Follow us

PM Muhyiddin Umum Anggota Kabinet Baru

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-03-09
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai anggota Kabinet beliau pada sidang berita khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, 9 Mac, 2020.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai anggota Kabinet beliau pada sidang berita khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, 9 Mac, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 12.45 tengah hari waktu tempatan ETS - 2020-03-10

Perdana Menteri Malaysia yang baru pada Isnin mengumumkan senarai anggota Kabinet dengan bilangan menteri mewakili etnik minoriti berkurangan dengan ketara manakala seorang ulama Islam dinamakan sebagai menteri agama sementara parti yang mahukan undang-undang Syariah dilaksanakan pula dipertanggungjawabkan bagi hal ehwal perundangan.

Kabinet baru itu juga termasuk sembilan Ahli Parlimen daripada parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang terpalit dengan kes rasuah dan sedang dibicarakan, dan buat pertama kalinya dalam sejarah 63 tahun negara itu, Malaysia tidak mempunyai timbalan perdana menteri..

Pengumuman dinanti-nantikan itu susulan pelantikan Muhyiddin ke jawatan tertinggi negara juga menyaksikan Muhyiddin melantik empat "menteri kanan" menyandang portfolio perdagangan antarabangsa dan industri; pertahanan; kerja raya; dan pendidikan.

“Menteri-menteri kanan ini akan membolehkan isu-isu berbangkit antara kementerian dalam bidang-bidang yang saya sebutkan itu dapat diselaras dengan lebih cekap dan berkesan. Ringkasnya, saya ingin membentuk sebuah kabinet yang benar-benar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat - kabinet yang boleh bekerja,” kata Muhyiddin pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia.

Pengumuman itu hadir sembilan hari selepas Muhyiddin dipilih sebagai pegawai tertinggi pentadbiran Putrajaya iaitu selepas beliau dan beberapa lagi Ahli Parlimen keluar daripada gabuangan parti politik Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan bergabung dengan UMNO serta Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Dalam kajian mengenai barisan kabinet, Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pertahanan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, berkata Muhyiddin telah menyusun Kabinet dengan meletakkan golongan teknokrat dalam kedudukan kewangan utama, dan mereka yang berpengalaman mengisi jawatan junior.

"Perdana Menteri takut kepada pasukannya sendiri, sesetengah daripada mereka adalah pengkhianat yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini," kata Liew.

Liew turut mempersoalkan keputusan Muhyiddin yang mentadbir tanpa seorang Timbalan Perdana Menteri (DPM) dengan berkata, "Ini merugikan negara. Keperluan untuk melantik DPM adalah untuk memastikan bahawa dalam keadaan apa-apa yang tidak dijangka terdapat penggantian yang ditetapkan sehingga Parlimen mengesahkan pengganti yang memenuhi majoriti."

Nama baru

PAS - yang telah berkempen untuk undang-undang syariah yang tegas di negara berbilang kaum itu telah diberi ganjaran dengan tiga jawatan kabinet. Pelantikan itu menandakan kali pertama parti tersebut mendapat kerusi di Kabinet sejak tahun 1977.

Muhyiddin menambah empat lagi jawatan menteri Kabinet menjadikan jumlah kesemuanya 31, tetapi hanya lima yang isi oleh etnik minoriti, berbanding Kabinet di bawah Mahathir iaitu 11 orang.

Beliau mengurangkan bilangan menteri etnik minoriti kepada lima - kurang daripada 11 menteri yang sebelum ini berada di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Daripada jumlah tersebut, tiga adalah ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif – dengan mengembalikan parti itu kepada kerajaan Persekutuan buat pertama kalinya sejak 1977.

Kesemua anggota Kabinet itu menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah dan mereka akan mengangkat sumpah jawatan pada Selasa.

Antara nama yang paling dikenali dalam Kabinet Muhyiddin ialah Menteri Luar Hishamuddin Hussein, yang pernah berkhidmat sebagai menteri pertahanan semasa kerajaan bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang disingkirkan oleh Pakatan Harapan pimpinan Mahathir yang memperoleh keputusan pilihan raya menakjubkan pada Mei 2018.

Muhyiddin turut membuat kejutan apabila menamakan tokoh bank terkemuka Zafrul Aziz dari CIMB Group Holdings sebagai Menteri Kewangan. Najib menyandang portfolio itu semasa beliau menjadi perdana menteri - manakala Mahathir menamakan pemimpin etnik Cina Lim Guan Eng memegang jawatan itu.

Beliau turut menamakan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terkemuka Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal agama. Seperti Zafrul, beliau juga tidak meyandang kerusi Parlimen.

"Saya dengan rendah hati memohon jasa baik sahabat semua untuk berterusan mendoakan saya agar saya dikurniakan Allah SWT kekuatan untuk memikul amanah dan kepercayaan ini sepenuh keupayaan saya," kata Zulkifli dalam akaun Instagramnya selepas pengumuman tersebut.⁣

Ahli PAS yang memegang jawatan menteri ialah setiausaha agung Takiyuddin Hassan yang akan berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan mengendalikan hal ehwal perundangan dan Parlimen. Yang lain ialah Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilantik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar.

Pemenang

Pengarah Institut Asia di University of Tasmania, James Chin, berkata Muhyiddin melantik teknokrat mengisi beberapa jawatan tertinggi.

"Perkara lain yang menonjol ialah kebanyakan mereka pernah berkhidmat dalam kerajaan UMNO [Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu] sebelum ia tumbang pada 2018," katanya kepada BeritaBenar.

Chin berkata mereka yang ‘menang besar’ termasuklah Azmin Ali serta beberapa yang lain yang bertindak keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO, parti yang menerajui kerajaan lebih enam dekad sebelum pilihan raya 2018, yang membawa Muhyiddin ke tampuk kuasa. Beliau berkata UMNO juga adalah pemenang besar kerana ia mempunyai tujuh wakil yang menyandang jawatan menteri Kabinet.

"PAS mendapat portfolio undang-undang, jadi ia dapat membuat susulan berhubung RUU355 (undang-undang Hudud) seperti yang dijangkakan," katanya, merujuk kepada undang-undang yang dicadangkan pada 2016 untuk memberi lebih banyak pengaruh terhadap mahkamah Islamik. Hudud, kod hukum Islam, menetapkan hukuman yang termasuk amputasi tangan kerana mencuri dan rejam bagi hubungan seks haram.

Chin berkata UMNO telah menggagalkan percubaan PAS sebelumnya untuk mengubah sistem keadilan, tetapi itu boleh berubah pada masa hadapan.

"Ya, dengan PAS sekarang, mereka sangat terdesak untuk memenangi pengundi Islam," katanya.

Sementara itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang bukan sebahagian daripada kabinet, berkata partinya bersedia mendengar pandangan lain.

"PAS bersumpah untuk menegakkan tanggungjawab ini dengan tekun dan bersedia untuk mendengar komen-komen positif dari semua pihak, terutamanya ahli akademik, profesional dan pemimpin masyarakat yang mampu membantu dalam pembangunan negara tercinta ini," kata Hadi dalam satu kenyataan.

Keputusan, cepat

Sementara itu, Amnesty International (AI) menyeru kerajaan untuk menggugurkan siasatan mengadakan demonstrasi aman bagi  menunjukkan bahawa ia serius dalam melindungi hak asasi manusia.

"Amnesty International Malaysia menyeru Kabinet baru untuk melaksanakan pembaharuan penting termasuk pemansuhan hukuman mati, pemansuhan undang-undang kejam seperti Akta Hasutan dan Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) (SOSMA) serta menubuhkan Polis Bebas Aduan Suruhanjaya Salahlaku (IPCMC). Kami juga menggesa pentadbiran baru untuk mengesahkan perjanjian hak asasi manusia utama, termasuk Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik," kata Pengarah Eksekutif Interim AI Malaysia Preethi Bhardwaj dalam kenyataan.

Penganalisis politik Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata kabinet baru itu kelihatan kukuh dan harus disokong oleh orang ramai.

"Dengan pelbagai latar belakang, pengalaman dan kemasukan teknokrat serta pemimpin agama, kabinet ini perlu diberi peluang untuk menstabilkan struktur kerajaan.

"Apa yang penting adalah untuk menyelaraskan kepimpinan dan mereka perlu menunjukkan hasil yang bermanfaat kepada rakyat tanpa mengambil masa yang terlalu banyak," katanya.

 

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh