Follow us

Kerajaan Baru Dijangka Bertahan Hingga Akhir 2023, kata Mahathir

Muzliza Mustafa & Ray Sherman
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-03-11
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menjawab pertanyaan pemberita semasa sidang media selepas mesyuarat pertama Kabinetnya di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, 11 Mac, 2020.
Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menjawab pertanyaan pemberita semasa sidang media selepas mesyuarat pertama Kabinetnya di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, 11 Mac, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 10.15 malam waktu tempatan ETS - 2020-03-11

Kerajaan baru Malaysia hanya dapat bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad meramalkannya pada Rabu, sambil mengakui bahawa beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti parlimen seperti yang didakwa sebelum Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah untuk menggantikannya.

Komen Mahathir, yang nampaknya mengakui kekuatan pemerintah baru, hadir pada hari yang sama Muhyiddin mengadakan pertemuan kabinet pertamanya dengan perdana menteri baru itu memberitahu pemberita bahawa beliau dan bekas pemimpin berusia 94 tahun itu ada menghantar dan berbalas surat menyurat.

“[Muhyiddin] boleh bertahan [kerajaan] sampai Pilihan Raya Umum,” Mahathir memberitahu akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian, merujuk kepada pengundian seterusnya yang dijangka akan diadakan pada 2023.

Mahathir juga mengakui bahawa undi tidak percaya terhadap pemimpin baru itu di parlimen mungkin "tidak berjaya".

“Kita dahulu mempunyai kelebihan sebanyak 114 kerusi tetapi sekarang ini jumlah itu makin kurang….. Sebabnya dia [Muhyiddin] sudah ambil orang saya menyebelahi dia,” kata Mahathir, dengan merujuk kepada penyokongnya telah berpaling arah kerana ditawarkan dengan jawatan menteri.

Muhyiddin, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri dalam Kabinet Mahathir, bersetuju dengan ulasan bekas Perdana Menteri itu bahawa beliau kini mempunyai sokongan yang mencukup dari Ahli Parlimen untuk bertahan dalam cabaran parlimennya.

"Sudah tentu. Sekiranya tidak, saya tidak akan berada di sini," kata Muhyiddin pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menterinya dengan berterima kasih kepada Mahathir atas ulasannya itu.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 1 Mac lepas, apabila berlakunya perebutan kuasa ‘pintu belakang’ disebabkan oleh perletakan jawatan Mahathir, yang mencetuskan keruntuhan kerajaan reformis Pakatan Harapan yang memerintah selama 22 bulan.

Perdana Menteri baru itu, pada Isnin telah memperkenalkan senarai 31 menteri Kabinet yang dikuasai oleh etnik Melayu, yang mempunyai majoriti 32 juta penduduk. Pelantikan itu termasuk sembilan jawatan diberikan kepada ahli parlimen daripada parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang tercemar oleh rasuah.

Beliau juga memilih seramai 38 timbalan menteri tetapi tidak menamakan jawatan timbalan perdana menteri, sebaliknya melantik empat menteri kanan – Azmin Ali sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa; Ismail Sabri Yaakob [Pertahanan]; Fadillah Yusof [Kerjaraya] dan Radzi Jidin [Pendidikan], dengan turut membenarkan mereka mempengerusikan mesyuarat Kabinet apabila beliau tidak dapat hadir.

Pada sidang media itu, Muhyiddin juga memberitahu media yang beliau telah mengutus surat memohon maaf kepada Mahathir minggu lalu, dengan turut meminta bekas perdana menteri itu menyokong kerajaan barunya.

"Saya meminta maaf jika saya menyakiti perasaannya dengan perkara-perkara yang berlaku dalam beberapa hari lalu, yang menyinggung perasaan," kata Muhyiddin. "Saya mahu Tun [Mahathir] menyokong kerajaan ini. Ia sah disisi undang-undang dan perlembagaan. "

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata, di dalam surat itu beliau juga meminta untuk bertemu dengan Mahathir tetapi surat jawapan dari pemimpin 94 tahun itu mengatakan "ia bukan masa untuk bertemu."

Peralihan kuasa tampuk pemerintahan negara sekaligus menyaksikan Muhyiddin menjadi perdana menteri berlaku selepas tercetusnya krisis politik selama seminggu.

Muhyiddin telah mendapat sokongan ahli parlimen termasuk daripada UMNO dan parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk membentuk gabungan baru. Muhyiddin sendiri pernah berada dalam UMNO sebelum dilucutkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri semasa berada dalam kerajaan Najib Razak, yang kini sedang berdepan dengan perbicaraan atas pertuduhan rasuah yang mempunyai kaitan dengan dana negara 1MDB.

Mesyuarat kabinet pertama pemimpin baru itu berlaku semasa pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia sedang bertungkus lumus dengan peningkatan kes kluster COVID-19, dengan Malaysia, mencatatkan sebanyak 149 kes, penambahan 20 kes baru pada Rabu.

Kira-kira 118,000 orang telah dijangkiti virus tersebut dan lebih 4,200 telah meninggal dunia di seluruh negara.

Muhyiddin juga memberitahu yang kerajaan barunya itu sedang mengkaji semula pakej rangsangan bernilai RM20 bilion (AS$4.73 bilion) yang diumumkan oleh bekas kerajaan bulan lepas perlu ditingkatkan dengan memaklumkan sebuah majlis akan ditubuhkan dalam usaha  menangani kesan ekonomi dan perdagangan akibat daripada virus berkenaan.

Beliau juga merayu kepada rakyat Malaysia supaya memberi peluang kepada kerajaan baru untuk membuktikan pentadbirannya.

"Ayuh, beri peluang kepada kami," katanya.

Malaysia akan perbaiki hubungan dengan Arab Saudi, India

Sementara itu, selepas melaporkan diri untuk berkhidmat buat kali pertama sebagai Menteri Luar Malaysia yang baru, Hishamuddin Hussein berkata beliau akan menumpukan usaha kepada memperbaiki  hubungan dengan Arab Saudi dan India, yang tegang semasa kerajaan sebelum ini menganjur sidang kemuncak Islam dan mengkritik tindakan keras Delhi terhadap Kashmir yang majoriti penduduknya adalah Muslim.

Hishamuddin, yang berkhidmat sebagai menteri pertahanan semasa kerajaan Najib sehinggalah Pakatan Harapan pimpinan Mahathir memperoleh kemenangan menakjubkan pada pilihan raya umum Mei 2018, berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatannya di Arab Saudi sebelum menghadiri mesyuarat kabinet pertamanya di bawah kerajaan baru.

"Kepimpinan Arab Saudi berkata mereka akan meminta Putera Faisal bin Farhan untuk mengunjungi Malaysia bagi bertemu dengan menteri dan timbalan menteri luar yang baru," katanya.

Pejabat Perdana Menteri telah menerima panggilan dan pernyataan sokongan dari kementerian asing China, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Singapura, Indonesia dan Thailand, kata Muhyiddin.

Semasa sidang beritanya, Muhyiddin berkata Malaysia akan terus menjadi tuan rumah bagi rundingan damai langsung antara negara jiran, Thailand dan pemberontak Selatan Thailand "selagi ia baik untuk negara dan rakyat berkenaan."

Abdul Rahim Noor, fasilitator proses rundingan damai Selatan Thailand yang diusahakan Kuala Lumpur, memberitahu BeritaBenar awal bulan ini bahawa beliau akan memberi taklimat kepada Muhyiddin mengenai usaha untuk menamatkan pemberontakan pihak pemisah yang berpanjangan sejak dahulu.

Pegawai Thailand mengesahkan bahawa Thailand dan BRN telah memulakan rudingan langsung yang bertujuan untuk menyelesaikan konflik berpanjangan itu, yang mengorbankan lebih 7,000 nyawa di wilayah Selatan Thailand yang majoritinya  Muslim yang bertutur bahasa Melayu sejak 2004.

"Kita akan lihat secara umum dasar luar kerajaan yang telah kita jalankan hingga kini, yang cukup baik. Kami akan meneruskannya," kata Muhyiddin semasa menjawab soalan BeritaBenar.

"Bagaimanapun, jika ada perubahan tertentu yang perlu kita laksanakan untuk menjadikan dasar kita lebih jelas, kita akan lakukannya," katanya.

Ketua perunding damai Thailand Jeneral Wanlop Rugsanaoh bertemu dengan anggota panel Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang diketuai oleh Anas Abdulrahman (juga dikenali sebagai Hipni Mareh) semasa pusingan kedua rundingan damai yang diusahakan Malaysia itu pada minggu lalu, kata pegawai Thailand.

Cabang tentera BRN, kumpulan pemisah bersenjata yang paling besar di Selatan Thailand, tidak menyertai rundingan damai itu yang sebelum ini diadakan antara Thailand dan MARA Patani, badan  induk yang mewakili puak pemberontak dalam rundingan damai itu yang dilancarkan pada 2015.

Sejak awal tahun ini, seramai 24 orang awam dan anggota keselamatan Thailand terbunuh manakala 28 yang lain cedera dalam keganasan berkaitan dengan pemberontakan di wilayah yang bersempadan dengan Malaysia, menurut statistik biro polis wilayah itu. Tujuh pejuang pula dibunuh pihak pemberontak.

"Sama ada kita mahu teruskan peranan sebagai fasilitator, ia mungkin mempunyai asas yang baik dan kita boleh menyumbang kepada usaha damai serantau, yang saya rasa kita boleh lakukan," kata Muhyiddin. "Selagi ia baik untuk negara dan rakyat yang terlibat, kami akan teruskannya."

Lihat Laman Penuh