Perdana Menteri Baru, Muhyiddin Yassin Angkat Sumpah

Amy Chew, Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
2020.03.01
Kuala Lumpur, Malaysia
200301-MY-Palace-Muhyiddin-1000.jpg Muhyiddin Yassin (Bebaju hitam) menerima dokumen dari Raja Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah sebelum mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru, di Istana Negara, Kuala Lumpur, 1 Mac 2020.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

KEMASKINI pada 4.45 petang waktu tempatan ETS - 2020-03-01

Bekas menteri dalam negeri yang pernah menjadi sekutu pemimpin Malaysia Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Ahad, ketika  Mahathir mempersoalkan kewajaran pelantikan itu dengan mendakwa bahawa beliau menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen namun pencalonannya diketepikan.

Dalam istiadat ringkas yang disiarkan secara langsung, Muhyiddin Yassin, 72, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah yang memilihnya sebagai perdana menteri kelapan Malaysia selepas ‘menerima menghadap kesemua pemimpin yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Parlimen bebas."

Muhyiddin mengetuai perikatan yang didominasi majoriti parti Islam di negara pelbagai etnik itu termasuk PArti Pribumi Bersatu Malaysia [Bersatu], Parti Kebangsaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO]yang pernah dipimpin bekas Perdana Menteri Najib Razak serta Parti Islam Se-Malaysia [PAS]yang  memperjuangkan undang-undang Islam yang lebih tegas.

Perdana menteri yang baru itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai wawasannya untuk Malaysia selepas mengangkat sumpah tetapi sekutu dan pegawainya berkata kerajaan baru akan berusaha ke arah memelihara perpaduan negara, kebebasan akhbar, kebebasan kehakiman serta reformasi politik dan lain-lain, manakala perbicaraan kes rasuah pemimpin terdahulu akan diteruskan tanpa campur tangan politik.

"Kami komited terhadap agenda nasional demi memacu kebangkitan ekonomi, menjamin kemakmuran bersama, memelihara keselamatan dan kedaulatan negara, memperkukuh perpaduan rakyat serta menjaya reformasi institusi," kata Azmin Ali, menteri kanan dalam kerajaan terdahulu yang memainkan peranan penting dalam menumbangkan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir apabila menyertai perikatan Muhyiddin.

"Perbicaraan kes Najib akan diteruskan ... begitu juga kes Rosmah dan Zahid," kata Khalid Jaafar, pakar strategi Azmin kepada BeritaBenar yang merujuk kepada Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri itu dan Ahmad Zahid Hamidi, bekas menteri dalam negeri semasa kerajaan pimpinan Najib.

Beliau berkata terdapat "tiadak syarat, tiada perjanjian" dengan UMNO, parti utama pemerintah yang dikalahkan oleh Mahathir pada pilihan raya 2018.

Malaysia agak tenang meskipun dilanda pergolakan politik sepanjang minggu lalu.

Enggan mematuhi amaran polis, kira-kira 100 orang berhimpun di Kuala Lumpur pada malam Ahad bagi menyuarakan bantahan buat hari kedua berhubung apa yang dipanggil "kerajaan pintu belakang" dan melaungkan "matinya demokrasi," menurut laporan.

Polis berkata dalam kenyataan bahawa seorang lelaki telah ditahan dan tiga orang lagi sedang disiasat untuk catatan mereka dalam media sosial kerana menghina Yang di-Pertuan Agong dan mengancam ketenteraman awam.

Istana Negara tidak mengeluarkan jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin tetapi Mahathir mendakwa beliau menerima akuan berkanun sokongan itu daripada 114 Ahli Parlimen daripada  222 wakil rakyat Malaysia dan menuntut persidangan Dewan Rakyat diadakan secepat mungkin.

"Kami mempunyai majoriti. Kami mempunyai 114 Ahli Parlimen yang menyokong kami. Tetapi nampaknya ia diketepikan,"kata Mahathir pada sidang berita sebelum istiadat angkat sumpah perdana menteri baru, yang diboikot Pakatan Harapan.

Muhyiddin mengumumkan parti Bersatu, yang diasaskan beliau dan Mahathir pada 2016, keluar daripada gabungan Pakatan Harapan pada  Isnin yang mencetuskan keruntuhan kerajaan itu. Beberapa Ahli Parlimen Bersatu telah disalah anggap sebagai penyokong perdana menteri yang baru, dakwa Mahathir.

Yang di-Pertuan Agong enggan menerima saya menghadap, kata Mahathir, "jadi, saya tidak berpeluang memberitahu Seri Paduka bahawa beliau [Muhyiddin] tidak mempunyai majoriti."

Pakatan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir dalam satu kenyataan menyatakan ia menerima sokongan "112 Ahli" di Parlimen - kurang dua daripada apa yang didakwa Mahathir - dan menggesa persidangan Dewan Rakyat seterusnya diadakan mengikut jadual pada 9 Mac.

"Ini adalah peluang yang baik untuk menentukan sokongan kepada Perdana Menteri dan dengan itu menamatkan krisis politik yang mencengkam negara," kata kenyataan itu.

Mahathir berkata sekiranya persidangan Dewan Rakyat tidak diadakan dengan segera, jumlah wakil rakyat yang menyokong pakatannya boleh menurun kerana para penyokongnya boleh dipujuk oleh kerajaan Muhyiddin melalui tawaran jawatan menteri dan insentif lain.

"Tiada lagi kedaulatan undang-undang," katanya.

Krisis politik tercetus selepas peletakan jawatan Mahathir pada Isnin, yang secara automatik menyebabkan kerajaan terbubar. Mahathir segera dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara untuk melantik seorang Ahli Parlimen yang menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada 222 wakil rakyat sebagai perdana menteri.

Sambil mempersoalkan sama ada Muhyiddin menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen, Ambiga Sreenevasan yang pernah menjadi presiden Majlis Peguam Malaysia dan kini aktivis sosial, mencadangkan beliau supaya mengadakan persidangan Dewan Rakyat tergempar minggu ini untuk menyelesaikan isu itu secara baik.

"Ia bukan hanya untuk kepentingan beliau untuk berbuat demikian, tetapi turut menjadi kepentingan negara," katanya dalam laporan portal Malaysiakini.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata beliau akan berbincang dengan Muhyiddin, yang akan memulakan tugas secara rasmi pada Isnin, sama ada mengadakan persidangan itu pada 9 Mac seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Sementara itu, PAS berkata dalam kenyataan bahawa ia mahu kerajaan baru "memberi keutamaan kepada memulihkan ekonomi, merapatkan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin, meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan seimbang di Semenanjung [Malaysia] serta [negeri-negeri Malaysia Timur] Sabah dan Sarawak dan pada masa yang sama memelihara prinsip Persekutuan dengan negeri-negeri. "

"PAS menggesa semua rakyat Malaysia supaya mengekalkan keamanan dan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum dan mencadangkan agar kerajaan supaya berlaku adil dan menjaga kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, kepercayaan dan kecenderungan politik mereka."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.