Pejabat Perdana Menteri Nafi Khabar Angin Rawatan Kanser, Lantik Timbalan PM Baharu

Siri mesej teks tersebar di media sosial, termasuk aplikasi Whatsapp, mendakwa Muhyiddin berada dalam keadaan kesihatan yang kurang baik.
Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-01-11
Share
Pejabat Perdana Menteri Nafi Khabar Angin Rawatan Kanser, Lantik Timbalan PM Baharu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menaiki helikopter meninjau kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Kota Tinggi, Johor, 7 Januari, 2021.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Pejabat Perdana Menteri Malaysia pada Isnin menafikan dua khabar angin yang disebarkan secara meluas di media sosial antaranya mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu menjalani rawatan kanser yang pernah dihidapinya selain bakal melantik seorang Timbalan Perdana Menteri daripada kalangan Ahli Parlimen Parti Pertubuhan Kebangsaan Bersatu (UMNO).

Kenyataan penafian tiga peranggan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri itu hadir dua hari selepas Ahli Parlimen Machang yang juga Pengerusi UMNO Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub menyatakan secara terbuka yang beliau telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Penarikan balik sokongan terhadap Perdana Menteri yang tidak dipilih oleh rakyat melalui Pilihan Raya Umum itu menyaksikan kekurangan satu kerusi untuk membentuk majoriti di Parlimen, tetapi penganalisa politik memberitahu BeritaBenar bahawa berkemungkinan Muhyiddin akan terus memegang tampuk pemerintahan sehingga satu undi percaya diadakan di Dewan Rakyat.

"Khabar angin yang mengatakan Perdana Menteri perlu menjalani rawatan berikutan penyakit kanser yang dialami oleh beliau adalah tidak benar dan berniat jahat.

"Perdana Menteri telah disahkan bebas daripada penyakit kanser oleh pakar-pakar perubatan yang merawat beliau.

“Khabar angin yang menyatakan bahawa ada pelantikan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri juga adalah tidak benar," kata kenyataan media ringkas yang dikeluarkan pejabat Muhyiddin pada petang Isnin.

Penafian itu dibuat kira-kira sehari selepas satu siri mesej teks tersebar di media sosial, termasuk aplikasi Whatsapp, yang mendakwa bahawa Muhyiddin sedang berada di dalam keadaan kesihatan yang kurang baik dan perlu menerima rawatan di Singapura.

Mesej teks yang tersebar itu juga mendakwa bahawa Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein, Ahli Parlimen Semberong, di Johor dari parti UMNO menjadi pilihan Muhyiddin mengisi kekosongan jawatan Timbalan Perdana Menteri, dan seterusnya memangku tugas Perdana Menteri semasa Perdana Menteri itu menerima rawatan.

Hishammuddin yang merupakan sepupu kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak yang terpalit dengan kes rasuah melibatkan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) bukan Ahli Majlis Tertinggi UMNO tetapi menjadi calon pilihan ke jawatan itu oleh Muhyiddin.

"Khabar angin kuat menyatakan bahawa Perdana Menteri sekarang tidak berapa sihat dan perlu dirawat di Singapura. Berkemungkinan beliau akan melantik Hishammuddin Hussein sebagai TPM, supaya beliau boleh meninggalkan negara. Ini kerana beliau telah hilang keyakinan dengan Menteri-Menteri Kanan beliau, terutama sekali Azmin Ali," kata mesej yang tular di media sosial yang dilihat oleh BeritaBenar dengan turut menambah bahawa pelantikan Hishammuddin akan diumumkan Muhyiddin dalam masa terdekat.

Untuk rekod, kerajaan pimpinan Muhyiddin menyaksikan susunatur kabinet yang berbeza dari kebiasaan, di mana beliau telah melantik empat orang Menteri Kanan yang setaraf dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Semasa zaman pemerintahan tujuh Perdana Menteri sebelum ini, Malaysia kebiasaannya mempunyai hanya seorang Timbalan Perdana Menteri yang akan membantu serta memangku jawatan tertinggi eksekutif negara sekiranya Perdana Menteri keluar negara atau bercuti.

Empat orang Menteri Kanan di dalam kabinet Muhyiddin yang mengelola empat sektor utama adalah Azmin Ali (ekonomi), Radzi Jidin (pendidikan dan sosial), Fadillah Yusof (infrastruktur), dan Ismail Sabri Yaakob (keselamatan).

Hilang sokongan

Khabar angin mengenai kesihatan Muhyiddin itu disebar ketika kerajaan Perikatan Nasional sedang bergelut dengan kehilangan jumlah majoriti di Dewan Rakyat, apabila Ahmad Jazlan mengumumkan penarikan balik sokongan beliau terhadap Perdana Menteri itu pada Sabtu.

"Saya sebagai Ahli Parlimen Machang, dengan ini mengumumkan penarikan sokongan saya terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri," kata beliau pada satu sidang media di Kota Bharu, Kelantan serta muatnaik status di Facebooknya.

Lima hari sebelum itu, Jazlan telah terlebih dahulu meletakkan jawatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), iaitu sebuah badan bertanggungjawab ke atas industri minyak sawit dalam negara.

Menurut laporan media tempatan, beliau berbuat demikian selepas memberikan kata dua kepada kerajaan supaya mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan parlimen.

Penarikan sokongan itu dipercayai menjadikan bilangan ahli parlimen yang menyokong kerajaan kini tinggal 110, iaitu separuh berbanding jumlah keseluruhan ahli parlimen yang ada kini seramai 220 orang.

Untuk rekod, parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi keseluruhannya, namun dua kerusi kini kosong selepas kematian penyandangnya tahun lalu.

Pada Disember lepas, seorang lagi ahli parlimen UMNO iaitu Tengku Razaleigh Hamzah telah secara terbuka menolak untuk mengundi ketika sesi undian untuk Belanjawan 2021 kerana mendakwa kesahihan kerajaan Perikatan Nasional masih belum ditentukan.

Akan tetapi, dua penganalisa politik tanahair berkata bahawa kehilangan majoriti sokongan ahli parlimen tidak bermakna kerajaan pimpinan Muhyiddin jatuh secara automatik.

Sehingga terbukti

Profesor bersara Azmi Hassan berkata ini adalah kerana bilangan sebenar sokongan tidak diketahui secara sahih, dan kaedah terbaik bagi menentukannya adalah melalui Dewan Rakyat, seperti apa yang dilakukan di negeri Perak beberapa bulan lalu yang menyaksikan Menteri Besar ketika itu, Faizal Azumu jatuh kerana tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak.

"Tapi ini tidak pernah dilaksanakan untuk Muhyiddin Yassin. Sebab itu samada satu, dua atau sepuluh ahli parlimen yang tarik balik sokongan, tidak diketahui atau mungkin ada pula yang dahulunya menentang Muhyiddin tapi sekarang menyokong beliau.

Apa yang penting ialah ketika Muhyiddin dilantik ke jawatan Perdana Menteri pada awal Mac tahun lepas, Yang diPertuan Agong berpuas hati bahawa Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti.

"Sehingga tidak dibuktikan Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti dan Yang diPertuan Agong berpuas hati, maka selagi itulah Muhyiddin adalah Perdana Menteri," kata Azmi kepada BeritaBenar.

Saintis politik Wong Chin Huat dalam satu kenyataan di Facebooknya turut menyatakan pandangan yang serupa.

Menurut beliau, penarikan sokongan Ahmad Jazlan akan melemahkan kerajaan Muhyiddin, akan tetapi tidak mencukupi untuk menjatuhkan beliau sehinggalah adanya pemimpin lain yang mempunyai majoriti alternatif.

"Dan sehingga ada ahli parlimen UMNO yang menyokong pembentukan kerajaan Pakatan Harapan, maka gabungan pimpinan Muhyiddin kekal sebagai gabungan yang mempunyai bilangan terbesar di parlimen, walaupun tidak mempunyai majoriti," kata Wong.

Beliau merujuk kepada usaha pembangkang yang dipimpin pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim untuk mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli parlimen yang kini berada di pihak kerajaan, bagi menjatuhkan Muhyiddin dan seterusnya membentuk kerajaan baru.

Antara sokongan yang cuba diraih oleh Pakatan Harapan adalah dari ahli-ahli parlimen UMNO.

Akan tetapi, Wong berkata pemimpin UMNO terperangkap dengan naratif anti-Anwar serta anti-DAP, yang merupakan komponen Pakatan Harapan.

"Dan mereka takut bahawa sebarang U-turn secara tiba-tiba akan membawa kepada kekalahan UMNO di tangan PAS dan Bersatu, yang bergabung di bawah sepanduk kebersatuan bangsa Melayu," kata Wong.

UMNO melalui presidennya Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada mesyuarat bahagiannya, Bagan Datoh minggu lepas turut berkata bahawa parti itu mahukan Pilihan Raya Umum diadakan secepat mungkin kerana “rakyat sangat rindu dengan UMNO dan Barisan Nasional untuk menjadi kerajaan semula”.

Beliau turut berkata prosedur operasi standard perlu digunakan dalam PRU.

“Kenapa takut untuk mengadakan pilihanraya ketika COVID-19? Lebih 30 negara telah adakan Pilihan Raya Umum ketika COVID-19 melanda negara mereka. Saya khuatir sahaja bukan takut COVID-19 tetapi takut lain,” kata Ahmad Zahid dalam nada yang sinis.

Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan pula dalam ciapan Twitternya baru-baru ini turut menjustifikasikan keperluan untuk mengadakan pilihan raya umum dengan berkata langkah-langkah terbaik yang boleh diadakan bagi memastikan tiada penularan COVID-19 ialah dengan mengadakan proses kempen secara online berbanding acara kunjung mengunjung yang dipraktikkan dahulu.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh