Follow us

Pasukan Petugas Malaysia Siasat Dakwaan Kehilangan Secara Paksa

Aminah Farid & Hadi Azmi
Putrajaya, Malaysia
2019-06-26
E-mel
Komen
Share
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, (barisan depan, tengah) bercakap kepada pemberita di Putrajaya ketika memperkenalkan anggota pasukan petugas khas yang akan menyiasat dakwaan bahawa ejen negara terlibat dalam kehilangan paderi Kristian dan aktivis syiah Muslim, 26 Jun 2019.
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, (barisan depan, tengah) bercakap kepada pemberita di Putrajaya ketika memperkenalkan anggota pasukan petugas khas yang akan menyiasat dakwaan bahawa ejen negara terlibat dalam kehilangan paderi Kristian dan aktivis syiah Muslim, 26 Jun 2019.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Malaysia pada Rabu memulakan siasatan baru untuk mengenal pasti sama ada ejen-ejen negara terlibat dalam kehilangan paderi Kristian dan aktivis syiah Muslim, namun saudara-mara lelaki yang hilang itu berkata pasukan petugas baru itu mungkin berat sebelah kerana beberapa anggotanya terdiri daripada polis.

Panel enam anggota itu yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Rahim Uda akan meneliti hasil laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Suhakam) baru-baru ini bahawa "berdasarkan keimbangan kebarangkalian", kehilangan secara paksa Paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat dilakukan oleh pegawai polis.

Semasa memperkenalkan anggota pasukan petugas itu kepada media pada Rabu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan melihat tuduhan Suhakam terhadap Polis Diraja Malaysia, terutamanya yang mengaitkan anggota-anggota Cawangan Khas dengan kehilangan kedua-dua lelaki itu, sebagai perkara yang serius.

"Laporan yang dibuat oleh Suhakam telah mencetuskan banyak persepsi," kata menteri itu kepada pemberita di Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia.

"Kementerian Dalam Negeri melihat dengan serius laporan Suhakam mengenai kehilangan mereka, dan atas sebab itu, perlu menyiasat laporan itu dengan terperinci agar ia adil kepada semua pihak," kata Muhyiddin.

Pasukan petugas itu akan berfungsi secara bebas tetapi kehadiran pegawai kanan polis dalam barisan keanggotaannya tidak akan mewujudkan konflik kepentingan, kata menteri itu, kerana "pelantikan pegawai kanan polis bukanlah dari kalangan mereka yang didakwa terbabit dalam laporan [Suhakam] itu."

Pasukan petugas itu mempunyai tempoh enam bulan untuk menyelesaikan penyiasatan dan mengemukakan laporannya kepada menteri dalam negeri, yang kemudian akan membentangkannya kepada kabinet.

Semasa mengumumkan hasil laporannya pada 3 April lalu, Suruhanjaya yang disokong Parlimen itu menggesa kerajaan supaya  menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat apa yang dianggapnya sebagai "kehilangan secara paksa" Amri dan Koh, yang masing-masing didapati hilang pada November 2016 dan Februari 2017.

Dua hari kemudian, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata kerajaannya akan memulakan siasatan baru ke atas kes kehilangan kedua-dua lelaki tersebut. Polis sebelum ini menafikan tuduhan bahawa pegawai-pegawainya terlibat dengan kehilangan mereka tetapi siasatan polis berhubung kes itu masih dijalankan.

Lima lagi anggota pasukan petugas itu ialah: bekas ketua Bahagian Perundangan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Mokhtar Mohd Noor, pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Zamri Yahya, pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan yang merupakan agensi kerajaan Muhammad Bukhari Ab. Hamid, setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis Mohd Russaini Idrus dan pegawai Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Mohd Sopian Zakaria.

Walaupun adanya penyertaan tiga pegawai polis dalam pasukan petugas itu, Muhyiddin menyatakan keyakinannya bahawa panel itu  tidak akan berat sebelah.

"Kesemua tiga anggota panel itu bukanlah dari Cawangan Khas," kata Menteri Dalam Negeri itu.

Reaksi Keluarga

Tetapi, keluarga kedua-dua lelaki itu mempertikaikan dakwaan tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kemudian, keluarga Koh menyuarakan "kebimbangan serius" mengenai komposisi pasukan petugas itu, dengan membangkitkan tentang kekurangan gender dan kaum dalam panel yang terdiri daripada semua lelaki Melayu itu, serta hakikat bahawa separuh daripada anggotanya adalah pegawai polis.

Koh merupakan etnik Cina yang beragama Kristian manakala Amri adalah syiah Islam.

Keluarga Koh merujuk kepada bekas ketua bahagian perundangan PDRM Mokhtar Mohd Noor, yang sebelum ini membuat penghujahan penutup bagi pihak pasukan itu dalam sesi pendengaran siasatan Suhakam.

"Jika seorang pegawai polis yang mengambil bahagian dalam pendengaran Suhakam boleh dilantik menjadi anggota pasukan petugas itu, maka seorang peguam dari setiap keluarga juga harus dilantik ke dalam panel itu," kata kenyataan keluarga Koh itu.

"Kami berpendapat ini langsung tidak boleh diterima dan kami percaya dalam dunia bertamadun demokratik, perkara ini tidak akan berlaku," kata keluarga itu.

Paderi Koh diculik di sebatang jalan di pinggir Kuala Lumpur pada 13 Feb 2017 apabila beberapa kenderaan SUV dan motosikal memaksa keretanya berhenti sebelum sekumpulan lelaki bertopeng hitam membawanya pergi. Penculikan itu berlaku dalam tempoh kurang seminit dan  dirakam oleh kamera pengawasan.

Beberapa kumpulan hak asasi sebelum itu berkata paderi tersebut mungkin menjadi sasaran kerana dia dipercayai menyebarkan ajaran Kristian kepada penganut Islam namun, ia dinafikan oleh isteri beliau, Susanna Liew.

Amri, yang berasal dari negeri Perlis, pula dilihat buat kali terakhir pada 24 Nov 2016. Kehilangannya mungkin bermotifkan agama berdasarkan dakwaan bahawa beliau menyebarkan ajaran Syiah, menurut laporan akhbar tempatan.

Isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, yang turut mengeluarkan kenyataan pada Rabu berkata keluarganya berasa gembira kerana kerajaan akan menyiasat dakwaan yang terkandung di dalam laporan Suhakam.

Bagaimanapun, keluarga Amri juga berkata mereka "bimbang dengan komposisi pasukan petugas itu dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada kebebasan dan kesaksamaan yang diperlukan untuk melakukan penyiasatan yang boleh dipercayai," lapor akhbar New Straits Times.

Sementara itu, kumpulan advokasi yang dikenali sebagai Kumpulan Tindakan Rakyat berhubung Kehilangan Secara Paksa (CAGED), mempersoalkan pelantikan pegawai polis Zamri Yahya, yang jabatannya menangani masalah berkaitan dengan hal ehwal dalaman pasukan polis.

"Pelantikan Zamri benar-benar keterlaluan kerana jabatannya perlu berada dalam skop penyiasatan pasukan petugas," kata CAGED dalam satu kenyataan.

Pelantikan pasukan petugas itu menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia tidak berminat untuk menghukum anggota polis dan pembela mereka yang bertanggungjawab dengan kejadian penculikan Koh dan Amri, kata CAGED.

"Pasukan petugas yang berwibawa akan memulihkan penghormatan terhadap PDRM dengan mendedahkan kebenaran dan menghukum pegawai yang melakukan kesalahan," kata kumpulan itu, yang merujuk kepada akronim pasukan polis Malaysia itu.

Lihat Laman Penuh