Menteri Hal Ehwal Islam Malaysia Mahu Undang-undang Syariah Seimbang

Hadi Azmi
2018.10.08
Kuala Lumpur, Malaysia
181008-MY-Sharia-Mujahid620.jpeg Seorang lelaki Muslim memegang senaskhah al-Quran ketika dia melaungkan slogan semasa satu perhimpunan bantahan di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Malaysia, 24 Feb 2012.
[AP]

Menteri Hal Ehwal Islam Malaysia pada Isnin menggesa supaya sistem kehakiman Syariah melaksanakan keseimbangan dalam penghakimannya dan tidak hanya memberi tumpuan kepada hukuman agar ia selaras dengan prinsip Islam sebagai ‘rahmatan lil alamin’.

Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata, falsafah "Rahmatan Lil Alamin" (rahmat buat seluruh alam) seperti yang terkandung di dalam al-Quran diperlukan bagi menangani persepsi negatif yang semakin meningkat terhadap sistem kehakiman mahkamah syariah.

"Perlu ada keseimbangan antara hukuman dan pemulihan dalam pelaksanaan hukuman mengikut undang-undang Syariah," kata Mujahid. "Falsafah badan kehakiman mestilah beralih daripada menghukum demi melaksanakan kepentingannya kepada falsafah hukuman pemulihan yang lebih bertimbang rasa."

Menteri itu berkata, hakim mahkamah tinggi syariah serta penguatkuasa  undang-undang Islam dan NGO  bersetuju dengan hala tuju baru itu selepas Persidangan Meja Bulat Falsafah Dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah Dalam Mencapai Matlamat Rahmatan Lil Alamin diadakan pada Isnin.

Mujahid berkata, sokongan sedemikian penting kerana di bawah sistem Malaysia, kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa terhad dalam hal-hal berkaitan Islam termasuk di mahkamah-mahkamah syariah yang dikendalikan oleh 13 negeri di negara itu.

"Ini akhirnya akan merubah kaedah pelaksanaan hukuman yang diperincikan, dengan kemungkinan memperkenalkan kerja-kerja komuniti, bon untuk berkelakuan yang baik, serta yang lain-lain di bawah kriteria pemulihan dan belas kasihan," jelasnya.

Dengan Mahkamah Syariah mengekalkan kelayakannya untuk melaksanakan hukuman sebat, Mujahid berkata, beliau menjangka kemungkinan kaedah yang lebih tepat dalam melaksanakan hukuman itu.

"Kami akan meneliti bagaimana sebatan itu dilakukan, di mana ia perlu dilakukan serta siapa yang akan memantau pelaksanaan hukuman itu," kata Mujahid.

Mesyuarat kedua berkenaan perkara itu dirancang diadakan Khamis ini di Masjid Sultan Mizan di Putrajaya.

Reaksi hakim

Ketua Hakim Mahkamah Syariah Terengganu Wan Mohd Zakri, yang menghadiri persidangan meja bulat tersebut, memberitahu BeritaBenar bahawa ramai umat Islam berminat untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat.

Menurutnya, lebih 800 orang telah membanjiri mahkamah di Kuala Terengganu pada awal bulan ini dan meminta supaya mereka dibenarkan menyaksi pelaksanaan hukuman sebat itu terhadap wanita yang mengaku bersalah cuba melakukan pelacuran.

"Ia seperti satu pesta dengan ada pihak menjual makanan dan minuman di luar mahkamah, ini menyebabkan kami terpaksa menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dan ia telah menimbulkan kemarahan orang ramai," katanya.

Perbincangan meja bulat dan sidang berita Mujahid diadakan susulan satu laporan dalam The Star pada hujung minggu lalu. Selepas itu, ia telah membuat laporan penjelasan mengenai komen menteri berkenaan berhubung tindakan menceroboh ruang kehidupan peribadi umat Islam.

Laporan The Star itu bermula dengan: Tiada lagi ketukan pintu di tengah malam dan tindakan merobohkan pintu oleh pihak berkuasa agama untuk menyiasat laporan khalwat atau salah dakwaan salah laku.

Penjelasan itu menunjukkan bahawa walaupun Mujahid berkata bahawa tindakan terhadap khalwat telah dieksploitasi atau berlakunya salah guna kuasa, kerajaan Persekutuan tidak boleh melarang pelaksanaan tindakan itu  kerana ia tertakluk di bawah mahkamah syariah negeri.

Dalam reaksinya terhadap laporan The Star, ahli Jawatankuasa Pusat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif, Riduan Mohd Riduan Mohd berkata, kerajaan Persekutuan lebih mengutamakan tindakan untuk menegakkan hak asasi manusia berbanding nilai-nilai moral yang ditetapkan Islam.

"Kini, muncullah agamawan dan pemimpin palsu yang membawa naratif baru tentang dosa peribadi dan dosa umum," kata Riduan kepada The Star. "Ini merupakan usaha strategik  oleh musuh-musuh Islam untuk membawa umat Islam supaya beranggapan bahawa melakukan dosa bukanlah perkara yang serius."

Mujahid turut menegur mereka yang bersuara tentang isu itu pada sidang berita selepas perbincangan meja bulat itu pada Isnin.

Beliau berkata para pegawai perlu terus berhati-hati dalam menyiasat tentang aduan khalwat dan aduan berkaitan.

“Kita perlulah mempunyai bukti kukuh sebelum melakukan tindakan pencegahan kerana kita tidak mahu dianggap sebagai orang yang suka mengintai,”katanya. “Bila kita mahu kuatkuasakan sesuatu, kita kena pastikan ia dilakukan secara berhati-hati dan prihatin.”

Mujahid berkata, beliau menyampaikan mesej kepada masyarakat berikutan peranan sebagai pegawai kerajaan.

“Sebagai umat Islam, jika anda nampak jiran anda membuat sesuatu yang tidak baik, maka tanggungjawab anda sebagai jiran ialah dengan menasihati orang itu.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.