Istana Negara Umum Muhyiddin Yassin Perdana Menteri Malaysia ke-8

Amy Chew
2020.02.29
Kuala Lumpur, Malaysia
200229-MY-Muhyddin1000.jpg Bekas Menteri Dalam Negeri Malaysia yang juga Presiden parti Bersatu, Muhyiddin Yassin (tengah) melambai ke arah media di luar kediamannya di Kuala Lumpur, 29 Februari, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 12.15 tengah hari waktu tempatan ETS - 2020-02-29

Yang di-Pertuan Agong Malaysia telah melantik bekas Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 negara itu menurut Istana Negara pada Sabtu, sehari selepas beliau muncul sebagai calon bagi jawatan itu yang disokong oleh ahli dari parti yang dipalit dengan skandal yang beliau telah bantu jatuhkan dua tahun lalu.

Walaubagaimanapun, dalam satu kenyataan lewat malam, Perdana Menteri interim, Mahathir Mohamad mendakwa bahawa beliau telah mendapat sokongan sekurang-kurangnya 114 Ahli Parlimen, dan berkata beliau akan menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menerangkan kedudukan sokongan serta perkembangan terkini.

Pengumuman mengejutkan itu kelihatan memusnahkan cubaan Mahathir Mohamad untuk kembali ke jawatan tersebut selepas perletakan jawatannya minggu lalu dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri interim.

Muhyiddin, 72, Presiden Parti Pribumi Bersatu Bumiputera Malaysia (Bersatu), parti yang diasaskan bersama Mahathir akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Ahad, 10.30 pagi, menurut Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dalam kenyataan yang dikeluarkan petang Sabtu.

"Setelah mendapat representasi dari semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat ialah YB Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh (P143)," menurut kenyataan itu.

"Seri Paduka Baginda bertitah bahawa proses perlantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama," menurut kenyataan itu lagi.

Pusing dan berpaling

Kekeliruan mengenai pelantikan Muhyiddin hadir selepas krisis politik yang berlarutan dengan perkembangan yang bertukar setiap masa serta menjejaskan negara.

Krisis bermula dengan perletakan jawatan Mahathir pada Isnin yang secara automatik membubarkan kerajaan. Mahathir kemudiannya dilantik semula oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri interim.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai bidang kuasa untuk melantik Ahli Parlimen yang menerima sokongan majoriti daripada 222 Ahli Parlimen sebagai perdana menteri. Calon itu hanya memerlukan sokongan daripada 112 Ahli Parlimen.

Kira-kira empat jam selepas kenyataan Istana Negara itu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil membuat siaran secara langsung di laman media sosial Facebooknya yang menunjukkan seorang anggota parlimen sedang menandatangani dokumen dalam suasana  gembira manakala Mahathir, memakai jaket kelabu dan tali leher biru memerhatikannya.

"Kami mempunyai 114 anggota Parlimen, satu-empat-empat," kata Fahmi Fadzil, dengan mereka yang berada di dalam bilik berkenaan gembira keseronokan dan berkata "Viva Tun!"

Dalam satu kenyataan sejurus selepas itu, Mahathir berkata beliau akan menjelaskan keadaan terkini itu kepada Agong.

‘Moment bersejarah’

Dalam kenyataan pertama beliau selepas pengumuman dari istana itu, Muhyiddin berkata beliau disokong oleh Ahli Parlimen "Perikatan Nasional" dari Bersatu, gabungan Barisan Nasional, Parti PAS, parti gabungam Sarawak dan Ahli Dewan Rakyat bebas.

“Ia telah disahkan bahawa saya adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke-8. Menyunjung setinggi-tinggi terima kasih kepada atas perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik saya sebagai Perdana Menteri,” katanya kepada media di kediamannya.

“Sudah pasti ini adalah satu detik yang bersejarah, lebih-lebih lagi kerana sokongan semua ahli-ahli Yang Berhormat Parlimen khususnya daripada parti-parti dalam Perikatan Nasional…. Memberikan kita jumpa yang mencukupi. Kita mempunyai majoriti," kata beliau.

Perlantikan Muhyiddin hadir pada hari yang sama Pakatan Harapan kembali menamakan Mahathir sebagai calon terkini Perdana Menteri, yang pada awal minggu ini telah menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon.

Anwar adalah calon perdana menteri Pakatan Harapan bagi Rabu hingga Jumaat, dengan majlis presidennya mendakwa beliau menerima "pencalonan terbesar" daripada ahli parlimen.

Sumber yang rapat dengan Pakatan memberitahu BeritaBenar bahawa Anwar dan pemimpin parti komponen Pakatan telah mengadakan pertemuan dengan Mahathir pada lewat Jumaat selepas mereka mendapati bukan Mahathir yang mencetuskan kekalutan tersebut, sebaliknya Muhyiddin yang muncul sebagai pesaing.

Kerajaan Pakatan telah kecundang apabila Mahathir menolak rancangan pengkhianat dalam gabungan kerajaan termasuklah Muhyiddin yang mahu bergabung membentuk gabungan baru dengan parti UMNO, parti yang pernah memerintah negara sebelum ini dalam masa yang sama terus mengekalkan Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Mahathir telah menolak gabungan itu kerana beliau mengklasifikasikan Umno sebagai "kleptokratik".

Blok Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, sebuah parti berbilang kaum, Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mempunyai keahilan daripada etnik Cina, parti Amanah, yang berasaskan parti Islam sederhana, dan Bersatu yang setia kepada Mahathir.

Pada Mei 2018, Mahathir dan sekutu-sekutunya dari Pakatan memperolehi kemenangan dalam pilihan raya umum, yang berjaya menewaskan gabungan parti dalam Barisan Nasional yang telah memimpin Malaysia selama 61 tahun.

BN kalah kerana tokoh utama dalam kerajaan terdahulu termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya, Rosmah Mansor dan bekas timbalan perdana menteri yang juga menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi terpalit dengan pelbagai perbicaraan kes  penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang melibatkan sejumlah wang yang banyak dari dana pembangunan milik negara , 1MDB, termasuk beberapa pendakwaan kes lain.

Mahathir telah berjanji pada kempen pilihan raya untuk membersihkan kerajaan dan mewujudkan kerajaan yang mencerminkan kepelbagaian negara, dan beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, bekas musuhnya.

Beliau bergabung dengan Anwar, yang pernah dimasukkan ke penjara atas tuduhan meliwat, selepas meninggalkan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti utama dalam blok pemerintah yang menguasai politik Malaysia sejak kemerdekaan dari British pada tahun 1957.

Mahathir kembali berkuasa selepas mengetuai pakatan pembangkang dengan dan mencatat kemenangan bersejarah pada pilihan raya umum Mei 2018 berikutan perjanjian bahawa beliau akan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri dalam masa dua tahun dan menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar.

Selepas pilihan raya itu, Anwar dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan kemudiannya dipilihan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dalam satu pilihan raya kecil.

Tetapi ketegangan berhubung waktu dan sama ada penyerahan kuasa sepatutnya berlaku adalah antara satu faktor kepada keruntuhan gabungan pemerintah itu, demikian menurut beberapa pemerhati politik.


Muzliza Mustafa, Hadi Azmi, Nisha David and Noah Lee turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.