiga dakwaan pengubahan wang haram bernilai RM195 juta (AS$41) yang melibatkan program bantuan COVID-19 dan Jana Wibawa.
Media tempatan melaporkan, Mahkamah Sesyen telah menangguh keputusan permohonan Muhyiddin untuk melepas tanpa membebaskan bagi baki tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang difailkan pada Oktober lepas. Keputusan itu belum selesai sehingga Mahkamah Rayuan membuat ketetapan.
Pakej Jana Wibawa merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh pentadbiran Muhyiddin untuk mempercepat pelaksanaan projek bagi membantu usahawan Melayu dan Bumiputera dalam usaha merangsang ekonomi negara pasca pandemik.
Program itu bertujuan memperkukuh keupayaan kontraktor Bumiputera dalam sektor pembinaan sekali gus menjadikan mereka lebih berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri.
Arahan Anwar
Bagaimanapun, selepas mengambil alih kerajaan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan kajian semula projek kerajaan bernilai bilion ringgit yang diluluskan oleh Muhyiddin termasuk program bantuan COVID-19.
Beliau mendakwa pentadbiran Muhyiddin telah mengabaikan prosedur dan tatakelola yang kemudiannya membawa kepada siasatan serta pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri kelapan itu.
Muhyiddin menjadi bekas perdana menteri Malaysia kedua yang didakwa dalam tempoh lima tahun atas kesalahan berkaitan rasuah.
Pada Ogos 2022, bekas Perdana Menteri Najib Razak telah dikenakan hukuman penjara selama 12 tahun atas skandal kewangan 1MDB yang menjatuhkan kerajaannya empat tahun sebelum itu. Namun Lembaga Pengampunan pada Januari lalu memberikan pengurangan separuh daripada hukuman terbabit.
Empat pertuduhan rasuah melibatkan Muhyiddin melibatkan Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai wang suapan atau RM10,000 (AS$2,096), mana lebih tinggi.
Sementara itu, kesalahan pengubahan wang haram tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.