Perdana Menteri Baru Mahu Selamatkan Malaysia, Janji Kerajaan Bersih

Muzliza Mustafa
2020.03.02
Kuala Lumpur, Malaysia
200302-MY-Muhyiddin-1stday1000.jpg Muhyiddin Yassin melambaikan tangan ketika tiba di perkarangan bangunan Pejabat Perdana Menteri semasa mahu memulakan hari pertamanya sebagai Perdana Menteri ke-8 di Putrajaya, 2 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 6.45 petang waktu tempatan ETS - 2020-03-02

Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik Muhyiddin Yassin berkata beliau terpaksa menerima jawatan pemimpin utama dalam usahanya menamatkan kemelut politik demi menstabilkan negara, dengan berjanji untuk memimpin kerajaan yang bersih.

Muhyiddin, 72 menyampaikan ucapan perdana beliau yang bertajuk 'Rayuan Kepada Rakyat Malaysia' berdurasi kira-kira 16 minit dari pejabat Perdana Menteri, 34 jam selepas mengangkat sumpah dihadapan Yang di-Pertuan Agong, di tengah- tengah dakwaan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad bahawa beliau dan bukannya Muhyiddin yang menerima sokongan untuk membentuk kerajaan.

"Saya sedar bahawa pelantikan saya bukanlah melalui pilihanraya. Sebaliknya, saya dilantik setelah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat," kata Muhyiddin tanpa memberi jumlah sokongan Ahli Parlimen yang diterima oleh beliau sehingga membolehkan dipilih ke jawatan itu.

“Saya tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri. Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Apa pilihan yang saya ada? Terus menyokong Tun Dr Mahathir yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri?

“Jika saya terus menyokong Tun Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan Pilihanraya umum perlu diadakan,” kata Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.

Beliau merujuk kepada Mahathir dan Anwar Ibrahim, seorang lagi Ahli Parlimen terkemuka yang telah menamakan dirinya sebagai calon perdana menteri semasa pergolakan politik seminggu itu yang yang menyaksikan peletakan jawatan mengejut Mahathir minggu lalu.

"Apa pilihan yang saya ada?"soal Muhyiddin sambil memberitahu sekiranya beliau tidak tampil ke hadapan, kemelut politik akan berpanjangan dan berkemungkinan membawa kepada pembubaran parlimen dan pilihan raya umm baru perlu diadakan.

Memakai sut biru dan berkemeja putih serta bertali leher yang sama semasa beliau tiba di Pejabat Perdana Menteri untuk memulakan hari pertama sebagai perdana menteri pada Isnin, Muhyiddin menganggap dirinya sebagai penyelamat, bukan pengkhianat.

"Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah pengkhianat.

“Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut.” katanya

Mencari undi Ahli Parlimen

Muhyiddin mengetuai perikatan yang didominasi majoriti parti Islam di negara pelbagai etnik itu termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia [Bersatu], Parti Kebangsaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO]yang pernah dipimpin bekas Perdana Menteri Najib Razak serta Parti Islam Se-Malaysia [PAS]yang  memperjuangkan undang-undang Islam yang lebih tegas.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong yang melantiknya ke jawatan itu pada Sabtu atau Muhyiddin atau mana-manapun sekutunya tidak menyatakan bilangan tepat Ahli Parlimen yang  berada dalam barisan perikatan nasional baru itu. Mahathir, sebaliknya, menegaskan pada  Ahad bahawa beliau menerima sokongan daripada 114 Ahli Parlimen.

Jumlah itu kemudian dikurangkan kepada 112 oleh Pakatan Harapan pimpinan Mahathir di tengah-tengah peringatannya bahawa angka itu boleh terus mengecil menerusi pembelotan yang didorong oleh janji-janji jawatan kerajaan.

Mahathir serta ahli politik dan aktivis pembangkang  lain telah menggesa supaya diadakan mesyuarat khas Parlimen bagi menyelesaikan perkara itu tetapi Muhyiddin belum memberi maklum balas sama ada beliau akan berbuat demikian untuk mendapatkan perakuan Parlimen dalam usaha untuk membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti.

Dalam pada itu, para aktivis menggesa supaya diadakan mesyuarat tergempar Dewan Rakyat tergempar untuk menyelesaikan perkara itu.

"Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyeru diadakan mesyuarat khas Dewan Rakyat untuk membincangkan persoalan sama ada PM yang baru mengangkapt sumpah Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh sokongan majoriti dalam Parlimen," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan, yang mengulangi gesaan serupa yang disuarakan oleh para penunjuk perasaan pada perhimpunan kecil yang diadakan pada lewat Ahad.

"Sekiranya mesyuarat khas tidak diadakan, maka undi percaya harus dibuat sebaik sahaja sidang Parlimen berikutnya diadakan pada 9 Mac," kata Bersih.

Muhyiddin, yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri oleh Najib pada 2015 selepas membangkitkan kebimbangan mengenai rasuah, kemudian bergabung dengan Mahathir dalam mengetuai pakatan pelbagai parti yang membawa perubahan pertama dalam sejarah kerajaan Malaysia, dengan Mahathir memegang tampuk kuasa.

Muhyiddin pada Isnin berkata kerajaannya akan meneruskan usaha untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya juga sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Buat permulaan ini, saya berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber, “ kata beliau.

Perbicaraan mahkamah yang dijadualkan pada  Isnin mengenai 47 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap pemimpin UMNO Zahid Hamidi ditangguhkan sehingga Selasa selepas peguamnya mendakwa beliau mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin berhubung pembentukan kabinet baru.

Pejabat Muhyiddin mengeluarkan kenyataan pada Isnin untuk "menjelaskan" bahawa tidak ada mesyuarat dijadualkan dengan pemimpin politik pada hari tersebut.

Zahid kemudian dipanggil ke mahkamah untuk kemungkinan menghadapi pertuduhan menghina mahkamah oleh pihak pendakwa raya kerana didakwa berbohong kepada mahkamah tetapi beliau menegaskan bahawa beliau mempunyai surat untuk menyokong dakwaannya, lapor New Straits Times. Mahkamah kemudian meminta beliau untuk membawa surat itu pada Selasa, menurut laporan itu.

Zahid berdepan perbicaraan rasuah berasingan pada  Oktober yang melibatkan 40 pertuduhan dan 33 pertuduhan alternatif menerima rasuah semasa menyandang jawatan menteri dalam negeri. Beberapa pemimpin UMNO lain juga menunggu perbicaraan bagi pertuduhan rasuah, menurut laporan itu.

UMNO, yang mempunyai 39 Ahli Parlimen, merupakan parti terbesar dalam Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Muhyiddin dalam ucapannya itu menegaskan bahawa beliau adalah perdana menteri bagi semua rakyat pelbagai kaum dan etnik dalam negara majmuk itu,  walaupun perikatan pimpinan beliau nampaknya dianggotai tiga parti Melayu dan tiada parti bukan Melayu.

"Berikan saya peluang untuk memanfaatkan 40 tahun pengalaman saya dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia," kata Muhyiddin.

'Pengkhianatan dan pembelotan'

Pada Ahad, seorang pegawai Azmin Ali,  menteri kanan dalam kerajaan terdahulu yang memainkan peranan penting untuk menumbangkannya  apabila menyertai perikatan Muhyiddin, berkata kerajaan baru akan melindungi kebebasan akhbar dan kebebasan kehakiman serta memastikan perbicaraan para pemimpin terdahulu  diteruskan.

"Perbicaraan kes Najib akan diteruskan ... begitu juga kes Rosmah dan Zahid," kata Khalid Jaafar, pakar strategi Azmin kepada BeritaBenar yang merujuk kepada Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri itu dan Ahmad Zahid Hamidi, bekas menteri dalam negeri semasa kerajaan pimpinan Najib.

Menurutnya "tiada syarat, tiada perjanjian" dengan UMNO, parti utama pemerintah yang dikalahkan oleh Mahathir pada 2018.

Tokoh utama Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti bukan Melayu yang mempunyai wakil terbesar dalam Parlimen iaitu 42 Ahli Parlimen, mengkritik kerajaan baru itu.

"Pada 2018, rakyat memilih, pada 2020 Ahli Parlimen yang membuat keputusan," kata Ahli Parlimen Ramkarpal Singh, pengerusi biro perundangan parti itu, yang menganggap Muhyiddin memperoleh kuasa hasil daripada "pengkhianatan dan pembelotan."

"Kejayaannya bukanlah kerana berlaku adil di medan perjuangan. Ia adalah hasil daripada pengkhianatan dan pembelotan Ahli Parlimen tertentu yang tanpa rasa malu meninggalkan satu-satunya platform yang menjadi tempat mereka berkempen tidak sampai dua tahun lalu untuk memenangi undi rakyat, "kata Ramkarpal.

"Kini mereka membawa masuk orang yang telah diketepikan oleh rakyat pada dua tahun lepas. Ini tidak boleh dimaafkan. "

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.