Parlimen Akan Bersidang Semula Seawal September, kata Perdana Menteri Malaysia

Muhyiddin bagaimanapun tidak menyebut sama ada kerajaan akan melanjutkan tempoh Darurat semasa mengumumkan Pelan Pemulihan Negara.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.06.15
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Parlimen Akan Bersidang Semula Seawal September, kata Perdana Menteri Malaysia Majlis pelancaran MyDigital & Blueprint Ekonomi Digital Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Mohd Yassin secara langsung menerusi laman media sosial 'Facebook Live' di Kuala Lumpur, 19 Februari 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Selasa berkata bahawa Parlimen hanya akan dibuka semula paling awal September hadapan sekiranya bilangan kes COVID-19 yang direkodkan negara menurun ke paras di bawah 2,000 sehari.

Bagaimanapun, dalam ucapan beliau ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara, Perdana Menteri itu tidak menyebut sama ada kerajaan akan melanjutkan lagi tempoh Proklamasi Darurat negara yang dijadualkan tamat pada 1 Ogos.

Penamatan darurat adalah satu isu yang dijangkakan oleh para penganalisa politik yang akan dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Rabu ini.

Menurut Muhyiddin, berdasarkan unjuran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang berjalan bagi menginokulasi populasi dewasa Malaysia, negara itu dijangka mampu mencapai imuniti kelompok terhadap koronavirus sebelum hujung tahun.

"Saya ingin memberikan komitmen bahawa sidang Parlimen boleh diadakan dalam fasa ini (Fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara) iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.

"Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok. Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan," kata Muhyiddin.

Beliau turut memberikan amaran kepada pihak lain supaya tidak menimbulkan keresahan dan kecelaruan di kalangan rakyat dan mengganggu tugas kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

Pelan yang diumumkan oleh Muhyiddin melalui sidang media yang disiarkan stesen-stesen televisyen utama negara itu menggariskan empat fasa pemulihan bagi negara untuk keluar dari kemelut disebabkan wabak.

Empat fasa itu dijangka berjalan dari Jun sehingga Disember dengan berdasarkan unjuran pihak berkuasa mengenai bilangan kes harian COVID-19, kadar penggunaan unit rawatan rapi hospital, serta kadar pencapaian program imunisasi negara.

Berdasarkan rancangan tersebut, Malaysia kini berada di dalam fasa pertama di mana seluruh negara berada di bawah perintah berkurung secara penuh dengan pengecualian diberikan kepada perkhidmatan perlu.

"Kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan apabila purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana, dan 10 peratus populasi telah menerima 2 dos suntikan vaksin," kata Muhyiddin.

Beliau bagaimanapun tidak menyentuh mengenai isu tempoh Darurat dalam pengumuman tersebut.

Malaysia merekodkan jumlah kes harian di antara 4,949 dan 6,849 dalam tempoh seminggu yang lepas, menurun daripada 9,020 kes yang direkodkan pada 29 Mei, iaitu bilangan kes positif tertinggi pernah dilihat negara dalam sehari sejak pandemik melanda pada tahun 2020.

Sejak program imunisasi bermula pada 24 Februari sehingga kini, hanya sekitar 1.4 juta individu atau 4.4 peratus daripada 32 juta populasi negara telah menerima imunisasi lengkap sebanyak dua dos vaksin COVID-19, dengan kadar inokulasi harian direkodkan pada Isnin adalah sebanyak 197,963 dos.

Menurut Perdana Menteri itu lagi, perintah berkurung yang sedang berjalan sejak 1 Jun lalu telah berjaya menurunkan bilangan kes jangkitan COVID-19 serta mengelakkan berlakunya peningkatan mendadak.

"Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat unjuran sekiranya PKP tidak dilaksanakan, kes harian COVID-19 di negara kita mencecah lebih 13,000 kes pada hari ini dan seluruh sistem kesihatan kita akan runtuh. Namun Alhamdullilah, dengan pelaksanaan PKP Fasa Pertama ini kita dapat menyaksikan graf jangkitan kes COVID-19 telah mula menunjukkan trend melandai dengan mencatatkan 4,949 kes semalam berbanding 9,020 kes pada 29 Mei 2021, iaitu kes harian tertinggi yang dicatatkan di negara kita.

"Sistem kesihatan negara kita juga masih mampu menampung kes-kes baharu di samping mencatatkan jumlah pesakit sembuh yang tinggi. Ini menunjukkan tindakan yang diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil," kata beliau.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Pelan Pemulihan Negara itu diumumkan Muhyiddin selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selesai mengadakan sesi pertemuan dengan para pemimpin parti-parti politik negara sebelum baginda bertemu dengan Raja-Raja Melayu dalam satu persidangan khas bagi membincangkan situasi pandemik.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong dan ahli Majlis Raja-Raja akan bertemu di Istana itu pada jam 2.30 petang Rabu, di mana segala maklumat yang telah diterima daripada para pemimpin parti politik akan dibentangkan.

"Selain itu, beberapa pakar dari agensi-agensi kerajaan turut dijadualkan memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok," kata Ahmad Fadil.

Tambah beliau, sejak 9 Jun lepas sehingga Rabu, Sultan Abdullah telah bertemu dengan 18 pemimpin parti politik serta bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

Persidangan itu akan menjadi sesi perbincangan kedua Majlis Raja-Raja Melayu mengenai topik yang sama. Mesyuarat serupa telah diadakan kali pertama pada 28 Oktober tahun lalu, yang menyaksikan Sultan Abdullah memutuskan untuk menolak permohonan dibuat Muhyiddin ketika itu untuk mengisytiharkan darurat dengan alasan untuk melawan wabak.

Sementara itu, penganalisa politik James Chin dari Universiti Tasmania berkata pengumuman Muhyiddin mengenai pembukaan semula Parlimen berkemungkinan adalah untuk mendahului mesyuarat Raja-Raja Melayu dan menetapkan satu bentuk jangkaan mengenai mesyuarat tersebut.

"Secara keseluruhannya, Majlis Raja-Raja akan mencari jalan pertengahan yang mana ialah mencadangkan atau menasihatkan Muhyiddin supaya membuka semula Parlimen. Ia adalah jelas bahawa mereka juga mahu supaya Parlimen bersidang semula," Chin berkata kepada BenarNews.

Kembalikan imej

Menerangkan apakah yang dimaksudkan beliau dengan 'jalan pertengahan', Chin berkata bahawa tidak akan ada keputusan segera yang dibuat mengenai pelanjutan darurat dan dalam masa sama mereka akan menggesa supaya parlimen dibuka.

"Oleh itu para Raja-Raja akan mengembalikan semula beban politik kepada bahu Muhyiddin, dan membiarkan supaya para ahli politik berdebat di arena parlimen.

"Ini akan turut memberikan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu peluang untuk mengembalikan imej mereka sebagai berada di atas politik, dan memulihkan reputasi yang telah terjejas kerana bersetuju dengan proklamasi darurat pada Januari dan memilih Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri pada Mac 2020," kata Chin.

Seorang lagi penganalisa, Tunku Mohar Tunku Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut memberikan pandangan serupa, dengan menyatakan bahawa Parlimen tidak sepatutnya menunggu sebegitu lama untuk dibenarkan bersidang kerana sekolah dan tempat kerja telah berjaya meneruskan aktiviti mereka dengan cara atas talian.

"Walaupun terdapat banyak gesaan supaya persidangan Parlimen dibuat secara maya atau hybrid (campuran secara fizikal dan maya), Perdana Menteri masih mahu menunggu sehingga negara mencapai imuniti kelompok.

“Bagi memastikan adanya kebertanggungjawaban, saya percaya Parlimen patut dibuka semula supaya pandangan dari wakil-wakil rakyat dapat didengar dalam mencari penyelesaian terhadap pandemik ini," kata Tunku Mohar kepada BenarNews.

Bagaimanapun, beliau berkata Pelan Pemulihan Negara itu memberikan sedikit rasa keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan mempunyai rancangan yang jelas bagaimana untuk membawa negara keluar dari pandemik, yang kini telah mencecah hari ke 454.

"Saya rasa bahawa pelan yang dibuat mempunyai indikasi jelas, yang mana rakyat boleh mempunyai jangkaan apakah yang hendak dicapai supaya mereka boleh kembali kepada kehidupan normal. Kadar jangkitan, kapasiti sistem kesihatan dan kadar vaksinasi adalah indikasi yang berbentuk kuantitatif dengan data yang telus.

"Pada masa ketidaktentuan seperti sekarang, pengumuman seperti ini dapat melegakan rakyat yang memikirkan bahawa kerajaan ada satu pelan bagaimana untuk keluar dari masalah ini," kata beliau.

Sejak Mac tahun lepas, negara telah merekodkan 667,876 kes COVID-19 di seluruh negara, termasuk 4,069 kematian.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.