Malaysia Pinda Undang-Undang Benar Demonstrasi Jalanan

Ali Nufael
2019.07.05
Kuala Lumpur, Malaysia
190705-MY-Muhyiddin-Himpun1000.jpg Penunjuk perasaan berkumpul di hadapan pusat membeli belah Maju Junction sebelum berarak ke Dataran Merdeka sempena Perarakan Hari Pekerja, di Kuala Lumpur, Malaysia, 1 Mei, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia dibawah pimpinan Pakatan Harapan telah meluluskan pindaan terhadap Akta Perhimpunan Aman semasa sidang Parlimen pada Khamis, di mana protes jalanan bukan satu kesalahan, selain turut memendekkan tempoh pengeluaran notis pemberitahuan perhimpunan.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin semasa pembentangan mengenai perkara tersebut berkata pindaan ke atas Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 itu membenarkan segala bentuk perhimpunan tetapi ianya mesti didahului dengan notis pemberitahuan yang juga dipendekkan daripada sepuluh hari ke lima hari.

“Pindaan ini memansuhkan larangan bagi melakukan protes jalanan dan ini bukan lagi menjadi suatu kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. Ia sekaligus membolehkan penganjuran suatu perhimpunan dan juga membolehkan orang awam menyertai perhimpunan secara aman, tanpa senjata asalkan perbuatan tersebut tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” kata Muhyiddin di Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata, sekiranya berlaku kesalahan sehingga boleh menimbulkan kekacauan, kekerasan jenayah atau menjadi tidak aman, mereka yang terlibat boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan.

“Setiap kesalahan atau kekecohan yang berlaku ketika perhimpunan akan diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan,” tambah beliau.

Pendek tempoh notis

Anggota Parlimen Pagoh, Johor itu juga memberitahu pindaan tersebut turut meluluskan pemendekkan tempoh pengemukaan notis pemberitahuan bagi sesuatu perhimpunan daripada sepuluh kepada lima hari, di mana menurut Seksyen 9 (1) APA, penganjur perlu memaklumkan kepada pihak polis sepuluh hari sebelum diadakan.

Selain itu, kata Menteri berkenaan, pemindaan tersebut turut memperuntukkan kuasa kepada ketua polis daerah mengenakan kompaun kepada mereka yang gagal mematuhi kehendak notis pemberitahuan atau mana-mana syarat dan sekatan yang dikenakan.

“Jumlah kompaun bagi kedua-dua kesalahan ini tidak melebihi 5 ribu ringgit, jadi ahli Parlimen tidak perlu bimbang kerana kesalahan di bawah APA dianggap suatu kesalahan ringan dan bukanlah kesalahan jenayah atau boleh menyebabkan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen atau bertanding pada pilihan raya akan datang,” tambahnya.

Muhyiddin berkata tempoh masa pemberitahuan itu amat perlu dan mencukupi bagi pihak berkuasa untuk membuat persediaan sewajarnya termasuk mengatur jumlah anggota polis yang akan bertugas untuk mengawal setiap perhimpunan yang mahu dianjurkan.

"Kita cadangkan tempoh 10 hari dikurangkan, menghapuskan tempoh tidak boleh, masa 24 jam, pun rasanya tidak munasabah… walaupun ia hanya satu notis pemberitahuan, kerajaan tetap bertanggungjawab, dan mesti ada persiapan, dalam keadaan macam mana sekalipun, walaupun penganjur kata aman serta tidak mempunyai masalah, sebaliknya rekod yang lepas, terdapat masalah,” jelas Muhyiddin lagi.

Sepanjang tahun 2018, sebanyak 8,668 perhimpunan aman telah direkodkan dan hanya satu kes dituduh di mahkamah akibat kegagalan mengemukakan notis kepada polis.

Bagi 2019 sehingga Mei pula, sebanyak 1,592 perhimpunan aman diadakan dan tiada kes dihadapkan ke mahkamah.

Muhyiddin memberitahu kerajaan juga telah mewartakan Padang Merbok dan Jalan Raja di Kuala Lumpur serta Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang sebagai tapak perhimpunan aman.

“Walaupun tidak diwartakan tempat-tempat tambahan, tetapi kita tidak sekat daripada perhimpunan diadakan, sebaik mungkin kita hendak namakan tempat lain supaya penganjur tahu tempat lain yang turut boleh digunakan,” tambah Menteri itu.

Tidak setuju pindaan

Walaubagaimanapun, pindaan serta pembaharuan terhadap akta itu mendapat keraguan daripada badan bukan kerajaan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang tidak bersetuju terhadap beberapa perkara.

"Walaupun terdapat pembaharuan, tetapi syarat untuk memberi notis adalah kurang bersesuaian kerana kebanyakkan perhimpunan adalah secara spontan. Langkah memberi kompaun adalah sedikit terkebelakang, kerana tiada mana pihak patut dikenakan kompaun jika kerajaan baru mahu pembaharuan," kata pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy.

Dalam pada itu, Human Rights Watch berkata cadangan Malaysia untuk meminda undang-undang Akta Perhimpunan Aman itu masih tidak memenuhi standard hak manusia.

“Walaupun membenarkan protes jalanan dan memendekkan notis pemberitahuan merupakan langkah yang betul, cadangan pemindaan itu tidak menyelesaikan masalah pokok yang ada dalam undang-undang itu,”demikian menurut penasihat undang-undang Asia bagi Human Rights Watch, Linda Lakhdhir dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Lakdhir lagi, tiada siapa patut dihukum kerana menganjurkan atau melibatkan diri dalam perhimpunan aman.

“Akta itu seharusnya dipinda dengan memansuhkan segala bentuk hukuman jenayah berkaitan perhimpunan aman dengan membenarkan protes spontan selain membenarkan kanak-kanak dan bukan rakyat Malaysia untuk menyertai protes aman tanpa rasa takut mereka akan didakwa,” kata Lakhdir.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0 yang kini merupakan Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata bahawa pindaan itu merupakan satu pengiktirafan bagi para aktivis yang telah bersusah payah memperjuangkan demokrasi.

"Jika dulu kebenaran diperlukan kini hanya notis. Polis hanya perlu bantu pihak penganjur. Ini satu pengiktirafan bagi mereka yang telah ditahan, dipukul dan diheret ke mahkamah,” katanya yang mempunyai pengalaman ditahan dan diheret ke mahkamah.

"Pindaan ini penting untuk memartabatkan demokrasi di negara kita. Kita harus membenarkan kepelbagaian suara. Kerajaan lama Barisan Nasional tidak memperdulikan suara yang menentang, walaupun kononnya APA 2012 membuka ruang demokrasi tetapi sebenarnya tidak. Kuasa masih ditangan polis. Kini semua itu telah berubah. Hanya perlu diberi notis dan bukannya meminta kebenaran," tambah Maria.

Akan tetapi berlainan pula dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam memuji tindakan Pakatan Harapan yang membenarkan himpunan aman dan langkah memberi kompaun adalah perlu bagi memastikan perhimpunan berjalan dengan aman.

"Saya menyokong dan bersetuju. Ianya perlu bagi memastikan perhimpunan itu berjalan dengan aman. Jika tiada penguatkuasaan penganjur atau pendemontrasi bakal mengambil peluang dengan membuat kacau bilau,” kata Lokman kepada Berita Benar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.