Follow us

Kerajaan Pandang Serius Menteri Kabinet Langgar Kuarantin Wajib COVID-19

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-08-24
E-mel
Komen
Share
Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi Malaysia pasa satu majlis di pejabatnya di Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi di Putrajaya, 11 April 2020.
Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi Malaysia pasa satu majlis di pejabatnya di Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi di Putrajaya, 11 April 2020.
[Ihsan KPPK]

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin berkata kerajaan memandang serius kes kegagalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mematuhi perintah kuarantin wajib 14 hari COVID-19 sambil menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut selepas siasatan dijalankan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada sebelah petang Isnin pula memberitahu yang kertas siasatan telah dibuka selepas menerima 27 laporan berhubung pelanggaran perintah kuarantin oleh Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali selepas pulang daripada Tukri pada 7 Julai lepas.

Muhyiddin berkata kes menteri melanggar perintah kuarantin wajib dipandang serius oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan setiap rakyat tertakluk kepada undang-undang, dan tidak ada sesiapa yang terkecuali.

"Kerajaan mengambil maklum dan memandang serius dakwaan pelanggaran perintah kuarantin itu. Setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang dan tidak ada sesiapa yang terkecuali.

"Sehubungan itu, saya menyerahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang," kata beliau dalam kenyataan tiga perenggan yang dikeluarkan di Putrajaya pada Isnin itu.

Abdul Hamid semasa dihubungi mengesahkan yang Polis DiRaja Malaysia telah menerima 27 laporan yang meminta pihak berkuasa negara menjalankan siasatan terhadap perlanggaran perintah kuarantin oleh menteri tersebut.

"Ya, kami sudah membuka kertas siasatan berhubung kes pelanggaran kuarantin oleh menteri ini," kata Abdul Hamid Bador kepada BeritaBenar pada Isnin.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid memberitahu BeritaBenar, "Kertas siasatan yang telah dibuka adalah mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap menteri berkenaan,"

Di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), kerajaan Malaysia mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan virus COVID-19.

Jika seseorang didapati bersalah di bawah akta tersebut buat kali pertama, boleh dikenakan kompaun maksimum RM1, 000 oleh Ketua Pengarah Kesihatan, dan dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika dihadapkan ke mahkamah oleh agensi penguatkuasaan.

Mohd Khairuddin dilaporkan pulang dari Turki pada 7 Julai telah menjalani ujian saringan swab COVID-19 kali pertama pada hari yang sama beliau sampai di Tanahair, dan di dapati negatif, beliau kemudiannya menjalankan ujian kali kedua dan ketiga, yang menurut Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan pada 22 Ogos, turut menunjukkan keputusan negatif.

Menteri itu yang juga Anggota Parlimen mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi kawasan Kuala Nerus, Terengganu mula menjadi sasaran kritikan selepas seorang ahli parlimen pembangkang mendedahkan bahawa beliau telah menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai walaupun baru tiba daripada Turki, 7 hari sebelum itu.

Ahli Parlimen Seputeh dari Parti Tindakan Demoratik (DAP), Teresa Kok Suh Sim semasa sesi persidangan Dewan Rakyat pada minggu lepas telah mempertikaikan mengenai tidakpatuhan arahan kuarantin oleh menteri berkenaan termasuk mempersoalkan samada beliau patut diambil tindakan kerana telah melanggar SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan negara itu.

"Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi telah pergi ke Turki pada 3 hingga 7 julai, tapi pada 13 Julai beliau datang ke Parlimen. Seperti yang kita semua tahu, mereka yang pergi ke luar negara mesti dikuarantin 14 hari apabila pulang, akan tetapi sekarang menteri kabinet sendiri tidak ikut," kata Kok, semasa mencelah sesi perbahasan oleh Anggota Parlimen Gopeng, Lee Boon Chye.

Setakat ini tidak ada kenyataan jelas mengenai lawatan Mohd Khairuddin ke Tukri, sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi.

Kena kompaun

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan media pada 22 Ogos  memberitahu yang kementerian berkenaan telah mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lalu, mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), di mana ianya hadir selepas empat hari selepas perkara tersebut dibangkitkan oleh Kok pada 18 Ogos lalu.

Bagaimanapun menteri berkenaan dalam satu kenyataan pada Sabtu lepas, telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas tindakannya melanggar perintah kuarantin wajib itu sambil memberitahu yang beliau akan menyumbangkan empat bulan gaji sebagai Menteri kepada Tabung Bantuan Bencana Negara –Tabung COVID-19.

"Saya dengan ini memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku. Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan SOP [Prosedur Operasi Standard] sepanjang tempoh PKPP [Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan]

"Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab itu, saya juga dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai menteri untuk Mei hingga Ogos 2020 sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia," kata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Ogos.

Sementara itu, memetik laporan agensi berita nasional Malaysia (Bernama), Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali ketika bercakap di Parlimen menegaskan bahawa tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang dalam soal pematuhan SOP COVID-19, terutamanya apabila melibatkan nyawa manusia.

"Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menjalani kuarantin 14 hari. Begitu juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga yang menjalani kuarantin kendiri di rumah sebelum ini," katanya di Parlimen.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 55 individu dikesan positif COVID-19 selepas kembali dari luar negara.

Katanya sejak 14 Julai hingga 23 Ogos, seramai 15,980 individu kembali ke tanah air melalui sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

Sehingga kini Malaysia mencatatkan 9,274 kes COVID-19 dengan jumlah kematian kekal 125 kes bersamaan 1.35 peratus dari jumlah keseluruhan kes jangkitan dalam negara. Kes aktif pula direkodkan bawah 200 kes menurut kenyataan KKM yang dikeluarkan Isnin.

Di peringkat global pula, lebih daripada 23.5 juta kes jangkitan dan lebih 810,000 kematian direkodkan, demikian menurut pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpusat di Amerika Syarikat.

Lihat Laman Penuh