Follow us

Ahli Perniagaan Korea Utara di Malaysia Gagal Rayuan Extradisi Ke AS

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-10-08
E-mel
Komen
Share
Gooi Soon Seng (kanan), peguambela yang mewakili ahli perniagaan Korea Utara Mun Chol Myong semasa bercakap kepada media di luar ruang mahkamah di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur, 8 Okt, 2020.
Gooi Soon Seng (kanan), peguambela yang mewakili ahli perniagaan Korea Utara Mun Chol Myong semasa bercakap kepada media di luar ruang mahkamah di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur, 8 Okt, 2020.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 8.30 pagi waktu tempatan ETS - 2020-10-09

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis menolak rayuan seorang ahli perniagaan Korea Utara supaya tidak diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram, namun lelaki itu akan mengemukankan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keputusan mahkamah berkenaan, kata peguam belanya.

Mun Chol Myong, 55, yang tinggal di Malaysia bersama-sama keluarganya lebih sedekad lalu, berada dalam tahanan pihak berkuasa negara itu sejak Mei tahun lalu berikutan permohonan ekstradisi daripada Washington.

Bulan lalu, beliau mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi untuk menolak penghakiman Mahkamah Sesyen pada pada Disember 2019 yang membenarkan ekstradisinya ke AS.

Mun perlu mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi Malaysia, sebagai langkah terakhirnya untuk membatalkan perintah ekstradisinya ke AS.

Dalam penghakimannya pada Khamis, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata mahkamah percaya terdapat bukti mencukupi yang menunjukkan kesalahan Mun adalah perbuatan jenayah di Malaysia dan AS, dengan tiada petunjuk bahawa pertuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik seperti yang didakwanya.

"Saya dengan ini menolak permohonan writ habeas corpus dan menyokong waran komited yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen untuk menahan pemohon sementara menunggu perintah Menteri bagi penyerahannya," kata Ahmad Shahrir semasa membuat penghakimannya.

"Hakikatnya bahawa AS [hanya] mahu menguatkuasakan undang-undang antipengubahan wang haram sudah memadai untuk menolak sebarang cadangan bahawa pertuduhan itu bermotifkan politik,” kata hakim berkenaan.

Mun tidak hadir semasa prosiding di mahkamah itu, namun isterinya berada di galeri awam bersama-sama dengan pegawai dari Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Mun menafikan dakwaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bahawa beliau mengetuai satu kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan ke atas Korea Utara dengan membekalkan barangan mewah ke negara asalnya dan menjalankan kegiatan pengubahan wang melalui beberapa syarikat.

Selepas keputusan pada Khamis, peguam bela Mun berkata bahawa anak guamnya itu meminta supaya rayuan dibuat di Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan penghakiman berkenaan kerana Mun percaya beliau tidak diberikan perbicaraan yang adil.

Hakim tidak mempertimbangkan afidavit Mun, seperti yang diperuntukkan dalam Akta Ekstradisi Malaysia 1992, dan itu adalah "tidak mengikut Perlembagaan," kata peguam bela Gooi Soon Seng.

“Hakim menyatakan bahawa Seksyen 20 melarang mahkamah daripada meneliti afidavit pemohon. Oleh itu, kami ingin mencabar bahawa Seksyen 20 adalah tidak mengikut Perlembagaan.” katanya kepada BeritaBenar.

Gooi merujuk kepada peruntukan undang-undang Akta Ekstradisi yang membolehkan Menteri Dalam Negeri untuk menahan afidavit seseorang tertuduh daripada mahkamah jika ia bertentangan dengan pertuduhan, yang menjadi asas bagi tujuan ekstradisi.

“[Hakim] tidak meneliti afidavit tertuduh. Beliau hanya melihat afidavit yang dikeluarkan oleh pihak Amerika,” kata Gooi.  

Kesalahan bukan di Malaysia


Dalam rayuannya pada September, Mun memberitahu mahkamah melalui Gooi bahawa dua pertuduhan jenayah tidak boleh dikenakan terhadapnya kerana kesalahan yang didakwa AS terhadap beliau adalah berkaitan dengan pekerjaannya di Singapura dan bukannya di Malaysia.

Pada 2014, Mun bertugas sebagai pengurus pembangunan perniagaan dengan sebuah syarikat di Singapura, yang membekalkan barangan ke Korea Utara.

Peguam bela Mun mendakwa pada September bahawa tuduhan AS terhadap lelaki itu adalah bermotifkan politik kerana Washington telah mengenakan sekatan ke atas Pyongyang.

"Jika tidak ada sekatan, maka tidak ada jenayah. Sekatan itu bersifat politik kerana Amerika Syarikat tidak suka Korea Utara menjalankan beberapa ujian roket,” kata Gooi ketika itu.

Pada Khamis, Hakim Ahmad Shahrir berkata Akta Ekstradisi Malaysia 1992 sememangnya menyekat ekstradisi mereka yang dituduh melakukan kesalahan politik, tetapi sekatan itu tidak terpakai terhadap Mun kerana belaiu dikehendaki oleh AS atas pertuduhan pengubahan wang haram.

Tahun lepas, sumber dalam perisikan Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa Amerika Syarikat percaya Mun telah melanggar sekatan PBB, yang bertujuan menghalang Korea Utara daripada memperoleh dana yang boleh disalurkan untuk program nuklear Pyongyang.

Dalam perbicaraan pada September ketika Mun membuat permohonan rayuan di Mahkamah Tinggi, Gooi berhujah bahawa Seksyen 20 Akta Ekstradisi adalah melanggar satu perkara dalam Perlembagaan.

"Kami berpendapat bahawa undang-undang itu bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan di mana seseorang itu berhak mendapatkan perbicaraan yang adil," kata Gooi.

Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, antara lainnya, merujuk kepada hak seseorang untuk dimaklumkan tentang alasan beliau ditahan.

Lihat Laman Penuh