Malaysia Sedia Latihan Kemahiran, Elaun Kepada Mangsa Pemerdagangan Manusia
2019.08.05
Kuala Lumpur, Malaysia
Malaysia mahu menyediakan latihan pendidikan teknikal dan vokasional serta memberi elaun kepada kira-kira 500 mangsa pemerdagangan manusia yang berada di tempat perlindungan di negara itu dalam usahanya menggalakkan mereka bekerja juga memperbaiki keadaan kehidupan mangsa, demikian kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Bercakap pada Persidangan Kebangsaan Majlis Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO) di Kuala Lumpur pada Isnin, Menteri itu memberitahu bahawa peraturan untuk membolehkan mangsa pemerdagangan manusia bekerja dengan bebas telah diwartakan oleh kerajaan.
"Peraturan-peraturan telah diwartakan untuk membolehkan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia, yang berada di rumah perlindungan, supaya dapat bergerak bebas dan bekerja di Malaysia, dan kerajaan juga menyediakan elaun bulanan kepada mangsa sebagai tambahan kepada kemahiran asas yang disediakan kepada mereka di rumah-rumah perlindungan,
"Pampasan atau pembayaran upah yang tidak dibayar juga boleh diperolehi selepas penyeludup disabitkan dengan kesalahan,” kata Muhyiddin semasa berucap pada majlis tersebut.
Beliau juga memaklumkan inisiatif menyediakan latihan kemahiran asas dan pensijilan bagi mangsa itu adalah satu langkah yang diperkenalkan Malaysia bagi membantu mangsa jenayah tersebut menjalani kehidupan.
Difahamkan sebanyak lapan program latihan bakal ditawarkan kepada mangsa yang akan dikendalikan oleh institusi-institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan termasuk kursus asas solekan dan bahasa Inggeris.
Muhyiddin berkata, langkah penambahbaikan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh kementerian itu dalam membanteras jenayah pemerdagangan manusia dibuat berdasarkan kepada syor yang terdapat dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Tambah beliau usaha berkenaan telah membuahkan hasil dan terdapat penurunan jumlah mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia dengan seramai 543 mangsa berada di rumah perlindungan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding kira-kira 1,474 mangsa pada 2018 dan 2,945 mangsa [2017].
"Sehubungan itu, kementerian akan terus memberi tumpuan terhadap penguatkuasaan, pendakwaan, pencegahan dan perlindungan mangsa yang diperdagangkan. Ia sangat jelas apabila kerajaan melantik pendakwa raya khas dan pusat tumpuan penguatkuasaan di semua negeri ke arah membanteras jenayah pemerdagangan manusia," katanya.
Dalam Laporan TIP 2019 yang dikeluarkan pada Jun lepas, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengatakan bahawa Malaysia memenuhi piawaian minimum dalam menghapuskan pemerdagangan manusia walaupun sudah melakukan usaha penting kearah itu, sekaligus menjadikan negara itu kekal berada di Tahap 2 Pemerhatian
“Bagaimanpun Kuala Lumpur tidak menunjukkan peningkatan usaha keseluruhan berbanding tahun sebelumnya dalam memerangi pemerdagangan manusia yang sekaligus menjadikan kedudukan Malaysia kekal pada senarai Tahap 2 Pemerhatian untuk tahun kedua,” kata laporan yang membuat penilaian terhadap 187 negara termasuk Malaysia.
Usaha-usaha signifikan yang telah dibuat Malaysia adalah seperti lebih banyak pertuduhan terhadap penyeludup, pengeluaran sejumlah besar pas untuk kebebasan pergerakan mangsa dari tempat perlindungan dan mewujudkan tempat perlindungan tambahan bagi wanita dewasa, tetapi semua itu masih tidak mencukupi bagi mangsa.
Laporan yang dibuat merangkumi aspek pendakwaan, perlindungan, pencegahan dan profil pemerdagangan turut menyebut bahawa Malaysia sebenarnya tidak menunjukkan keseluruhan peningkatan terhadap semua usaha seperti mengenal pasti mangsa, siasatan dan pendakwaan kes yang jauh lebih sedikit berbanding tahun lalu.
Pelarian Rohingya
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang turut hadir semasa sidang media bersama Muhyiddin dan ditanya mengenai hak pelarian Rohingya untuk bekerja di negara itu berkata, walaupun tidak ada keputusan akhir mengenai perkara tersebut pada masa ini tetapi ada suara yang mahu kerajaan mempertimbangkannya serta telah mendapat momentum mengenainya.
"Kerajaan belum membuat keputusan muktamad untuk membenarkan pelarian asing bekerja.. Itulah keputusannya sekarang, tetapi terdapat suara-suara kuat yang mahu kerajaan mempertimbangkan semula dan tidak mengabaikan apa yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan.
"Jika anda bertanya kepada saya secara peribadi mengenai keputusan kerajaan, ya, saya fikir kita harus membenarkan mereka [pelarian asing] bekerja di sini, sekurang-kurangnya sehingga mereka berpindah di negara ketiga," kata Kulasegaran.
Di dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan, di bawah janji 35 menyatakan bahawa pelarian akan diberikan kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) dan akan mempunyai hak untuk bekerja.
Beliau kemudiannya ditanya sama ada kanak-kanak pelarian akan diberi pendidikan asas di sekolah biasa.
Menteri itu menjawab, "Kami telah melihat anak-anak pelarian tidak mendapat (pendidikan) asas, ini pastinya satu penafian terhadap hak asas,”
"Adalah penting bagi setiap kanak-kanak yang berada di bawah matahari mendapat peluang untuk pergi ke sekolah…Saya berharap selepas pelarian dibenarkan untuk bekerja, kerajaan akan berusaha ke arah membolehkan anak-anak mereka ke sekolah," tambahnya lagi.
Sementara itu, Tenaganita, badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak imigran dan wanita yang menghadiri majlis berkenaan memuji tindakan kerajaan yang dilihat bersungguh serta serius dalam menangani masalah itu.
Pengarah Eksekutif Tenaganita Aegile Fernandez berkata, Malaysia telah mengambil satu langkah keatas dalam menggilap imejnya di peringkat antarabangsa.
"Isu ini adalah satu isu yang berterusan sejak sekian lamanya dan inisiatif ini adalah satu langkah terbaik yang dibuat oleh kerajaan dalam usaha memperbaiki kesejahteraan mangsa pemerdagangan manusia," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pindaan yang dibuat terhadap Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dengan mereka yang dikenal pasti sebagai mangsa pemerdagangan manusia boleh menerima kira-kira RM120 sebulan (AS$30).
Fernandez menambah bahawa mangsa juga akan dibenarkan belajar latihan kemahiran sambil menunggu kes mereka didengar.
"Mereka akan menerima RM120 sementara berada di dalam negara menunggu kes mereka selesai dan selepas kes didengar, mereka boleh terus bekerja selama tiga tahun lagi."
"Semasa menunggu, kerajaan telah membenarkan mereka untuk belajar kemahiran, jadi mereka tidak membuang masa serta tidak melakukan apa-apa, dan jika mereka memutuskan untuk meninggalkan negara ini, mereka sudah belajar sesuatu dan boleh pulang dengan kemahiran.
"Ini adalah satu cara kehadapan bagi negara ini," tambah beliau.