Perintah Kawalan Pergerakan Berkuatkuasa, Perdana Menteri Rayu Patuhi Arahan

Noah Lee & Nisha David
2020.03.18
Kuala Lumpur, Malaysia
200318-MY-Lockdown1000.jpg Memo arahan penutupan sementara Masjid Putrajaya ditampal dipagar masjid pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu yang diambil oleh kerajaan bertujuan untuk mengekang penularan wabak COVID-19, di Putrajaya, Malaysia, 18 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari mula berkuatkuasa pada Rabu dengan Perdana Menteri Malaysia sekali lagi tampil menerusi siaran langsung di stesen televisyen merayu kepada rakyatnya untuk mematuhi perintah tersebut kerana kerajaan sedang berusaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang didapati menular dengan ketara di negara itu.  

Dalam satu pengumuman khas yang disiarkan pada jam 8 malam, Muhyiddin Yassin berkata perkembangan berkenaan bukanlah sesuatu yang bagus dan tindakan orang ramai yang berpusu-pusu bergerak keluar dari tempat masing-masing menuju ke destinasi lain dalam negara adalah bertentangan dengan tujuan kenapa perintah kawalan itu dilaksanakan.

Selain itu, katanya tindakan yang diambil mereka juga telah mendedahkan mereka kepada risiko lebih tinggi untuk dijangkiti virus COVID-19.

"Tujuannya [perintah] bukan untuk membolehkan saudara-saudari balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

"Bukan... Tujuannya ialah supaya saudara-saudari duduk di rumah. 'Stay at home and protect yourself and family', " katanya dalam siaran langsung yang disiarkan secara serentak melalui empat stesen televisyen utama negara, juga pelbagai platform media sosial.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 117 kes baru positif COVID-19 direkodkan pada Rabu yang sekaligus menjadikan kesemuanya 790 kes di Malaysia dengan dua kematian dicatatkan pada Selasa.

Daripada pertambahan sebanyak 117 kes baru itu, 80 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling di Kuala Lumpur lewat Februari lepas, sekaligus menjadikan jumlah kesuluruhan kluster tabligh adalah seramai 508 kes.

Bilangan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan menunjukkan pertambahan sebanyak tiga orang berbanding 12 pada Selasa, demikian menurut kenyataan KMM pada Rabu.

Seorang lelaki yang memakai "mask" membungkus makanan dari sebuah restoran pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan yang dibuat oleh kerajaan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 di negara itu. Gambar dirakam jurugambar BeritaBenar S. Mahfuz di sebuah restoran di Kuala Lumpur, 18 Mac, 2020.

Perintah Kawalan Pergerakan mungkin dilanjutkan

Dalam pengumuman itu, Perdana Menteri dilihat beberapa kali mengulangi perkataan ‘just stay at home’ dan juga tujuan mengapa kerajaan mengeluarkan perintah berkenaan.

“Tolonglah… Stay put where you are… Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja. Kenapa? Kerana kita hendak putuskan rangkaian jangkitan… supaya orang yang dijangkiti wabak COVID-19 ini dapat dikurangkan,” rayu Muhyiddin.

Perdana Menteri itu uga memberi ingatan bahawa tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan mungkin dilanjutkan sekiranya kerajaan tidak berjaya mengekang penularan wabak sehingga 31 Mac ini.

“Jika dalam tempoh dua minggu kita belum berjaya sepenuhnya, Kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata KKM mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 sekiranya orang ramai tidak mengambik peduli dan mematuhi perintah kawalan kerajaan.

“Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.

“Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai sikap tidak kisah,” katanya menerusi status laman media sosial Facebook miliknya, pada Rabu.

Perdana Menteri itu pada Isnin mengisytiharkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu berkuatkuasa Rabu, menyenarai enam arahan yang perlu dipatuhi semua, dengan pemerhati melihat ianya satu tindakan drastik kerajaan dalam usaha membendung wabak COVID-19 yang menunjukkan peningkatan ketara sejak minggu lepas.

 


 

Pelepasan khas bagi Singapura

Sementara itu, kerajaan negeri Johor berharap kerajaan persekutuan memberi kelulusan untuk membuka semula pintu sempadan Malaysia - Singapura bagi membolehkan beberapa kumpulan sasar menyeberangi sempadan yang telah ditutup selaras dengan perintah yang dikeluarkan pentadbiran Putrajaya itu.

Menteri Besar Hasni Mohammad memberitahu pemberita bahawa mereka akan memohon persetujuan Putrajaya memberikan pengecualian kepada mereka yang memegang pas kerja oleh Malaysia atau Singapura, pelajar yang menuntut di negara jiran itu termasuk mereka yang mempunyai kemahiran khusus, ahli perniagaan, serta yang terlibat dalam bidang logistik.

"Kami akan umumkan pelan pengurangan kesan semasa wabak Covid-19 ini," kata Hasni kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Johor Bahru pada Rabu.

Setiap hari, lebih kurang 400,000 orang termasuk separuh daripadanya adalah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura akan memasuki republik berkenaan melalui Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.

Namun, aktiviti berkenaan terhenti dengan adanya perintah Perintah Kawalan Pergerakan, dan menimbulkan keresahan pada pekerja dan majikan di Singapura.

Pihak berkuasa dikerah nasihati rakyat

Hari pertama penguatkuasaan PKP menyaksikan pihak berkuasa mula melaksanakan operasi bagi menasihati orang ramai yang berada di luar supaya kembali ke rumah masing-masing dan tidak berjalan-jalan.

Di Lembah Klang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan juga Selangor didapati telah mula membuat sekatan jalan raya di jalan-jalan utama bagi bertanyakan tujuan pengguna berada di luar serta menasihati mereka supaya pulang ke rumah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata arahan telah dikeluarkan kepada semua polis daerah di wilayah itu supaya menjalankan operasi untuk menggesa orang awam supaya duduk di rumah.

"Untuk peringkat permulaan ini kita lebih kepada memberi nasihat dan minta penjelasan kenapa tidak duduk dirumah," kata Mazlan.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata arahan perintah kawalan itu dikeluarkan adalah yang pertama selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, maka agar sukar  bagi orang ramai untuk memahami betapa pentingnya mematuhi konteks arahan.

"Perintah kawalan pergerakan ini adalah yang pertama untuk suatu tempoh yang lama, hampir 50 tahun selepas 13 Mei 1969 (perintah berkurung ekoran rusuhan kaum). Jadi rakyat kurang memahami maksud dan kehendak (perintah)ini," katanya.

Mazlan berkata arahan yang tidak jelas daripada pihak berkuasa juga mengelirukan orang ramai, termasuk arahan bercanggah supaya pelajar mengosongkan universiti mereka dan pulang ke kampung halaman.

Dalam pada itu Bursa Saham Malaysia ditutup pada paras 1,344.75 pada Jumaat iaitu paras terendah sejak Julai, 2010 menurut laporan agensi berita nasional Bernama.

Indeks itu menguncup ke paras 1,256.58 pada Selasa akibat tekanan jualan besar-besaran yang menjejaki pasaran serantau yang kurang memberangsangkan berikutan kesan wabak Covid-19

Kerajaan telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonominya tahun ini dengan menurunkannya kepada antara 3.2 peratus dan 4.2 peratus daripada anggaran 4.8 sebelum ini.

Dalam ucapan beliau pada 13 Mac lalu, Muhyiddin berkata langkah segera perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kesan wabak tersebut terhadap ekonomi negara.

“Untuk itu, kerajaan akan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan akan dipantau pelaksanaannya supaya kesannya akan dapat dirasai oleh anda semua dengan segera.”

Acara tabligh di Indonesia

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gowa, di selatan Sulawesi, Indonesia memberitahu BeritaBenar, penganjur acara Ijtima of Asia 2020 yang bakal dihadiri jemaah tabligh termasuk daripada Malaysia tidak mempunyai permit untuk menganjurkan acara berkenaan.

"Penganjur tidak mempunyai izin (permit). Kami masih cuba memujuk pihak penganjur untuk menangguhkannya," kata Boy Samlo semasa dihubungi BeritaBenar dari Jakarta.

Acara perhimpunan selama empat hari bermula Khamis, akan berlangsung di daerah Gowa bakal dihadiri kira-kira 8,695 peserta dari 48 negara termasuk Malaysia, Thailand, Arab, India dan Filipina.

"Kami lebih takut kepada Tuhan. Manusia takutkan penyakit dan kematian. Tapi ada sesuatu yang lebih penting daripada tubuh, iaitu jiwa," kata penyelaras acara perhimpunan itu, Mustari Bahranuddin, kepada Reuters.

Perhimpunan dianjurkan oleh Tablighi Jamaat, gerakan tabligh global itu turut menganjurkan acara yang sama di Malaysia.

Sementara itu, agensi berita nasional Malaysia Bernama melaporkan jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata meskipun pihak kedutaan telah mengeluarkan larangan agar rakyat Malaysia tidak menghadiri program itu, dipercayai berpuluh-puluh orang dilaporkan sudah berada di sana.

"Belum ada jumlah tepat rakyat Malaysia yang menghadiri acara itu, kami sedang berusaha mengesan mereka yang terbabit," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata berdasarkan notis konsular agar rakyat Malaysia yang berada di Indonesia mendaftar menerusi e-mel dengan kedutaan atau pejabat konsularnya, dipercayai turut didaftar ialah beberapa individu yang menyertai acara itu.

Menurut sumber Bernama, sejumlah 83 rakyat Malaysia telah berada di Sulawesi untuk menyertai acara itu, yang turut dihadiri jemaah tabligh dari 48 negara lain.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.