Muhyiddin Yassin Habiskan Masa Tangani Wabak COVID-19 Sepanjang 100 Hari

Hadi Azmi
2020.06.09
Kuala Lumpur, Malaysia
200509-MY-Muhyiddin-Seratus.jpg Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin kembali bertugas di pejabatnya selepas selesai menjalani kuarantin COVID-19 selama 14 hari, di Putrajaya, 4 Jun, 2020.
[Facebook Muhyiddin Yassin]

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghabiskan hampir seluruh 100 hari pertamanya mengendalikan krisis koronavirus termasuk cuba menangkis usul menguji sokongan ahli Parlimen terhadap beliau oleh Pengerusi partinya sendiri Mahathir Mohamad.

Pada sambutan seratus hari Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Mahathir dan anaknya Mukhriz bersama empat lagi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah, Marzuki Yahya telah memfailkan saman terhadap Muhyiddin selaku Presiden, tiga lagi ahli parti serta Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemecatan keahlian serta jawatan mereka dalam parti dua minggu lalu.

Pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri berlaku dalam suasana tegang dalam negara berikutan perletakan jawatan oleh Mahathir dan diikuti dengan krisis politik berpanjangan selama seminggu.

Pemimpin berusia 73 tahun berjaya menyakinkan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang beliau mempunyai majoriti untuk memerintah negara, melalui jalinan kerjasama dengan cerpihan Anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mendapat sokongan Barisan Nasional bersama PAS untuk membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) Mac lepas.

Pada masa yang sama ketika itu Malaysia turut sedang bergelut dengan krisis wabak COVID-19 yang berada di peringkat awal.

Penganalisa Politik James Chin berkata kepada BeritaBenar yang Perdana Menteri itu bertuah kerana pandemik COVID-19 banyak membantu beliau untuk menolak pelbagai isu politik ke belakang.

“Saya rasa 100 hari beliau adalah beruntung kerana beliau dibantu oleh krisis COVID-19. Jadi, kerana krisis COVID-19 ini, beliau dapat melakukan banyak perkara di sebaliknya. Sebagai contoh, beliau tidak perlu berdepan dengan Parlimen,” kata Chin yang merujuk kepada sesi selama dua jam persidangan pertama Parlimen selepas perubahan kerajaan pada akhir Februari, yang hanya menampilkan titah perasmian oleh Yang Di-Pertuan Agong tanpa adanya sesi perbahasan.

Nazari Ismail, seorang Pakar Ekonomi Universiti Malaya pula berkata Muhyiddin bagaimanapun berjaya melaksanakan beberapa polisi kerajaan bagi mengekang penularan virus yang telah mendominasikan 100 hari pertama beliau sebagai Perdana Menteri walaupun berdepan dengan krisis dalaman parti yang tidak berkesudahan.

“Muhyiddin sebenarnya tidak bernasib baik kerana 100 hari pertama didominasi oleh pandemik COVID-19, yang sebenarnya amat mencabar. Tetapi beliau bertuah kerana rakyat Malaysia tidak seperti rakyat Amerika terutamanya dari segi pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berjaya dilaksanakan serta tidak punya banyak masalah,” kata Nazari kepada BeritaBenar.

Malaysia melaksanakan PKP sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan koronavirus yang telah meragut 117 nyawa, yang dibuat secara berperingkat sehingga berjaya mengurangkan kadar jangkitan sehingga ke angka satu digit.

Sementara itu, Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Malaysia berkata tindakan berani Perdana Menteri melaksanakan PKP amat dikagumi kerana tidak ada banyak negara sanggup menggambil langkah drastik seperti itu.

"Pelaksanaan PKP juga menyaksikan penggunaan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988) yang tidak pernah lagi digunakan dalam sejarah negara. Kita sokong tindakan Perdana Menteri, itulah cara terbaik dan tiada betul ataupun salah sebab tiada negara buat (PKP) ini lagi pada masa itu…. Orang kata 'uncharted territory' (sesuatu yang baharu), ini satu keberanian," kata Noor Hisham dalam satu wawancara bersama agensi berita nasioal Malaysia (Bernama) pada Isnin.

Sejak PKP, Muhyiddin sering tampil secara langsung di semua plaktform media termasuk media sosial bercakap mengenai perancangan dan perlaksanan terkini yang akan dibuat kerajaan yang dilihat cuba menambat hati rakyat termasuk menggunakan analogi penjual pisang goreng bernama Makcik Kiah.

Sebanyak tiga pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah RM295 bilion (AS$69 bilion) telah diumumkannya untuk membantu rakyat yang tergegas teruk akibat wabak Koronavirus dan PKP, yang sebahagiannya telah diterima baik oleh rakyat, walaupun terdapat rungutan menyatakan pengurusan penyampaiannya yang agak perlahan.

Kerajaan Lemah

Seorang lagi penganalisa politik Wong Chin Huat pula melihat Muhyiddin mempunyai kerajaan yang paling lemah sekaligus membuatkannya sukar untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.

“Muhyiddin berkuasa pada waktu yang paling sukar dan teruk dengan mempunyai kerajaan lemah sekaligus membuatkan beliau sukar untuk melaksanakan tanggungjawab ataupun mengawal menteri-menterinya,” kata Wong kepada BeritaBenar.

Dengan jumlah majoriti yang tipis di Parlimen iaitu memiliki 113 kerusi daripada 222 kerusi, Muhyiddin tampil dalam satu siaran langsungnya merayu kepada rakyat Malaysia supaya beliau dan kerajaannya diberikan peluang menangani gelombang pertama pandemik COVID-19.

Chin pula menambah dengan berkata Muhyiddin pada masa ini berada dalam mod bertahan walaupun berjaya menghalang pemimpin utama UMNO dan PAS seperti Najib Razak dan Zahid Hamidi daripada memegang sebarang jawatan dalam kabinetnya.

“Beliau berdepan banyak kesukaran dan kerajaannya perlu bertahan sehingga sidang Parlimen Julai nanti.. Muhyiddin juga perlu memastikan Perikatan Nasional didaftarkan sebagai satu badan gabungan supaya dapat bertanding pada pilihan raya akan datang dan bukannya gabungan longgar seperti sekarang,” tambah Chin.

Tindakan populis

Tindakan Muhyiddin melantik Ahli Parlimen sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut mendapat kritikan kerana ianya dilihat sebagai usaha mendapatkan sokongan dalam mengukuhkan kedudukan untuk terus mentadbir Putrajaya.

“Tindakan berbentuk populis itu adalah untuk menambah sokongan buat beliau melalui perlantikan Ahli Parlimen memegang jawatan dalam GLC serta memberikan jawatan bertaraf menteri yang dilihat sebagai memancing sokongan juga membuka ruang kepada budaya politik yang menawarkan imbuhan jawatan dan kuasa,” demikian kata Awang Azman Awang Pawi, Profesor Madya di Universiti Malaya kepada BeritaBenar.

Pada sambutan 100 harinya, Muhyiddin sebagai Presiden bersama tiga lagi anggota parti dan parti selaku plaintif telah dinamakan dalam saman yang difailkan oleh peguam Haniff Khatri, yang mewakili Mahathir dan lima lagi anggota parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam penyataan tuntutan itu, Mahathir yang merupakan plaintif pertama memohon satu deklarasi bahawa beliau adalah ahli dan Pengerusi Bersatu yang sah dan memohon deklarasi bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 adalah tidak terpakai untuk menghalang pelupusan pertikaian berkenaan oleh mahkamah dan Fasal 10.2.6 Perlembagaan Bersatu tidak terpakai dalam hal bagi melucutkan/memberhentikan keahlian kesemua plaintif.

Mereka turut memohon perintah injunksi dikeluarkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan(ROS) untuk membuat pendaftaran atau pembetulan ke atas semua dokumen parti itu selain memohon ganti rugi am, faedah serta kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Mahathir yang tidak hadir di mahkamah bagi tujuan itu, bagaimanapun menghadirkan diri pada mesyuarat bersama dengan Pakatan Harapan buat pertama kalinya sejak kerajaan baru berkuatkuasa, yang menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan lewat Selasa memaklumkan bahawa satu keputusan akan dimuktamadkan dalam masa seminggu lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.