Remaja Malaysia kemurungan meningkat akibat tekanan media sosial
2024.05.21
Kuala Lumpur
![Remaja Malaysia kemurungan meningkat akibat tekanan media sosial Remaja Malaysia kemurungan meningkat akibat tekanan media sosial](https://www.benarnews.org/malay/berita/my-murung-remaja-240521-05212024132956.html/@@images/71b970c3-096c-4680-ade3-3ee9781920c1.jpeg)
Ain Husniza Saiful Nizam tidak menyangka tindakannya membuat aduan di media sosial berkenaan kata-kata gurunya yang tidak sensitif mengenai rogol tiga tahun lepas akan membawa kepada kemurungan yang teruk kepada dirinya selama bertahun-tahun.
Gadis berusia 20 tahun itu melalui pengalaman pahit dijauhi rakan-rakan sekolah kerana melaporkan perbuatan guru tersebut dan laman media sosialnya dihujani ‘serangan’ komen-komen toksik.
Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu tinjauan pada 2023, mendapati remaja berusia 16 hingga 19 tahun merupakan kumpulan paling tinggi menghidapi masalah kemurungan iaitu 7.9 peratus dan pakar psikologi berpendapat ia disebabkan tekanan daripada penggunaan media sosial.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 yang dikeluarkan pada Khamis lalu mendapati satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan dan jumlah itu meningkat dua kali ganda berbanding kajian yang dijalankan pada 2019.
Tinjauan itu menunjukkan isu kesihatan mental memberi kesan kepada sejumlah besar kanak-kanak di Malaysia, dengan satu daripada enam individu dalam kumpulan itu mengalami masalah tersebut.
Sebanyak 46 peratus kanak-kanak menghadapi masalah dengan rakan sebaya, masalah tingkah laku (25 peratus), emosi (17 peratus) dan hiperaktif (8 peratus), kata laporan tinjauan itu.
"Hampir separuh daripada mereka yang mengalami kemurungan terfikir untuk mencederakan atau membunuh diri," menurut laporan itu.
Ain Husniza, anak sulung daripada lima beradik yang kini merupakan penuntut di sebuah kolej turut melalui pengalaman sedemikian.
"Bunuh diri terasa seperti satu-satunya cara untuk melarikan diri daripada masalah," katanya kepada BenarNews.
Fikiran gelap
Ain Husniza mengimbau kembali detik-detik fikiran gelap itu menyelubungi dirinya selepas menerima kecaman dari seluruh negara dan herdikan rakan-rakannya kerana memfailkan laporan polis terhadap guru di sekolahnya pada 2021.
Sejak itu, dia mula mengunci diri dalam bilik, berharap untuk melarikan diri daripada kecaman dengan mencederakan diri.
"Ia mula menjadi mimpi ngeri. Saya rasa minda saya mempermainkan saya," kata Ain Husniza yang kini bekerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi membantu program advokasi hak wanita dan kanak-kanak.
Dia bernasib baik kerana ibu bapanya campur tangan dan mendapatkan bantuan daripada seorang pakar kesihatan mental.
Susulan itu, dia didiagnos menghidapi penyakit kemurungan major (MDD), dua tahun lepas.
Ain Husniza berkata rawatannya berkesan dan berjaya membantunya meneruskan pengajian dan kini hampir menamatkan A-Level.
"Saya gembira dapat keluar daripada kemurungan," katanya sambil menambah bahawa mencari bantuan kesihatan mental bukanlah tanda-tanda lemah sebaliknya bukti kekuatan dan pemerkasaan seseorang.
Suriati Sidek, profesor madya di Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata penggunaan media sosial secara berlebihan menjadi faktor risiko utama kesihatan mental merudum.
Beliau mengaitkan tekanan kepada remaja untuk mengikut standard yang tidak realistik yang digambarkan di Internet dengan peningkatan kadar kemurungan dalam kalangan remaja.
“Sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan rakyat Malaysia untuk menghabiskan lebih banyak masa di pelbagai platform media sosial terutamanya ketika era pascapandemik.
"Remaja, semasa sedang meneroka identiti mereka, memandang tinggi kepada pengaruh media sosial.
“Tekanan untuk menyesuaikan diri dengan gaya hidup dan penampilan yang digambarkan di media sosial, digabungkan dengan perbezaan antara persepsi ini dan realiti hidup mereka, boleh menyumbang kepada kemurungan yang ketara," katanya kepada BenarNews.
Selain itu, jelas Suriati hubungan ibu bapa dan anak yang renggang menimbulkan perasaan terasing dan tidak mencukupi dalam kalangan orang dewasa muda, seterusnya menyemarakkan krisis kesihatan mental.
Tekanan akademik
Anuar Ahmad, pensyarah kanan Pusat Pendidikan dan Kepelbagaian, Universiti Kebangsaan Malaysia pula menjelaskan tentang kesan buruk tekanan akademik dan kekurangan pendidikan emosi dalam sukatan pelajaran kebangsaan terhadap kesejahteraan mental golongan remaja.
Aspek emosi dalam sukatan pelajaran kebangsaan seakan hampir tiada, keluh Anuar.
"Ia banyak dalam bentuk yang tidak ternyata dan lebih kepada nasihat guru dan kaunseling.
"Apa yang selalu dihuraikan oleh pakar-pakar pendidikan berkaitan isu kemurungan adalah keadaan persekitaran.
“Kemurungan anak-anak kita berpunca daripada tekanan akademik. Kadang-kadang mereka sudah belajar tetapi persekitaran menuntut mereka untuk menjadi lebih cemerlang," katanya.
Di tengah-tengah trend yang membimbangkan itu, Clare, seorang pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun dari Kuala Lumpur, berkongsikan pergelutannya dengan tindakan mencederakan diri sendiri dan rasa tidak yakin yang mendalam.
Walaupun di luarnya tampak yakin, mendapat markah rendah dalam pelajaran dan keresahan mengenai masa depan terasa membebankan dirinya, mendorong gadis itu mencari ketenangan dengan mengasingkan diri dan mengalihkan fikiran.
Ketika Ain Husniza, Clare dan anak-anak muda Malaysia lain cuba untuk menghadam kerumitan masalah itu, tumpuan diberikan kepada peranan guru dan ibu bapa.
"Ibu bapa dan guru perlu memahami kami, bukannya menghakimi kami. Kami kadang-kadang membawa bebanan ibu bapa dan masyarakat dan mereka perlu membantu kami meluah dan memahami perasaan kami," kata Clare.